MENGHADAM sinopsis hidup wanita Tionghua yang dikenali sebagai Huey Yee memang cukup menyentuh perasaan. Tidak pasti sejauhmana kekuatan kita jika berhadapan dengan nasib yang serupa dengannya.

Kata Huey Yee, beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal terhadap dunia perbankan yang dicintainya sejak sembilan tahun lalu kerana gangguan kesihatan yang bukan biasa-biasa.

Beliau menanggung derita akibat ketumbuhan payudara dan tiroid hingga pakar menasihatkannya menjalani pembedahan.

huey yee

Derita yang ditanggung Huey Yee seolah-olah tidak bertemu titik noktah apabila disahkan pula menghidap sindrom carpal tunnel yang memerlukan satu lagi pembedahan pada tangannya.

“Mahu pegang pen atau angkat cawan pun tak mampu, sering terlepas dan jatuh ke lantai. Saya juga tidak boleh menulis dalam tempoh yang lama,“ akuinya kepada SinarPlus.

Malang terus menimpanya apabila kedua-dua lututnya pula disahkan mengalami chondromalacia patella iaitu satu situasi yang menyebabkan tisu rawan yang terletak di bahagian belakang tulang lutut mengalami kerosakan.

Namun tatkala melihat raut wajahnya pada pertemuan baru-baru ini, Huey Yee kelihatan cekal, tabah dan tenang ketika mengisahkan takdir hidup beliau.

huey yee

Dengan nada penuh semangat, wanita berkaca mata itu berkata, dirinya perlu optimis. Dugaan yang singgah dalam hidup, membuatkannya lebih menghargai dan menyayangi insan di sekeliling.

“Tipulah kalau saya tidak menangis menahan sakit. Jika kaki kanan kejang, saya masih bersyukur kaki kiri tidak sakit.

Artikal berkaitan: Tiada tangan, kaki sempurna tidak halang lelaki ini jadi tauke permaidani    

“Kadang-kadang ada juga rasa putus asa apabila tak boleh nak angkat barang. Syukurlah suami sangat menyokong dan selalu ada bila saya sakit,“ tuturnya menahan air matanya daripada bercucuran.

Pokok terapi diri

Huey Yee meneruskan naratifnya yang sememangnya sarat dengan kisah pilu yang berpanjangan.

“Sebenarnya, saya sudah mula bekerja sejak umur 14 tahun lagi. Ketika itu, saya terpaksa sara diri sendiri untuk sambung belajar dan makan.

“Semua kerja saya buat, termasuk menjadi jurujual di pasar raya dan kedai. Syukur kepada Tuhan, keputusan peperiksaan saya bagus dan dapat lanjutkan pelajaran ke universiti,“ ceritanya.

huey yee

huey yee

Pun begitu, kehilangan bapa dan kawan baik pada tahun 2019, membuatkan wanita berkenaan tersentak.

Iklan

“Jujur saya katakan, sebelum ini saya bekerja bagai nak gila semata-mata nak kumpul duit. Saya tak pernah endahkan rasa sakit saya dan (memang) bergantung kepada ubat tahan sakit semata-mata.

“Bila dua insan ini pergi meninggalkan saya, saya terduduk dan berkata dalam hati, ‘saya berkerja keras selama ini untuk apa? Nanti sudah tiada, duit yang ada tidak berguna lagi‘,“ soalnya pada diri sendiri.

Apalah erti hidup di dunia ini tanpa sokongan moral daripada orang tersayang. Sesungguhnya, Huey Yee sangat bernasib baik kerana suaminya, Zidane Lai, 32, sentiasa berada di sisi.

huey yee

Pada masa sama, bekas pegawai bank itu juga terus melangkah ke hadapan dan enggan terus larut dalam kedukaan.

Beliau secara aktif telah melakukan aktiviti menanam pokok sekali gus memberi peluang kedua kepadanya menjana pendapatan.

“Selepas berhenti kerja, saya ada mencari pekerjaan yang boleh buat dari rumah memandangkan sekarang pergerakan terhad dan tidak boleh memandu lagi. Saya berusaha keras mencari kerja baharu kerana tidak mahu membebankan suami.

Iklan

“Duit simpanan pun sudah habis biayai kos pembedahan dan rawatan susulan. Hati saya sedih apabila suami terpaksa buat kerja sambilan lain untuk tanggung kami sekeluarga. Sebab itu saya syukur sangat hasil projek indoor plant ini ada pembeli dan peminatnya,“ katanya.

huey yee

Huey Yee berterus terang memberitahu, hasil jualan anak pokok berjaya membuatkan hidupnya gembira selain menjadi terapi dirinya yang sebelum ini berdepan depresi yang teruk kerana gangguan kesihatan.

“Pernah saya terfikir mahu bunuh diri terjun bangunan sahaja bila memikirkan diri sudah tidak boleh bekerja dan susahkan suami. Namun, semua pemikiran negatif itu saya buang jauh-jauh.

“Saya selalu ingatkan diri, jangan fikir terlalu banyak atau bukan-bukan, jaga kesihatan, hargai masa sekarang, apa yang kita ada dan juga orang yang menyayangi kita. Jangan lupa bersyukur nikmat yang ada selagi boleh,“ nasihatnya.