KEBAHAGIAAN itu bersifat subjektif. Ia bukan tertakluk seberapa banyak wang yang berjaya dikumpul atau kesempurnaan yang kita miliki.

Kadangkala dengan hal-hal kecil sudah membuatkan kita berasa bahagia. Itu yang dizahirkan oleh seorang pemuda, Muhammad Nor Abdulllah atau mesra disapa dengan nama Dek Mat.

Meskipun dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, lelaki berusia 28 tahun itu berkata, beliau tetap bersyukur dan sentiasa bahagia dengan kehidupannya.

pemuda tanpa lengan

Malah, kekurangan pada diri telah menjadikan pemuda itu lebih bersemangat untuk mencapai cita-citanya.

Ketika ramai orang menganggap impiannya untuk membuka perniagaan sesuatu yang mustahil, Dek Mat berkata, beliau berjaya melakukannya.

“Saya hanyalah seorang penjual nasi lemak yang hanya ada sebuah meja lipat. Walaupun ramai yang menganggapnya tiada apa-apa, secara peribadi, saya berbangga dengan pencapaian diri saya.

“Bagi saya yang penting, saya mencari rezeki halal,“ katanya yang berniaga berhampiran stesen LRT Cheras, Kuala Lumpur sejak bulan Julai lalu.

Artikal berkaitan: Respek, pemuda tanpa lengan bekerja keras jual nasi lemak viral demi survival hidup

Untuk menjalankan bisnes kecil-kecilan itu, beliau mendapat bantuan modal daripada rakan-rakan dan hasil tabungannya sendiri.

Menceritakan rutin hariannya, Dek Mat berkata, sebaik menunaikan solat Subuh, beliau sudah bersiap untuk berniaga.

pemuda tanpa lengan

Beliau yang tinggal di sebuah rumah kedai di tingkat tiga di hadapan stesen LRT Cheras seorang diri akan membawa meja lipat menggunakan leher dan dagunya menuruni anak tangga.

Kemudian, akan berjalan kaki ke tapak jualannya terletak kira-kira 10 minit dari kediamannya.

Nasi lemak jualan Dek Mat diperoleh daripada pembekal dengan jumlah maksimum 400 bungkus dan dijual pada harga RM1.50.

Berbeza daripada peniaga lain yang hanya menunggu pelanggan untuk datang membeli, pendekatan Dek Mat memang unik.

pemuda tanpa lengan

Anak jati Kuala Lumpur yang menamakan bisnesnya sebagai Nasi Lemak Bujang Dekk‘s Mat akan membuat live menerusi Facebooknya setiap hari dari hari Selasa hingga Ahad untuk menarik pelanggan bertandang ke tapak jualannya.

Metodologi berkenaanlah yang membuatkan dirinya menjadi tular di platform media sosial. Ramai yang menyimpulkan kesungguhan anak tunggal itu wajar dijadikan inspirasi.

Beritahu Dek Mat, biasanya lebih kurang jam 10 pagi, jualan nasi lemaknya sudah habis (bergantung kepada keadaan).

Secara puratanya, dalam sehari pemuda cekal itu akan memperoleh kira-kira RM200, namun angka itu tidak konsisten.

dek mat

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, perniagaannya bukan sekadar menjual nasi lemak pada sebelah pagi sahaja.

Pada waktu petang bermula pada jam 3 petang , beliau mengambil inisiatif menjual dua jenis biskut iaitu oat dan almond sambil dibantu sahabatnya, Tengku Mahathir Tengku Mamat, 40, dan anaknya.

Setiap balang biskut dijual pada harga RM9.

Iklan

“Sebenarnya, sebelum berjinak-jinak berniaga nasi lemak, saya pernah bekerja sebagai operator khidmat pelanggan, namun hanya bertahan beberapa bulan sahaja kerana tak berapa minat,“ katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM350 sebulan.

Mahu buka kedai makan

Kepada SinarPlus, Dek Mat berkata, apa yang dilakukannya beliau selama ini adalah mahu membuktikan dirinya mampu berjaya seperti orang lain yang sempurna.

“Saya pun teringin nak beri duit dekat mama untuk belanja harian walaupun kadang-kadang mama tolak. Hati saya sangat gembira apabila beri mama duit hasil titik peluh saya sendiri,“ ujarnya.

Plot kehidupan pemuda gigih itu sungguh berwarna-warni. Ceritanya, pada zaman remaja, beliau banyak merantau seorang diri ke seluruh negeri.

dek mat

“Semasa umur saya 18 tahun, saya suka ‘merayap‘ seorang diri ke Pulau Pinang, Melaka dan beberapa tempat lain. Selain bekerja, saya turut ambil inisiatif bersihkan masjid yang saya tumpang sementara,“ katanya.

Kongsi Dek Mat lagi, beliau pernah terpisah dengan ibu kandung yang dipanggilnya mama selama lebih kurang 23 tahun sebelum bertemu semula selepas kisahnya disiarkan di akhbar. Dek Mat sebelum ini dijaga oleh sebuah keluarga lain.

Iklan

“Alhamdulillah, rasanya macam dah lengkap hidup ini apabila dapat berjumpa dengan mama semula. Saya ingin terus bahagiakannya,“ ujar pemuda itu penuh iltizam.

pemuda tanpa lengan

Pada masa sama, selain bersyukur ibunya sudah berada di sisi, beliau juga sangat berterima kasih kerana rakan-rakannya yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah.

“Peluang niaga yang ada sekarang ini, saya akan manfaatkan dengan bersungguh-sungguh. Jika ada rezeki, saya nak tambah jualan dengan produk jenama sendiri nanti,“ katanya yang masih mencari peluang baharu untuk merealisasikan impian memiliki kedai makan sendiri satu hari nanti.

pemuda tanpa lengan

Apakah pesanan Dek Mat kepada mereka senasib dengannya? “Kita kena sentiasa bersemangat walaupun diri kurang sempurna. Saya tidak pernah salahkan takdir dilahirkan begini sebab saya percaya ALLAH SWT mahu menguji insannya di dunia ini. Reda dan ketentuan ALLAH dan berusahalah sebaik mungkin untuk berjaya dalam hidup. “