PESILAT kebangsaan negara, Rina Jordana Adnan hadir ke Studio Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini dengan pakaian ringkas dan tanpa sebarang calitan mekap.

Apabila beliau dirias oleh jurumekap terkenal, Vee Muhammad, Rina Jordana atau mesra disapa Rina, penampilan berubah seolah-olah orang lain.

Wanita yang masih bujang berketinggian 150 sentimeter itu kelihatan berbeza. Lebih ayu, namun sisi ketangkasannya masih terserlah. Busana tajaan Mek Kembang Cotton yang berwarna biru dan merah begitu sesuai pada tubuh badan wanita yang memiliki berat 50 kilogram itu.

rina jordana

Menariknya, beliau sedikitpun tidak mengeluh, sebaliknya terus memberi pose istimewa seperti yang dikehendaki oleh jurufoto, Asril Aswandi Shukor.

Pemilihan Rina untuk wajah SinarPlus pada kali ini ada sebabnya. Wanita berusia 40 tahun ini mempunyai portfolio yang sangat dibanggakan. Beliau diberi jolokan sebagai  Ratu Silat Negara berikutan pencapaian hebatnya dalam siri kejohanan silat olahraga peringkat negara, Asia termasuk dunia sejak tahun 1997.

Kepada SinarPlus, Rina galak bercerita tentang minatnya dalam arena persilatan.

rina jordana

Beliau yang kini merupakan Penolong Pegawai Belia dan Sukan di Majlis Bandaraya Shah Alam secara jujurnya berkata, minatnya terhadap arena persilatan bermula agak lewat.

“Sebenarnya, ketika saya bersekolah rendah lagi, ayah sudah minta masuk silat, tetapi masa itu belum ada minat lagi. Dulu tak tahu pun mak ayah ini sebenarnya orang silat dan ajar budak silat.

“Namun, selepas ayah membuka gelanggang silat di Manjung, Perak, saya baru mula berjinak-jinak belajar, ketika itu umur 14 tahun. Bermula daripada detik itulah, bakat saya diasah dan saya pun mula rasa seronok bersilat. Kemudian, saya sertai beberapa pertandingan mewakili negeri bermula umur 17 tahun,“ ceritanya penuh keterujaan.

Sesungguhnya, kata anak kedua daripada enam beradik itu, memiliki ibu bapa yang hebat bersilat menjadi kelebihan buatnya untuk mendasari arena persilatan tanpa batasan.

rina jordana

Bapanya, Adnan Mohamad, 65, dan ibunya, Rosinah Jantan, 62, merupakan tokoh silat yang cukup disegani di Malaysia.

Mereka merupakan jurulatih bertauliah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.

“Selain saya, tiga lagi adik turut sama dalam arena ini. Kami mahu mengikut jejak langkah mak ayah,“ katanya.

Meneruskan ceritanya, Pesilat Olahraga Terbaik Malaysia tahun 2007 hingga 2009 itu berkata, dirinya bukannya secara automatik terus melakar rekod cemerlang dalam sukan itu.

rina jordana

“Seingat saya, bakat saya mula terserlah selepas saya pertama kali terpilih dalam senarai skuad kebangsaan (tahun 1998) selepas mewakili Perak untuk Sukan Malaysia (Sukma) 1997.

“Selepas itu, barulah orang pandang bakat saya. Alhamdulillah, saya berjaya mengekalkan kejuaraan dalam Kejohanan Silat Kebangsaan selama 16 tahun berturut-turut (tahun 1997 hingga 2013).

“Apabila berjaya mengekalkan kejuaraan, saya berpeluang untuk menyertai kejuaraan dunia. Kenangan paling manis apabila saya membawa pulang pingat emas sempena ASEAN Games Busan Korea 2002 (Acara Jemputan), Kejohanan Pencak Silat Terbuka Eropah 2004 di Belgium dan Kejohanan Silat Dunia pada tahun 2007,“ katanya dengan wajah berbunga-bunga.

Dalam banyak pertandingan yang disertai, Rina berkata, berlawan dengan adik sendiri pada Sukan Selangor kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu pertembungan ‘legend‘ dan tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

rina jordana

Iklan

Ujarnya, ketika itu, beliau perlu bersikap profesional dan buktikan kemampuan diri meskipun berdepan darah daging sendiri.

“Meskipun kami adik-beradik, namun masing-masing mewakili negeri yang berbeza. Bukan mudah sebenarnya sebab ia bermain dengan emosi, mental dan fizikal. Tak senang nak berdepan, tetapi itulah, adik kena mengalah dengan kakak,“ seloroh graduan Universiti Teknologi Mara yang memberitahu, beliau akhirnya dinobatkan sebagai juara.

Penulis kemudian bertanya padanya mengenai penglibatan seorang wanita dalam sukan lasak. Bukankah ia bahaya? Bukankah kecederaan pada anggota tubuh badan boleh ‘singgah‘ pada bila-bila masa sahaja?

rina jordana

Mendengar soalan-soalan itu, Rina hanya tersenyum. Kata pemegang Diploma Kesihatan dan Kecergasan itu, hal tersebut sememangnya tidak dapat dielakkan.

