BARU sahaja berusia sembilan tahun, adik Muhammad Afizal yang mesra dipanggil Afi bukan kanak-kanak biasa kerana dia dilihat berjiwa besar.

Afi dikatakan tidak boleh lihat orang susah. Si kecil itu pernah pulang ke rumah tanpa baju dan bila ditanya oleh ahli keluarga, Afi memaklumkan bajunya telah diberikan kepada seseorang yang dia juga tidak mengenalinya.

Mulia sungguh hati adik Afi yang dilihat ingin mengikut jejak ayahnya menolong orang susah!

Baru-baru ini pula Afi telah menyampaikan hasrat kepada bapanya yang juga ahli perniagaan yang dikenali sebagai Nor Afizan Ayub, 35, untuk turut sama menyumbang, membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Starex untuk dijadikan van jenazah wakaf Amal Valley.

Untuk memenuhi impiannya, Afi telah memecahkan tabung simpanannya untuk membeli jentera tersebut lalu diwakafkan sebagai van jenazah Amal Valley yang memberikan khidmat pengurusan jenazah secara percuma.

Afi kelihatan seperti anak-anak yang seusia dengannya tetapi ketika mendengar cerita bapanya, ternyata anak sulung daripada dua beradik itu amat istimewa.

Nor Afizan mula mendedahkan Afi dengan kerja-kerja kebajikan (pengurusan jenazah) sejak usia empat tahun.

Iklan

Tidak seperti kanak-kanak lain, Afi juga tidak merasa takut untuk membantu bapanya yang juga penyumbang utama dan sukarelawan Amal Valley, untuk menguruskan jenazah.

“Kadang-kadang dia tunggu hingga malam, bantu saya uruskan jenazah,” kata Nor Afizan yang menyifatkan sikap anaknya itu berkemungkinan diwarisi daripada rutin keluarganya, termasuk arwah bapanya Ayub Ghani yang selalu membuat kerja kebajikan setiap hujung minggu.

Sementara itu, Presiden Amal Valley Dr Azfar Hussin, yang menerima sumbangan van jenazah bagi pihak Amal Valley berkata, van jenazah wakaf bernilai RM60,000 yang sebahagiannya hasil sumbangan Afi itu, merupakan van jenazah ke-15 di bawah kendalian Amal Valley.

Iklan

Beliau turut menyifatkan sumbangan itu sangat istimewa, kerana penyumbangnya baru berusia sembilan tahun tetapi sudah mahu mengikuti jejak bapanya sebagai penyumbang dan sukarelawan, bagi membantu golongan memerlukan.

Syabas adik Afi! Semoga adik Afi berjaya dalam apa jua bidang yang bakal diceburi selepas ini. Tahniah!