BAIT-BAIT lagu Jejaka Idaman yang cukup catchy itu sudah cukup mempopularkan pelantunnya, Raja Ema Raja Ibrahim sekitar tahun 1980-an.

Pada era itu, ‘saham‘ anak kepada Yusni Jaafar itu memang melambung tinggi.

Selain Jejaka Idaman, lagu berjudul Pertemuan Ini, Kekasih Sepi, Angan-angan, Sebuah Catatan Remaja, Mentari Korea, Kebebasan dan Gelita Pandangan telah meletakkan namanya di puncak.

Selain menyanyi, beliau juga dilabelkan sebagai artis hebat apabila turut berlakon filem seperti Mawar, Sejati dan Cikgu Romantik.

raja ema

Menunjukkan Raja Ema berada dalam kelas tersendiri apabila anak kelahiran Pahang itu telah membintangi tujuh filem usaha sama Malaysia-Indonesia, antaranya Cinta Berdarah.

Pendek kata, selebriti yang kini berusia 52 tahun itu merupakan artis yang tiada tolok banding pada zaman kegemilangannya.

Selepas mendirikan rumah tangga dan memiliki dua anak, tiada khabar berita daripadanya.

Pun demikian, wajahnya yang menjadi penghias majalah Nona pada November 2012, telah membuatkan pengarah-pengarah drama mahupun pengiklan berlumba-lumba  mendapatkan khidmatnya.

Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, kelibatnya tidak kelihatan lagi di kaca televisyen. Apa sudah jadi dengannya? Ingin mengetahui tentangnya, penulis menghubungi aktres yang mesra disapa Kekma itu.

Kepada SinarPlus, pelakon yang masih jelita itu mengaku bahawa dirinya kini sibuk dengan perniagaan menjual acar.

raja ema

“Alhamdulillah, Kekma tak menang tangan uruskan tempahan acar. Kekma pun tak sangka boleh masak resipi rahsia acar turun-temurun keluarga.

“Melihat perkembangan baik itu, Kekma fokus untuk jaga kualiti produk acar. Siapa sangka, hanya bermula dengan dua acar, kini sudah bertambah menjadi 13 acar buah-buahan premium yang sememangnya lain daripada lain dalam tempoh setahun,“ ceritanya penuh ceria.

Bagaimana secara tiba-tiba keberanian untuk berniaga timbul?

Katanya, lebih kurang lima tahun lalu, dirinya menimba pengalaman dalam dunia perniagaan di Singapura. Sebelum acar, beliau secara kecil-kecilan turut menjual barangan kosmetik dan minyak wangi.

“Semua produk termasuk projek acar Kekma memang diusahakan di Singapura. Alhamdulillah, sejak bulan puasa tahun lepas, ramai yang mula menempah acar hingga habis dijual.

“Disebabkan sambutan luar biasa itu, baru Kekma pasarkan di Malaysia,“ katanya yang rajin berulang-alik dari Malaysia ke Singapura.

raja ema

Bercakap kepada SinarPlus, pemegang watak Huzairah dalam filem Keluarga Iskandar The Movie itu mengakui, penangan wabak Covid-19 memberi kesan cukup mendalam terhadap kehidupan semua anak seni.

“Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pada Mac lalu, Kekma terkandas di Melaka. Masa itu memang panik sebab tidak boleh ke Singapura untuk jual acar dan produk kecantikan memandangkan sebelum ini, memang Kekma fokus jualan produk di sana.

“Bagaimanapun, ada hikmah di sebaliknya. Kekma tak sangka jualan acar Kekma laris. Memang lega dan dari situ Kekma lihat, acar ini ada peminatnya tersendiri,“ katanya.

Apa sudah jadi dengan kerjaya seni?

Iklan

“Sebenarnya Kekma masih menerima tawaran berlakon, namun masih menunda semua tawaran memandangkan wabak Covid-19 masih bermaharajalela.

raja ema

“Insya-ALLAH Kekma masih belum ‘cuci tangan‘ lagi dalam bidang seni, cuma Kekma masih berat hati nak ‘keluar‘ sebab pandemik ini,“ tuturnya.

Mengenai bidang nyanyian, usahawan selebriti itu berkata, beliau ada merancang untuk merancakkan promosi lagu single terbaharunya bertajuk I.D Cintamu ciptaan Fauzi Marzuki.

Namun, seperti berlakon, hal itu juga terpaksa difikirkan semula.

PROFIL

Nama: Raja Ema Raja Ibrahim

Iklan

Nama komersial: Raja Ema

Umur: 52 tahun

Asal: Pahang

Kerjaya: Pelakon, penyanyi, model dan usahawan

Pencapaian:

  • Pelakon Pembantu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 1988
  • Bintang Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) 1987
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM)  1989

Album:

  • Volume 1 (1985)
  • Volume 2 (1986)
  • Titik Bermula (1988)
  • Tidakkah Aku Menyintaimu… (1989)
  • Hanya Untuk Mu (1999)
  • Kenangan Manis Ema (1989)
  • Memori Hit: Raja Ema (2007)
  • Pertemuan Seribu Kenangan (2013)