Mahu berkongsi kasih dengan suami orang? Ikut peraturan, jangan 'menyondol' sesuka hati!
Mahu berkongsi kasih dengan suami orang? Ikut peraturan, jangan 'menyondol' sesuka hati!
KEBELAKANGAN ini meriah dengan cerita 'sondol-menyondol'. Setiap hari ada sahaja cerita baharu yang hangat dan viral sehingga meraih perhatian ramai.
Macam-macam cerita timbul. Ada yang 'kacau' bos. Ada yang cuba 'mencuri hati' rakan sekerja dan macam-macamlah.
Dalam ruangan Pena Personaliti sulung, saya ingin berkongsi tentang satu kes aduan klien saya yang terkini.
Menurut penama yang saya tidak mahu namakan, seorang wanita yang tampil berjubah dan bertudung labuh menjadi pilihan suaminya.
Baca ni Elak melayan & mudah simpati suami orang! Ini pesanan padu wanita buat wanita
Alasan yang diberikan suami kononnya mahukan anak daripada wanita yang baik itu walaupun sudah memiliki tiga cahaya mata dengannya.
Klien saya itu penampilannya biasa-biasanya sahaja, tetapi masih menjaga aurat. Pun begitu, beliau disifatkan suaminya sebagai tidak taat dan suka melawan.
Namun, peliknya, klien saya maklumkan, kekasih suami yang konon-kononnya dikatakan baik itu sanggup menghantar gambar separuh bogel kepada lelaki itu.
Adakah itu dikatakan 'taat' sedangkan mereka belum sah menjadi suami isteri? Di mana sifat malunya yang dikatakan menjaga aurat? Demikian persoalan yang dibangkitkan oleh klien saya.
Rasulullah SAW dalam Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasaei dan Abu Dawud pernah bersabda: "Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan atas diri anak keturunan Adam bahagiannya daripada zina.
"DIA mengetahui yang demikian tanpa diingkari. Mata itu boleh berzina dan zinanya adalah pandangan. Lidah itu boleh berzina dan zinanya adalah perkataan. Kaki itu boleh berzina dan zinanya adalah ayunan langkah. Tangan itu boleh berzina dan zinanya adalah tangkapan yang keras.
"Hati itu boleh berkeinginan dan berangan-angan sedangkan kemaluan membenarkan yang demikian itu atau mendustakannya."
Baca juga Isteri berdepan suami curang, jangan semberono! Ini langkah sepatutnya dilakukan
Sementara dalam Hadis Riwayat Imam Ahmad, bagi menyebut: "Ketakutan yang paling ku takutkan atas diri kamu sekalian (umat Nabi Muhammad) adalah hawa nafsu godaan pada perut kamu, kemaluan kamu dan kesesatan hawa nafsu..."
Berdasarkan dua hadis berkenaan, sudah terang lagi bersuluh, 'isu penyondolan' yang tercetus sejak kebelakangan ini telah membuktikan ketakutan Rasulullah sudah menjadi nyata.
IKUT PERATURAN
Ya, mungkin ada yang berkata: "Bukan niat nak 'menyondol' tapi memang ikhlas nak berkongsi."
Bagi saya, kalau betul nak berkongsi, ikutlah langkah yang perlu dan patuhi peraturan.
Berikut saya senaraikan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seorang wanita jika mahu niat berkongsi:
1) Jangan berhubung dengan lelaki atau perempuan yang ajnabi (boleh berkahwin) sehingga terlibat dengan maksiat
Seperti yang tercatat dalam Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasaei dan Abu Dawud, hampir semua anggota tubuh kita boleh berzina jika disalah guna.
Mata yang sepatutnya melihat, tetapi jika diberikan jelingan manja, sudah termasuk zina. Lidah yang sepatutnya berkata yang perlu, namun digunakan dengan ayat-ayat manja hingga mencetus rasa sesuatu atau ‘kuch kuch hota hai’, pun sudah temasuk dalam kategori zina.
Ini bermaksud setiap lelaki atau wanita, suami orang atau isteri orang juga, perlu menjaga batasan dalam perhubunganan.
2) Telus dan jujur dengan isteri sedia ada
Nama pun mahu berkongsi, kan, kenapa perlu dilakukan secara diam-diam?
Bukan sahaja bercinta secara diam-diam, malah lebih dayus lagi apabila si suami menikahi anda diam-diam tanpa pengetahuan isteri sedia ada dan juga wali atau keluarga pihak ketiga.
Berdasarkan syariat, nikah diam-diam ini boleh dipertikai kesahihannya dan buat si isteri yang mengetahui suami telah berkahwin senyap-senyap tanpa mengikut prosedur atau menipu (dalam prosedur), anda berhak untuk menuntut hak.
Ia berdasarkan peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam yang ada di seluruh negara.
3) Jangan ganggu hak isteri sedia ada
Berdasarkan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan), peruntukan hampir sama di semua negeri juga, Seksyen 36, 37 dan 38 adalah berkaitan dengan kacau ganggu individu sebagai orang ketiga yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya.
Seksyen 36 antara lain menyatakan mana-mana lelaki yang memujuk lari perempuan bersuami. Ia bermaksud wanita isteri orang yang terpedaya dengan lelaki lain dan bertindak curang.
Seksyen 37 pula berkaitan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.
Sementara, Seksyen 38, menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.
Bagi kedua-dua seksyen itu (Seksyen 27 dan 38), suka untuk saya memberi contoh.
Situasi merujuk kepada teman wanita suami yang mengeluarkan arahan untuk kekasihnya tidak melayan isteri dengan baik atau mengeluarkan ayat kinayah berbunyi: “Saya bukannya tidak mahu berkahwin dengan awak, tetapi saya tidak mahu berkahwin dengan suami orang..” dan dibuktikan, maka orang ketiga tersebut adalah bersalah.
Baca lagi 'Curang ni bukan paksaan, tetapi pilihan', pesanan Dr Fadzilah Kamsah buat suami isteri
ISTERI PEJAM MATA
Bagaimana jika wujud hubungan antara orang ketiga dengan suami, tetapi tidak melibatkan isu disebut dalam dua seksyen tadi? Dengan kata lain, pihak ketiga tidak menghalang kewajipan, namun suami sendiri yang mengabaikan.
Jika itu keadaannya maka orang ketiga tidak bersalah tetapi anda, sebagai isteri yang dianiaya patut mendapat teladan dan pengajaran bahawa suami anda telah gagal.
Malah dalam banyak kes, suami memang gagal dari awal, cuma si isteri pejam mata sehinggalah mula tersedar apabila suami sudah ada orang ketiga.
Justeru, dalam situasi begini, anda usahakan untuk mendapat hak anda. Antaranya, boleh menfailkan kes tuntutan nafkah zahir yang diabaikan suami. Selain itu, anda juga boleh menfailkan kes agar suami menjadi suami yang sewajarnya menurut hukum syariat.
Lebih 25 tahun dalam bidang psikologi keluarga dan guaman syarie, saya berani katakan dalam isu sondol menyondol ini, 85% adalah sebagai pengajaran kepada para isteri untuk lebih mengenali suami sendiri.
Suzana Ghazali
Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang