KETIKA mula berjinak-jinak untuk belajar memasak beberapa tahun lalu, secara kebetulan penulis menonton rancangan Icip-Icip yang dihoskan olef Cef Anis Nabilah Umaruddin, 33.

Aura Cef Anis cukup luar biasa. Umpama satu tarikan magnet, cara beliau mengendalikan program itu secara automatik terus memujuk hati penulis memegang sudip dan kuali di dapur.

Bagi penulis, kepetahan beliau bertutur, skil memasak, raut wajah yang anggun dan ekspresi penyampaian merupakan faktor signifikan menjadikan dirinya unik berbanding cef lain di Malaysia. Barangkali ramai yang bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Seperkara, penguasaan bahasa Inggerisnya yang baik juga merupakan satu nilai tambah kepada dirinya untuk melangkah jauh hingga ke persada antarabangsa.

Pendek kata, jolokan Dewi Kulinari kepada Cef Anis memang bertepatan, tiada keraguan.

Kesempatan untuk menemu bual wanita berdarah kacukan Pakistan itu pada Khamis lalu membuka ruang kepada penulis menebak sisi peribadinya dengan lebih mendalam.

chef anis nabilah

Kepada SinarPlus wanita itu mengakui, kejayaan yang dikecapinya pada hari ini bukan hadir sekelip mata. Tiada tiket ekspres untuk itu juga, ujar Cef Anis.

“Saya bertatih dari bawah,“ katanya penuh ketegasan.

Sambil memegang erat kedua-dua tangannya, ritma suara cef selebriti itu berubah menjadi melankolik.

Artikel berkaitan: Demi kesihatan nenek, Neelofa sanggup tak balik Kelantan

“Saya masih ingat lagi, ketika saya masih hijau dalam bidang ini, ramai yang ragu-ragu kerana saya seorang wanita bersaiz genit. Namun, saya percaya kalau kita bekerja keras, kita akan capai matlamat kita.

“Mak saya sentiasa mendorong saya mengejar impian, kata dia, tiada apa yang mustahil. Apa yang penting, jangan cepat putus asa. Kita harus ada pemikiran seperti itu untuk berjaya dalam mana-mana bidang. Pedulikan persepsi negatif segelintir pihak.

chef anis nabilah

“Saya juga terus berpegang pesanan mak supaya kita buat sesuatu lain daripada yang lain. Jadi, bukan setakat memasak saja, saya mengajak orang untuk makan dengan sihat dan menu yang disediakan pun cantik mata memandang,“ katanya.

Cemerlang

Diam tidak diam, Cef Anis sudah mencipta nama dalam bidang kulinari lebih sedekad lamanya.

Profil pencapaiannya memang mengagumkan. Bayangkan, meskipun baru mencecah usia 30-an, beliau sudah mengendalikan lebih 35 rancangan masakan di dalam dan di luar negara.

Wanita itu juga merupakan satu-satunya cef selebriti wanita Malaysia yang muncul dalam program travelog makan-makan, My Taste of Hong Kong (saluran TLC Asia) dan Eating Wild (saluran Asian Food Channel).

chef anis nabilah

Menariknya lagi, beliau bersama tiga adiknya termasuk Aisya Hasnaa diberi kepercayaan menghiasi program realiti, The Dream Sisters.

Apa perkembangan terkini Cef Anis? Beritahunya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, beliau masih tetap aktif memasak kerana dirinya tidak betah untuk duduk diam sahaja.

Kepada yang mengikuti laman Instagramnya, Cef Anis berkongsi beberapa resipi masakan asas dengan teknik paling mudah tetapi lazat seperti roti canai, kek coklat, sandwic keju cendawan dan macam-macam lagi.

Jangan tidak percaya, daripada proses merakam, mengedit dan memuat naik video semuanya dilakukannya sendiri!

chef anis nabilah

“Boleh dikatakan agak mencabar tetapi menyeronokkan. Banyak saya dapat belajar. Melalui video itu, saya juga berkongsi tip memasak dan beberapa menu harian khas untuk pengikut saya.

“Selain itu, saya juga dapat bekerja dengan pelbagai jenama terkenal seperti Barilla, Thermomix, Knorr dan Nespresso serta sempat merakam content (kandungan) bersama Asian Food Network dan Discovery Channel Asia,“ ceritanya.

Iklan

Dalam pada itu, sesuai dengan mood raya yang masih berbaki lagi, SinarPlus turut bertanyakan bagaimana sambutan lebaran Cef Anis kali ini?

Intonasinya terus ceria. Beliau memberitahu, buat pertama kalinya mereka adik-beradik dapat berkumpul bersama-sama.

chef anis nabilah

“Lebih membahagiakan, kami dapat solat raya berjemaah. Syukur sangat apabila dapat menatap wajah mak dan ayah pada pagi raya,“ tuturnya sambil memberitahu rendang daging air tangan ibu, kuah kacang, ketupat, lemang dan sayur lodeh merupakan antara menu wajib familinya.

Gaya, teknologi

Penampilan bergaya Cef Anis ketika mengendalikan program kulinari sering menjadi perhatian. Justeru, kesempatan itu penulis memohon beliau menjawab teguran nakal warganet yang antara lain berkata: “Kat dapur pun kena cantik ke?“

Cef Anis terus tertawa kecil sebelum memberi sebarang reaksi.

“Begini, jika untuk penggambaran rancangan masakan, saya harus memakai solekan dan mendandan rambut tetapi jika di rumah, saya lebih selesa bebas solekan dan bergaya santai.

chef anis nabilah

Iklan

“Bagi saya, yang paling penting adalah menjaga kebersihan diri. Kita kena sentiasa bersih dan kemas walaupun di mana jua kita berada terutamanya ketika mengendalikan makanan di dapur.

“Jadi, saya rasa tidak penting untuk kita bergaya sakan melainkan bersolek dan berdandan itu boleh membuat kita gembira, jadi, bolehlah nak cantik-cantik di rumah,“ ungkapnya.

Penulis kemudian mengajak Cef Anis berbicara tentang teknologi dalam dunia masakan. Antaranya yang menjadi trend kini ialah mesin memasak bertaraf mewah seperti pembakar halogen dan penggoreng udara.

Artikel berkaitan: Saya dipilih bukan sebab persis Neelofa

Katanya, pelbagai gajet canggih yang dirintis sememangnya banyak membantu masyarakat memudah dan mempercepatkan proses memasak.

“Selalunya yang memerlukan teknologi seperti itu adalah cef di restoran atau orang yang sibuk tetapi pada masa sama, ingin menyediakan makanan sendiri.

“Saya percaya, teknologi seumpama itu penting untuk perkembangan industri kulinari dunia masa kini,“ katanya.

Profil

  • Nama: Anis Nabilah Umaruddin
  • Umur: 33 tahun
  • Adik-beradik: Anak keempat daripada lapan beradikAsal: Subang Jaya, Selangor
  • Status: Bujang
  • Kerjaya: Cef Selebriti
  • Tahap pendidikan: Diploma Seni Kulinari
  • Facebook: Official Anis Nabilah
  • Instagram: @anis_nabilah