ALFATIHAH… Salam takziah kepada pemain bola sepak pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad yang kehilangan insan tercinta dalam kemalangan pagi semalam.

Kemalangan ngeri yang meragut nyawa bayi lelakinya, Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari, ibu mentua, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Ini kronologi kejadian menurut laporan portal tempatan;

1. Dipercayai Muhammad Syafiq yang memandu kereta berkenaan dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk membawa isterinya, Nur Amalina Norain, 25, yang sedang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

2. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata penyerang JDT yang berusia 25 tahun berkenaan dipercayai tertidur dan menyebabkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dipandunya hilang kawalan.

3. Katanya, disebabkan gagal mengawal kenderaan yang dipandu menyebabkan kenderaan terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan, sebelum terbalik dan terseret, berdasarkan kesan calar di atas jalan.

4. Ekoran itu menyebabkan tiga penumpang terdiri dari bayi lelaki, ibu mentua dan pembantu rumah maut di lokasi.

5. Chong Chern berkata, isteri kepada Muhammad Syafiq mengalami kecederaan patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut dan otak serta patah tulang paha kiri.

6. Ibu dan anak itu kini mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Baca juga Akak polis buat TikTok pakai uniform, berdepan tindakan tatatertib

Iklan

7. Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Muhammad Syafiq serta seorang lagi anak perempuannya, dikenal pasti sebagai Aaira Nur Saffiya, 2, cedera, namun isterinya Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah.

8. Menurut jurucakap itu, setiba di lokasi, didapati MPV itu dalam keadaan remuk teruk selepas dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan.

Iklan

9. Katanya, terdapat enam mangsa dengan tiga daripada mereka tersepit di dalam kenderaan itu serta semua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

10. Anggota bomba kemudian membuat kerja-kerja mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

11. Semua mayat dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat manakala yang cedera pula dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

12. Jenazah Zainab dan Muhammad Aisy Saqeef dikebumikan di Kampung Bukit Murai, Padang Pusing, Pendang manakala jenazah pembantu rumah itu sudah dituntut Pegawai dari Konsulat Indonesia Cawangan Pulau Pinang.

Semoga Muhammad Syafiq tabah menghadapi ujian kehilangan anak dan ibu mentua tercinta.