DILAHIRKAN sempurna tanpa cacat cela, malahan pada zaman kanak-kanaknya, kehidupan wanita ini penuh warna-warni.

Ketika itu, kata Noor Lizah Salman, dia mampu berlari bebas seperti orang lain. Tidak pernah terdetik dalam lubuk hatinya yang dirinya akan hanya berkerusi roda pada satu hari nanti.

Namun, kuasa ALLAH mengatasi segalanya. Daripada seorang yang tidak pernah menanggung sakit yang teruk, dia kini lumpuh separuh badan.

Noor Lizah OKU tauke kuih

“Saya masih ingat lagi, rasa sakit mencucuk-cucuk pada pinggang yang datang secara tiba-tiba membuatkan kaki ini terus lemah tidak berdaya.

“Semasa kejadian, saya berumur 15 tahun dan bersekolah asrama. Cikgu yang menyedari keadaan saya masa itu terus membawa ke hospital,“ imbas anak bongsu daripada 10 beradik itu.

Cerita wanita berusia 54 tahun itu lagi, kata-kata doktor yang memaklumkan keadaan badannya yang akan lumpuh dari paras pinggang ke kaki buat selama-lamanya bagaikan halilintar yang menghentam bumi.

“Saya memang sangat sedih dan menjadi murung. Pun demikian, saya cuba bersikap positif.Macam-macam cara emak dan ayah buat untuk merawat saya dalam tempoh dua tahun, tetapi keadaan masih tidak berubah. Sampaikan pada satu tahap, saya merasakan diri ini tidak berguna langsung,“ luahnya kepada penulis.

Noor Lizah OKU tauke kuih

Fikiran anak kelahiran Kulai, Johor ketika itu mula meracau. Pelbagai soalan yang bermain dalam benaknya. Bagaimana dirinya mahu merealisasikan citi-cita menjadi anggota polis?

Bagaimana mahu berdepan dengan masyarakat? Ah, semuanya serba tak kena!

“Saya rasa hidup ini sudah tak bermakna lagi. Saya tertekan dan pada saat saya menyalahkan takdir, mak dan ayahlah yang datang dan memberi banyak dorongan,“ ujarnya sebak.

Ubah nasib

Meskipun terpaksa bergantung dengan kerusi roda sepanjang masa, ibu kepada dua cahaya mata itu bangkit dengan kekuatan yang ada untuk mengubah nasib.

Kata Noor Lizah, sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, dia terus mengambil peluang mempelajari kemahiran jahitan selama dua tahun di sebuah pusat latihan orang kelainan upaya (OKU) di Cheras, Kuala Lumpur.

“Hidup bergaul dengan kawan OKU membuatkan saya mula tersedar. Rupa-rupanya ada insan yang diduga jauh lebih teruk lagi, namun mereka masih mampu tersenyum. Semua itu menjentik hati dan membuatkan saya kembali bersyukur,“ akui wanita itu yang turut bertemu jodoh di pusat latihan tersebut.

Noor Lizah OKU tauke kuih

Bersembang dengan wanita gigih itu membuatkan penulis kagum dengannya transisinya. Masakan tidak, beliau berjaya menonjolkan dirinya sebagai atlet kebangsaan dalam sukan tenpin boling.

Pencapaian tertingginya adalah ketika memenangi  pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Iklan

Bercerita mengenai momen terindah itu, Noor Lizah memberitahu, beliau sanggup mengeluarkan bajet sendiri untuk menampung kos latihan yang agak tinggi.

“Alhamdulillah, pengorbanan masa dan tenaga berbaloi apabila saya dapat diserap masuk dalam pasukan kebangsaan sebelum bersara pada tahun 2018,“ ujar suri hati Shaikh Hashim Shaikh Mahmud, 55, itu.

Noor Lizah OKU tauke kuih

Sebagai persediaan masa depan dan menyedari kemampuan untuk bersukan ada hadnya, wanita itu mengorak langkah dengan menjual biskut raya sejak tahun 2012 sehingga kini.

“Dulu jual dari rumah, sekarang syukur sudah ada kedai di UTC Keramat Mall, Kuala Lumpur. Nama kedai saya ialah Bonda Liezda,“ katanya.

Iklan

Seperti peniaga-peniaga lain, beliau juga tidak terkecuali berdepan dengan cabaran dalam bisnes.

“Dua tahun pertama berniaga, jualan kurang memberangsangkan. Sedih memang sedih sebab orang tidak kenal produk kita lagi.

Noor Lizah OKU tauke kuih

“Namun saya tak cepat mengalah, berkat kesungguhan dan promosi tanpa henti, jualan bertambah baik pada tahun ketiga. Saya berterima kasih kepada adik beradik, jiran dan kawan-kawan kerana terus menyokong saya. Dulu saya hanya ada dua produk biskut iaitu semperit dan tart nanas, kini sudah bertambah menjadi 17 jenis,“ ceritanya penuh kesyukuran.

Tidak mahu golongan OKU meratapi nasib dan terus ketinggalan, Noor Lizah menitipkan kata-kata semangat untuk mereka.

“Jangan sesekali malu atau rendah diri dengan kekurangan yang ada. Kita boleh hidup sama seperti orang lain jika rajin berusaha dan tidak mengenal erti putus asa. Saya jadikan kekurangan saya sebagai sebagai penguat hidup, saya mahu anda di luar sana juga begitu,“ pesannya.