Lelaki bermotosikal bawa teddy bear undang sebak, warganet murah hati ingin sumbang alat mainan

A
A
A

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Ibu sanggup bertarung nyawa melahirkan kita bagi mengenal apa itu dunia. Kasih sayang seorang bapa, sanggup berkorban apa sahaja untuk memberikan yang terbaik untuk anaknya.

Begitulah perumpamaan tepat untuk menggambarkan situasi yang dikongsi oleh seorang lelaki di laman sosial Facebook yang dikenali sebagai Azri Walter semalam.

Melalui perkongsian tersebut, Azri memuat naik beberapa keping foto seorang lelaki sedang menunggang motosikal sambil membawa sesuatu dipercayai teddy bear besar yang dijumpai ketika dia menuju ke pejabatnya di Putrajaya.

“Tadi saya nak pergi ke ofis di Putrajaya. Jalan lengang waktu itu. Saya memandu sambil chill layan angin petang.

“Waktu nak sampai di lampu isyarat, saya nampak seorang lelaki bawa motor. Saya nampak dia macam ada bawa sesuatu. Saya rapatkan kereta dan saya jenguk. Memang betul. Dia bawa teddy bear besar.

“Kebetulan lampu merah. Saya berhenti bersebelahan dengan dia. Saya turunkan tingkap dan tanya "Bang, besar teddy bear tu. Nak bawa ke mana tu?"

“Dia angkat tunjuk dekat saya. Dia buka pelitup muka dan dia cakap " Ya bang. Ini saya jumpa waktu kerja tadi. Dekat tempat sampah ada orang buang, saya ambil bang".

“Saya tanya lagi "Tu nak bawa balik bagi anak ke?" Dia terdiam. Dia pandang teddy bear tu, dia pandang saya. Saya pandang dia.

“Tajam renungan dia lalu dia berkata "Ya bang. Anak saya lagi mahu teddy bear. Kelmarin ada nampak di kedai. Tapi harganya mahal sangat. Boleh buat lauk makan keluarga bang. (Sambil ketawa).

“Ini bear tadi saya jumpa dekat tempat sampah, masih elok. Memang rezeki dia. Nanti saya basuh bersih, saya bagi dia mesti dia suka"

“Ya Allah. Sayu bunyinya. Saya tergamam sekejap. Lampu bertukar hijau. Dia angkat tangan dekat saya. Saya cakap dekat dia "Hati-hati bang. Nak hujan ni. Abang memang ayah terbaik,” tulisnya.

Lelaki bermotosikal bawa teddy bear undang sebak, warganet murah hati ingin sumbang alat mainan

Ternyata kejadian tersebut memberikan kesan dan menganggap ia adalah pesanan buatnya dari Maha pencipta supaya tidak mudah lupa dengan apa yang kini sedang dicapai.

Menjengah ke ruang komen pula mendapati rata-rata warganet turut bersedih dengan pergkongsian tersebut malahan ramai yang murah hati untuk menderma permainan kepada lelaki terbabit untuk diberi kepada anaknya.

Atas apa jua kepayahan yang sedang kita lalui, ada orang lebih susah dari kita.

Begitulah kasihnya seorang ayah. Kita selalu dengar kisah pengorbanan ibu dan para wanita. Namun, usah kita lupa pengorbanan para lelaki.

Setiap hari mereka keluar mencari rezeki. Entah hujan, entah panas. Tak siapa yang tahu apa dilalui setiap hari bagi memastikan ada nasi di atas pinggan untuk keluarga.

Lelaki ni memang jenis tak suka sangat bercerita apa yang mereka lalui di luar. Tanggungjawab di bahu yang dipikul bukan mudah. Kadang tu, atas motor tak perasan air mata berlinang. Betul tak?

Buat para lelaki, moga terus kuat semangat semuanya. Setiap tanggungjawab ini, ada ganjaran pahala di sisi Tuhan.

Mari kita semua bersama-sama terus melawan kerasnya hidup ini. Kita tidak boleh putus asa kerana di belakang kita ada harapan yang perlu dipenuhi.

Kalau rasa down, tatap sekejap wajah-wajah insan yang Tuhan amanahkan untuk kita.

Nescaya, semangat untuk berjuang pasti kembali membara!

Sumber : Facebook Azri Walter

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca