KEPADA yang memikirkan bahawa tugas anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sesuatu yang mudah, singkirkan perspektif itu jauh-jauh.

Bertemu dengan Leftenan Muda Pertahanan Awam (PA) Kuala Selangor, Suzaini Sulaiman, 47, sememangnya membuatkan penulis kagum dengan pengorbanannya yang tidak berbelah bahagi demi masyarakat dan negara.

Barisan pengalaman yang dikutipnya sangat menarik untuk dihayati dan dijadikan iktibar.

Dalam temu bual di Studio Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Suzaini hadir dengan sut lengkap APM diiringi semangat yang berkobar-kobar.

Enggan membuang masa, penulis menyogoknya dengan pertanyaan, apa perkara yang paling tidak boleh dilupakan sepanjang menjadi anggota APM sejak tiga tahun lalu?

Sambil menghela nafasnya, Suzaini berkata: “Nyawa saya hampir melayang dalam satu kemalangan pada tahun 2018.

suzaini APM

“Ketika itu saya nyaris dilanggar sebuah kereta yang hilang kawalan ketika sedang menjalankan operasi bantuan kecemasan dan kawalan lalu lintas di laluan Kilometer 448 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Rawang, Selangor.

“Pada masa itu, saya sedang berdiri dan jarak saya dengan kereta yang terbabas itu tidak sampai satu meter.“

Riak wajahnya tampak serius ketika mengimbau pengalaman lalu. Suzaini masih ingat lagi, sewaktu kejadian, beliau sedang memberi isyarat kepada pemandu lain selepas menyedari ada kemalangan berlaku di laluan tersebut.

“Kawasan di situ gelap dan ramai pemandu mungkin tak sedar ada kemalangan. Namun, memang sudah terdetik dalam hati saya, kalau orang tak nampak ni mesti saya kena langgar sebab lebuh raya ketika itu banyak kereta.

“Saya kata pada diri, kalau dah takdir ajal di situ, saya reda saja,“ imbau anak jati Tanjong Karang itu.

Dengan kuasa ALLAH SWT, ujar Suzaini, umurnya masih panjang, namun mengakui beliau masih terngiang-ngiang dengan kejadian ngeri itu.

“Bayangkan nyawa saya bagai telur di hujung tanduk. Terus terang, saya masih trauma bila ingat balik kejadian itu, saya masih teringat-ingat bunyi (dentuman) kuat kereta terbabit menghentam kereta di hadapan saya. Ya, saya dekat saja di situ, tapi ALLAH selamatkan saya,“ katanya dengan mimik wajah penuh ketakutan.

Pun demikian, bekas pengamal media itu berkata, kerjaya APM tidak selalunya serius dan mendebarkan kerana terdapat juga kes yang menggelikan hati.

Amanah

“Begini, kami terima aduan mengenai ular. Sebaik sampai di lokasi, bukannya ular tetapi katak. Kami pernah juga terima kes kucing terperangkap di atas bumbung rumah, dalam enjin kereta dan atas pokok,“ katanya dengan hilai tawa menceriakan.

suzaini APM

Iklan

Ujar lelaki yang berbadan tegap dan berkulit sawo matang itu, deretan peristiwa yang ditempuh sepanjang menjadi anggota APM mematangkan dan memberi erti yang besar dalam hidupnya.

Kepada SinarPlus, Presiden Persatuan Persekutuan Taekwondo Antarabangsa Daerah Kuala Selangor itu mengakui bahawa dirinya sedar dengan tanggapan sinis orang ramai bahawa kerja sebagai anggota APM tidak membawa apa-apa makna dan tidak mendatangkan untung.

“Ya, saya faham, siapalah yang nak berkhidmat dengan mencurah keringat dan penat lelah sebagai anggota penyelamat jika hanya dibayar dalam bentuk elaun dan bukannya gaji bulanan.

“Namun bagi saya, itu bukan soalnya. Saya memang mempunyai minat yang mendalam dan itu membuatkan saya lebih kuat.

suzaini APM

Iklan

“Dari kecil lagi, saya suka dengan aktiviti amal sehingga sanggup jadi sukarelawan pemandu ambulans sebelum terlibat sepenuh masa sebagai anggota APM,“ katanya.

Ujar Suzaini, beliau sendiri tidak menyangka, kini ilmu bantuan kecemasan semakin dikuasainya.

“Alhamdulillah, banyak ilmu dipelajari sepanjang tempoh saya berkhidmat. Menjadi APM sebenarnya bukan sekadar beri bantuan kecemasan atau menjadi pasukan tambahan untuk badan penyelamat tetapi sumbangan kami lebih daripada itu.

“Percayalah, baju uniform biru ini bukan sekadar uniform biasa tetapi mampu menaikkan semangat dan keyakinan diri untuk membantu mereka yang memerlukan,“ ungkapnya.

PROFIL

  • Nama: Suzaini Sulaiman
  • Umur: 47 tahun
  • Asal: Tanjong Karang, Selangor
  • Tahap pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
  • Kerjaya: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
  • Penghargaan:Sijil penghargaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor
  • Sijil penghargaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang
  • Sijil penghargaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor
  • Sijil penghargaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor
  • Facebook: Suzaini Sulaiman
  • Instagram: @superzai