Iklan raya mangkuk tingkat, rupanya kisah Makcik Saadiah kayuh basikal, hantar makanan walau suami sudah tiada
'HANYA kematian yang dapat memisahkan'
Itulah ungkapan manis menggambarkan kasih sayang antara suami dan isteri. Bahkan, orang tua-tua dulu pernah 'mengusik' sekiranya ingin memikat suami pastikan para isteri pikat perut mereka dahulu menerusi masakan.
Ketahuilah pengikat kasih sayang yang paling mujarab bagi pasangan berumah tangga tentulah sajian hasil air tangan seorang isteri.
Berbicara perihal masakan isteri, sejak semalam tular di media sosial iklan raya yang mengangkat mangkuk tingkat sebagai elemen utama.
Plot penceritaan mengisahkan watak Mak Teh lakonan Fatimah Abu Bakar. Rutin hariannya adalah menghantar makanan kepada suami yang bertugas sebagai pemandu ambulans walaupun hakikatnya sudah bertahun-tahun suami tercinta pergi menghadap ILLAHI.
Karya iklan tersebut telah mendapat respon positif warga maya yang berasa sedih dan sebak, tanpa disedari air mata menitis pada hujung tontonan.
Namun tahukah korang, rupa-rupanya iklan tersebut merupakan inspirasi kisah benar wanita dikenali Makcik Saadiah Abdullah, 85, yang tinggal di Kampung Padang, Kuala Kenderong, Gerik, Perak.
Saban hari Makcik Saadiah sentiasa menyediakan dan menghantar bekalan makanan buat santapan suaminya, Allahyarham Alias Nik Daud dengan mengayuh basikal kira-kira lima kilometer ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.
Namun begitu, arwah suami beliau yang bertugas sebagai anggota polis botman era komunis telah terkorban dalam satu serang hendap pada 28 Ogos 1975.
Baca juga Perkongsian Kisah Benar Pengalaman Pesakit Covid-19
Demi kasih sayang yang mendalam, kesetiaan dan kerinduan terhadap arwah, Makcik Saadiah tetap meneruskan rutin menghantar makanan ke IPD terbabit selama hampir 40 tahun.
Kisah pilu itu pernah mendapat liputan akhbar tempatan. Biarpun insan dicintainya sudah meninggal dunia, warga emas tersebut tetap gigih menyediakan sajian buat sesiapa sahaja atau anggota polis yang bertugas di sana.
Pada tahun 2012, Makcik Saadiah berhenti melakukan rutin menghantar makanan selepas insiden terjatuh basikal. Ekoran daripada itu, anaknya yang tinggal bersama bertindak membuka tayar basikal supaya ibunya tidak lagi mengayuh kerana khuatir mengundang bahaya.
Bagaimanapun, selepas lima tahun kemudian (Mei 2017), wanita itu kembali menghantar makanan, tetapi kali ini bukan lagi nasi dan lauk-pauk, sebaliknya makanan ringan seperti gula-gula.
Bertambah menarik, Makcik Saadiah juga tidak mengayuh basikal, tetapi membonceng motosikal yang ditunggang anaknya.
Wanita hebat itu juga gemar menghantar bekalan makanan untuk anak dan cucunya di Kampung Pulau Belayar bersebelahan dengan kampungnya.
Malah, beliau sanggup berjalan kaki sejauh hampir dua kilometer ke sana semata-mata untuk melihat cucu dan cicitnya sambil membawa makanan ringan buat mereka.
Kisah ini benar-benar menyentuh hati tatkla melihat betapa setianya Makcik Saadiah berterusan melakukan kebaikan. Mudah-mudahan menjadi pahala yang tidak putus buat suaminya. Semoga beliau diberi kesihatan yang baik.
Sumber: Berita Harian & Rizal Hakim
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang