ESOK umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, apabila berkumpul bersama adik-beradik atau berkunjung ke kediaman sahabat, maka kita bukan sahaja perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bahkan harus menjaga adab antara satu sama lain.

Satu daripadanya elak membandingkan kepintaran, keistimewaan dan perkembangan permata hati kita dengan anak orang lain.

Meskipun diakui kadangkala sukar untuk para ibu bapa mengelak tabiat berkenaan, apatah lagi melihat anak orang lain sudah lancar bertutur, sedangkan anak sendiri menyebut perkataan ‘mama’ pun belum.

Perlu difahami, segelintir kanak-kanak cepat bercakap dan segelintir pula sebaliknya. Perkembangan anak-anak itu berbeza.

Menurut Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani (Dr Izzar) pertuturan merupakan salah satu komponen perkembangan anak-anak yang mana ia berbeza mengikut peringkat umur.

“Nak tolong anak-anak bercakap ada banyak cara. Antaranya kita sebagai ibu bapa harus sentiasa bercakap dengan mereka. Biarkan anak-anak meniru dan ikut kita bercakap.

“Namun begitu, ibu bapa perlu bercakap menggunakan perkataan yang betul dan jelas. Kalau mereka (ibu bapa) bercakap bahasa baby yang tak faham, anak-anak pun terikut,” jelas beliau menerusi posting yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya semalam.

Tip anak
DR IZZAR (kiri) menasihatkan ibu bapa bercakap menggunakan bahasa betul berbanding bahasa baby apabila berkomunikasi dengan anak kecil.

Beliau yang merupakan suami kepada pelakon Ummi Nazeera turut memberitahu, apabila anak-anak bercakap sendiri pujilah supaya mereka gembira dan bersemangat untuk terus bercakap.

Iklan

“Selain itu, kurangkan masa mereka bermain gajet atau menonton televisyen.

“Pun begitu, usaha ini bergantung memandangkan sesetengah kanak-kanak lebih banyak bercakap apabila menonton Upin Ipin (siri animasi) atau Cocomelon.

“Mereka akan ikut bercakap, tetapi ada yang diam menonton sahaja. Itu tidak bagus,” jelas beliau.

Iklan

Oleh yang demikian, Dr Izzar menyarankan ibu bapa wajar kreatif supaya anak-anak berinteraktif seperti menyanyi dan bermain dengan gambar.

“Ayra (Ayra Aneesah) sekarang dah boleh bercakap dan gabung perkataan. Menari pun suka. Alhamdulillah…,” luahnya.

Diharapkan menerusi perkongsian daripada Dr Izzar golongan ibu bapa bersabar dan terus berusaha melatih anak-anak agar bertutur dengan baik.