Inspirasi! Ummi Annur Syahmina wanita berhijab pertama Malaysia sertai Akademi Tentera Udara AS

UMMI Annur Syahmina Sohaini, 20, antara 15 yang terpilih dari 89 buah negara bagi mendapat tempat di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di Colorado Springs, Colorado.

Lebih membanggakan beliau adalah kadet wanita berhijab pertama Malaysia itu diterima masuk ke akademi ketenteraan berprestij di AS tahun ini.

Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berusia 20 tahun itu mahu menjadi contoh terbaik bagi seorang beliau wanita Islam yang patriotik dalam mencapai cita-cita hidupnya.

“Saya terkejut apabila mengetahui bahawa saya adalah wanita berhijab pertama dari Malaysia yang terpilih namun di sinilah saya sangat percaya ada keperluan untuk saya menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang wanita Muslim yang muda dan patriotik.

“Ini adalah laluan yang saya sudah jangka dan pilih dan saya bersedia untuk memulakan pengembaraan dengan sepenuh hati.

“Saya benar-benar berbangga untuk menghadiahkan negara dengan apa yang telah saya capai dan pelajari dan kini bersedia untuk menyumbang dengan minat yang tinggi dan berkat (doa) daripada banyak pihak.”

Baca juga: Tahniah Janushaa! Ini 7 info pegawai wanita TLDM pertama negara tamat pengajian di USNA

Ummi Annur Syahmina bercita-cita menjadi juruterbang jet tempur akan berlepas ke Akademi Tentera Udara AS (USAFA) tidak lama lagi untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Penyelidikan Operasi dan Sains Data.

Sebagai pelatih pertama bertudung di akademi itu, Ummi Annur Syahmina menjangkakan cabaran yang bakal dihadapi.

 

Pun begitu, anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu bertekad untuk beradaptasi dengan keadaan di sana sepantas mungkin.

“Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada akademi ketenteraan AS yang meluluskan penampilan saya dengan hijab untuk berada di sana dan ini telah meningkatkan minat saya untuk berusaha yang terbaik di sana.

“Saya mungkin mengalami sedikit kejutan budaya, tetapi saya berazam untuk cepat menyesuaikan diri dengan situasi dengan bimbingan dan sokongan serta doa yang akan terus saya terima daripada ahli keluarga dan rakan tersayang” kata Ummi Annur Syahmina, individu pertama dalam keluarganya berkhidmat dalam tentera.

Baca juga: 4 pelajar Malaysia terpilih ke akademi tentera berprestij AS

Bakal melanjutkan pengajian dalam Sains Data sebagai subjek terasnya di akademi, Ummi Annur Syahmina berkata bidang itu adalah kemahiran dan pengetahuan yang mendapat permintaan tinggi di dunia pada hari ini.

“Saya amat menyukai mata pelajaran Matematik dan Teknologi Maklumat (IT).

Iklan

“Apabila ditawarkan pengajian Sains Data, saya secara peribadi merasakan adalah satu kemestian bagi saya untuk mempelajarinya dengan lebih balk dan lebih hebat daripada akademi untuk meningkatkan pengetahuan saya.

“Sekurang-kurangnya pemilihan saya ke akademi AS menunjukkan laluan kepada ramai anak muda dan pelajar di luar sana bahawa kajian lapangan Sains Data adalah luas dan mempunyai peluang pekerjaan yang lebih tinggi.

“Dengan permintaan yang semakin meningkat walaupun dalam persekitaran tentera, saya yakin subjek teras ini akan membantu saya ke arah menjadi juruterbang jet tempur dengan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya yang akan menamatkan pengajian pada 2027.

Baca juga: Pegawai kadet TLDM lulus akademi laut berprestij AS, jadi kebanggaan rakyat Malaysia!

Selain Ummi Annur Syahmina, Muhammad Faidh bakal mengikuti pengajian di Akademi Tentera AS di West Point di New York.

Ummi Annur Syahmina dan seorang lagi anak Malaysia, Muhammad Faidh yang akan menyertai Akademi Tentera AS di West Point di New York, dipilih selepas melalui proses pemilihan ketat yang menilai potensi kepimpinan, kecergasan fizikal dan pencapaian akademik mereka.

Menurut laman sesawang rasmi Kedutaan AS di Malaysia, ribuan belia lelaki dan wanita bersaing untuk memasuki Akademi Ketenteraan AS di seluruh dunia dan hanya 10 peratus dipilih.

Ketika ini, terdapat lapan kadet dari Malaysia di Akademi Ketenteraan AS dua di Akademi Tentera AS (West Point New York), tiga di Akademi Tentera Laut AS (USNA) dan tiga lagi di USAFA.

Iklan

Baca juga: Anak Malaysia di mata dunia! Nusaybah Maszlee gondol 6 anugerah siswa cemerlang di Qatar, raih CGPA 4.0

Sumber: Bernama

Sumber dan foto: Bernama, usembassykl  

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang penuh inspirasi.