BILA bangun pagi dengan tiada kerja, rasa diri ini tidak berguna.“

Itu luahan perasaan penuh melankolik Mohd Shahrill Mohamed Nasaruddin, 37, apabila kerjayanya sebagai badut dengan nama Yaya The Clown ‘lenyap‘ gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.

Kepada SinarPlus, bapa kepada dua anak itu menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum meneruskan kata-kata.

“Saya hampir putus harapan, bayangkan nama Yaya The Clown sudah meniti di bibir ramai pelanggan termasuk artis terkenal.

YAYA CLOWN

“Jadual tempahan majlis sambutan hari jadi selalunya penuh, belum lagi job persembahan di sekolah dan syarikat swasta,“ kata bapa kepada dua anak itu mengimbau zaman kegemilangan Yaya The Clown.

Mohd Shahrill berkata, beliau fikirkan musibah Covid-19 hanya seketika, rupa-rupanya melebihi daripada jangkauan akal logiknya.

“Ia membawa kesan mendalam kepada kami sekeluarga. Bila banyak kerja batal, saya sudah lemah semangat. Pujuk juga hati ini, mungkin bulan puasa saja, namun selepas Aidilfitri, keadaan masih sama.

“Duit simpanan pun semakin susut,“ kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Geomatik, Universiti Teknologi Mara itu.

YAYA CLOWN

Enggan mengalah, bekas juruukur itu berkata, beliau memutuskan untuk membuka perniagaan menjual cendol.

“Alhamdulillah bisnes cendol dapat sambutan. Asas (buat cendol) sudah ada, cuma nak belajar untuk sedapkannya. Alhamdulillah rezeki ALLAH buat kami sekeluarga masih ada,“ tuturnya penuh kesyukuran.

Rindu

Meskipun rezeki bidang baharu itu mula nampak hasilnya, anak kelahiran Pulau Pinang itu tidak sesekali melupakan Yaya The Clown.

“Jiwa saya sangat mendalam dengan watak badut ini. Rindu dengan Yaya The Clown. Sebelum saya dapat kerja sebagai juruukur, saya memang sudah aktif buat persembahan (badut) untuk kanak-kanak. Sudah lebih 12 tahun saya jadi badut.

Iklan

“Jiwa saya sangat sayang dengan kanak-kanak. Saya gembira bila ada yang suka dan menariknya, mereka masih kenal saya walaupun jumpa di luar. Semua itu buatkan saya bahagia,“ katanya dengan mata berkaca.

YAYA CLOWN

Mohd Shahrill sedar, sewa rumah dan kedai yang harus dilangsaikan, membuatkan beliau terpaksa melupakan seketika watak badut tersebut.

“Memang saya rindu sangat-sangat mahu sarung baju badut dan datang gembirakan hati pelanggan cilik, namun apakan daya, keadaan belum mengizinkan. Walaupun ada terima tempahan pada skala kecil, namun belum dapat tampung perbelanjaan,“ ujarnya.

Lelaki itu berkata, dirinya sedaya upaya mahu menjadi seorang yang positif dan setia berpegang kepada prinsip jangan putus asa.

Iklan

“Kepada golongan suami yang kehilangan kerja, nasihat saya, jangan cepat putus asa dan jangan salahkan takdir. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya dan berusahalah untuk mencari rezeki lain bagi menampung keluarga tersayang.

“Sesungguhnya, Covid-19 ini sedikit sebanyak memberi pengajaran buat kita supaya jangan terlalu boros dan perlu pandai menguruskan kewangan. Sudah tiba masanya kita belajar erti berjimat,“ pesannya.