“Ingatkan orang tak betul mai dengan penuh lumpur satu badan” Itulah reaksi dan tanggapan awal seorang anggota polis bantuan yang dikenali sebagai Azizi Azizan ketika bertemu seorang lelaki yang tidak dikenali datang kepadanya untuk meminta bantuan.

Polis muda berusia 27 tahun ketika itu sedang bertugas di pos kawalan bantuan Malaysia Airport Holding Berdad (MAHB), Subang, Selangor.

Ketika sedang bertugas, dia didatangi oleh seorang lelaki yang telah berjalan sejauh 300 meter dengan keadaan muka dan seluruh badan dipenuhi lumpur.

Lelaki tersebut merupakan penuntut di sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang rupa-rupanya baru sahaja terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Melihat keadaan pemuda itu, Azizi segera memberi bantuan awal kepada mangsa yang dikenali sebagai Afiq Zainudin.

Afiq yang berusia 24 tahun yang memandu kenderaan jenis Proton Saga telah terbabit dengan kemalangan di laluan bulatan ke arah terminal Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sekitar jam 6 petang Khamis lalu.

Ingatkan ‘orang tak betul’, lelaki berlumpur berjalan 300 meter minta bantuan

Pemuda itu memaklumkan kemalangan berkenaan berlaku selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan dan telah terbabas ke dalam longkang besar sewaktu tiba di Bulatan Subang.

Selepas kemalangan, dia berusaha untuk keluar melalui tingkap dan berjalan sejauh 300 meter dalam keadaan lumpur seluruh badan akibat terjatuh ke dalam longkang untuk mendapat bantuan.

Iklan

Azizi menyuruh mangsa berehat dan membersihkan diri sementara menunggu bantuan tiba dan dalam masa yang sama dia mengambil keterangan butiran pemuda tersebut.

Ingatkan ‘orang tak betul’, lelaki berlumpur berjalan 300 meter minta bantuan

“Dia cakap kemalangan dan rasa macam dah tiga hari pengsan. Bila hubungi mak dia, mak dia ckap dia baru sahaja keluar rumah. Rupanya dia pengsan. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umurmu,” tulisnya di laman facebook miliknya dengan beberapa keping gambar ketika kejadian.

Perkongsian Azizi di Facebook miliknya itu juga tular sejak semalam sehingga dikongsi hampir 3,800 pengikut sehingga artikel ini ditulis.

Iklan

Rata-rata warganet turut memuji tindakan Azizi yang berjaya membantu menyelamatkan nyawa pemuda tersebut dan berharap dia segera pulih daripada kecederaan yang dialami.

Warganet juga berharap pihak berkuasa tempatan menambah baik laluan ke arah terminal LTSAAS itu kerana kawasan itu gelap dan membahayakan pemandu yang melaluinya waktu malam.