“Itu antara risikonya, tetapi saya akui, dalam dunia persilatan yang saya pilih ini, lebih banyak manis daripada pahit. Walaupun pernah berdepan kecederaan teruk seperti patah ibu jari kaki dan patah jari pada saat-saat akhir pertandingan sehingga diminta undur diri, namun saya tidak mahu mengalah.

rina jordana

“Memang rasa ralat kalau kita terpaksa mengalah disebabkan kecederaan, lebih-lebih kalau sudah mara ke peringkat final. Mungkin saya ini jenis degil orangnya dan berbekalkan semangat yang ada, saya biasanya akan teruskan pertandingan dan apabila diumumkan sebagai pemenang, ia merupakan satu kepuasan yang maksimum kepada saya,“ katanya.

Tutur Rina, sebagai pesilat, penting untuk dirinya waima kepada sesiapa sahaja memiliki minda yang positif, di samping mempunyai skala keyakinan yang tinggi.

Sukan ekstrem

Iklan

Selepas bersembang lama, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mendedahkan bahawa beliau bukan sahaja seorang yang aktif dalam sukan silat, malah futsal dan sukan mempertahankan diri atau Mixed Martial Arts (MMA).

Pencapaian wanita itu bukan calang-calang. Beliau bersama pasukannya berjaya meraih emas untuk Kejohanan Futsal Liga Kebangsaan 2006 hingga 2014. Ya! Lapan tahun berturut-turut mempertahankan gelaran tersebut.

rina jordana

Berkongsi pengalaman sukan ekstrem MMA pula, penerima Anugerah Khas Datuk Bandar Tahun 2008 itu berkata, pada awalnya, beliau tidak pernah merancang untuk melibatkan diri dalam perlawanan dalam gelanggang yang disifatkan cukup mencabar dengan pesaing daripada pelbagai latar belakang seni mempertahankan diri.

Sebelum bercerita lanjut, Rina berkata, ada kisah di sebaliknya penglibatannya dalam sukan MMA.

“Saya sebenarnya kecewa selepas nama saya ditolak untuk Kejohanan Silat Kebangsaan pada tahun 2015 atas alasan faktor umur, meskipun sudah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal.

rina jordana

“Ketika itu, badan sudah fit dan saya bersedia untuk bertanding. Selepas nama tak tersenarai, saya tak tahu nak buat apa, sehinggalah ada kawan cadang masuk MMA. Risau juga sebab bercampur dengan seni pertahanan diri yang berbeza-beza,“ katanya.

Segalanya berubah selepas Rina secara perlahan-lahan membiasakan diri dengan platform baharu itu.

“Tatkala pertama kali menjejakkan kaki di gelanggang, perasaan memang lain lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pesaing yang bersaiz besar. Saya memang gementar, tetapi berbekalkan pengalaman dan teknik jatuhan, alhamdulillah, saya boleh mara ke hadapan.

“Dek pengalaman teknik perlawanan MMA yang sedikit, saya mengalami kecederaan teruk pada tulang pinggul. Sekarang sudah okey dan kalau ada peluang, memang nak cuba lagi,“ katanya yang pernah menawan Island Peak di Banjaran Himalaya, Nepal.

Misi Everest

Rina yang gemar berbasikal di jalanan dan di dalam hutan itu berkata, beliau seboleh-bolehnya mahu mengalirkan legasi darah pendekar keluarganya kepada generasi baharu.

rina jordana

“Mungkin ketika ini saya meneruskan legasi mak dan ayah, jadi sudah tiba masanya saya latih anak buah yang ramai untuk dibentuk jadi skuad negara. Mereka pun sudah tunjuk minat yang tinggi dalam seni silat.

“Selain itu, saya pun ada buka kelas silat, cuma ketika ini, latihan terpaksa ditutup buat sementara waktu disebabkan penangan wabak Covid-19,“ ujarnya.

Apa lagi yang Rina ingin lakukan, tanya penulis. Wanita kompetitif itu lantas berkata, beliau berhasrat menawan Gunung Everest.

rina jordana

Katanya, beliau sebenarnya adalah salah seorang peserta ekspedisi Wawasan Everest 2020. Bagaimanapun, misi berkenaan yang dijadualkan pada April lalu terpaksa ditunda disebabkan Covid-19.

rina jordana

“Besar harapan saya jika saya diberi peluang sekali lagi pada masa akan datang. Saya sentiasa positif dengan peluang yang ada dan akan terus menjalani persediaan secara persendirian untuk mengekalkan stamina, kekuatan kaki dan tangan.

“Faktor usia bukan penghalang untuk saya kejar impian. Selagi ada kemahuan, di situ ada jalan. Sentiasa jaga kesihatan dan amalkan gaya hidup sihat, itulah petua awet muda,“ ungkapnya.