INSPIRASI buat kaum wanita, ibu berusia 38 tahun ini berjaya menamatkan pengajian PhD sambil membesarkan lapan orang anaknya.

Menggapai gelaran ‘Doktor Falsafah’ bukanlah senang. Tentu perjalanannya tidak mudah dan perlu segala cabaran perlu dilalui dengan hati membulat tekad.

PhD adalah tahap tertinggi dalam pendidikan formal. Justeru untuk mendapatkannya bukanlah perjalanan yang mudah.

Seperti kata peribahasa, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, ia tepat menceritakan pengorbanan wanita ini.

Seperti ibu-ibu lain yang tidak menjadikan keluarga sebagai penghalang untuk menyambung pelajaran, wanita dikenali Dr Zatilfarihiah Rasdi ini sungguh memberi inspirasi apabila berjaya menamatkan pengajian PhD sambil membesarkan lapan orang anaknya.

Menurut laporan China Press, Dr Zatilfarihiah menyelesaikan penyelidikan biokimia pergigiannya sambil membesarkan lapan orang anak yang berusia di antara satu hingga 14 tahun.

“Anak yang sulung masih bersekolah dan yang kecil baru sahaja berusia satu tahun sembilan bulan.

“Jika diingatkan semula, saya tidak dapat membayangkan bagaimana saya dapat melalui ini semua, ia sangat mencabar, lebih-lebih lagi saya mempunyai anak kecil,” ujarnya.

Selain menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan pelajar PhD, Dr.Zatilfarihiah juga merupakan seorang pensyarah di sebuah kolej tempatan.

Katanya, cabaran membesarkan anak-anak menjadikannya lebih berdisiplin dalam bab pengurusan masa.

Pengorbanan yang paling banyak dilakukan oleh Dr Zatilfarihiah sepanjang tempoh pengajian PhD ialah masa rehat.

Selain memastikan tugasan dan penyelidikan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan, dia juga memberikan tumpuan sebaik-baiknya pada keluarganya.

Ujar Dr Zatilfarihiah lanjut, membesarkan anak sambil belajar sebenarnya bukanlah perkara mudah.

Baca juga: : Suami isteri genggam PhD usia 26 tahun, berkahwin dan ada anak bukan penghalang

Inspirasi! Wanita berjaya tamatkan PhD sambil besarkan 8 orang anak
Kredit Gambar: China Press

Ceritanya, pada April 2017 ketika dia mula-mula mendaftar untuk pengajian PhD, dia sudah mempunyai lima orang anak dan sepanjang pengajiannya, dia melahirkan tiga orang anak lagi.

Mengandung, bersalin sambil belajar adalah cabaran yang harus ditempuhi namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian. Baginya apa yang dilaluinya itu adalah rahmat Tuhan buat dia dan keluarganya.

Hampir setiap hari, Dr Zatilfarihiah akan bangun untuk menelaah pelajarannya.

Kemudian pergi ke makmal pada jam 8 pagi hingga 5 petang untuk menyiapkan kertas kajian dan menjalankan eksperimen.

Dia mengaku perkara tersebut memenatkannya namun dia bersyukur kerana sebagai seorang pensyarah dia cepat menyesuaikan diri dengan keadaan itu.

Baca juga Guna kanta pembesar kerana masalah penglihatan, ibu 7 anak tak patah semangat raih PhD

Menurut Dr Zatilfarihiah, suaminya sangat menyokong perjalanannya sebagai pelajar PhD. Ibu bapa kandung dan ibu bapa mertuanya juga turut sama membantu menjaga anak-anaknya ketika dia sibuk menjalankan tugas.

Tahniah Dr Zatilfarihiah atas perjalanan mendapatkan PhD yang sungguh luar biasa. Semoga kisah ini dijadikan contoh buat orang ramai khususnya mereka yang bergelar ibu.

Capailah cita-cita anda di samping keluarga tersayang!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.