AKIBAT gagal mengelak jalan berlubang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau juga mesra disapa dengan panggilan KJ mengalami kemalangan.

Berita itu kini diketahui umum setelah beliau memuat naik beberapa keping gambar di Twitter milknya keadaannya yang bercalar di bahagian muka disebabkan terjatuh ketika menunggang basikal.

“Pothole, ditch, KJ. 2020 keeps giving,” tulisnya ringkas bagi menggambarkan insiden yang berlaku.

KJ juga turut berkongsi keadaan jalan rosak berlubang menjadi punca beliau hilang kawalan ketika sedang berkayuh dan telah terhumban ke dalam sebuah parit.

Seperti yang diketahui ramai, KJ memang tidak asing lagi dengan aktiviti berbasikal dan gemar besukan.

Jika ada masa terluang beliau sering menunggang basikal dan menjadikan media sosial sebagai platformnya berkongsikan aktiviti yang dibuat.

Iklan

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Khairy, Raja Syahrir Bakar‏ melalui Twitternya yang dikenali sebagai @bobby_bakar memaklumkan, KJ hanya mengalami kecederaan ringan yang tidak serius  dan telah menerima rawatan di hospital berdekatan.

Iklan

“Terima kasih kepada rakan-rakan yang bertanya. Alhamdulillah @khairykj hanya alami kecederaan kecil dan tiada yang serius,” kata Raja Syahrir.

Menjengah ke ruang komen, ramai pengikutnya mendoakan agar KJ cepat sembuh dan terdapat juga beberapa pengguna di Twitter menggesa KJ untuk membawa isu jalan berlubang yang berbahaya kepada pengguna itu kepada pihak berwajib.