KEKURANGAN pada diri tidak membuatkan Muhammad Nor Abdullah mengalah dan berusaha sebaik mungkin untuk mencari rezeki halal demi kelangsungan hidup.

Pemuda berusia 28 tahun ini sanggup berpanas demi jualan nasi lemak yang diberi nama Nasi Lemak Bujang yang dijual hanya pada harga RM1.50 berhampiran Stesen LRT Cheras, Kuala Lumpur.

Menariknya, kesungguhan pemuda tersebut menarik perhatian warganet sehingga nasi lemak jualannya menjadi viral lebih-lebih lagi ketika sesi live melalui platform Facebook.

Kreativiti mempromosikan nasi lemak melalui media sosial yang dibuatnya ternyata membuahkan hasil apabila jualan laris walaupun ketika ini ramai berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

dek mat

Muhammad Nor ketika dihubungi SinarPlus berkata, pihaknya bersyukur apabila rezekinya semakin murah selepas viral sehingga dapat menjual lebih kurang 400 bungkus nasi lemak sehari.

“Pagi-pagi orang dah tunggu nak beli nasi lemak. Syukur sangat rezeki berniaga ini dapat tampung hidup sebab sebelum ini kerja pun tak menentu, pernah kerja operator tetapi sekejap sahaja.

“Terima kasih kepada yang sudi sokong jualan nasi lemak saya dan jangan lupa dapatkan Nasi Lemak Bujang Dek Mat berhampiran Stesen LRT Cheras ya,” katanya penuh semangat.

Melalui perkongsian live di Facebook miliknya, Muhammad Nor juga gigih membuat promosi jualan sambil dibantu sahabatnya, Tengku Mahathir Tengku Mamat, 40, dan anaknya.

dek mat

Iklan

Sahabat berhati mulia itu dikatakan akan membantu Muhammad Nor atau mesra dipanggil Dek Mat menyiapkan jualan sebelum bergerak ke tempat kerja. Setiap hari tanpa jemu.

SinarPlus difahamkan, setiap hari pemuda ini akan mengangkut meja lipat menggunakan dagu dan bahu dari rumah sewanya di atas rumah kedai untuk ke tapak jualan.

Rumah sewa yang dihuni sejak empat tahun lalu itu menjadi tempat berteduh anak kelahiran Kuala Lumpur ini membina hidupnya secara berdikari sekali gus membuatkan ramai memuji kesungguhannya.

Iklan

Rata-rata warganet menitipkan kata-kata semangat dan ada juga yang ingin menjamah nasi lemak jualannya selepas tamat PKPB nanti.

dek mat

Kepada Dek Mat, SinarPlus mengucapkan semoga berjaya dalam hidup dan jangan sesekali berputus asa dengan kekurangan yang ada. Sesungguhnya rezeki ALLAH buat mereka yang rajin berusaha akan sentiasa melimpah ruah. Insya-ALLAH.