Masuk 'bandar berhantu', tidur dengan lipas, 10 hari tak mandi! Itu antara momen ekstrem Hazwani dalam laksana misi kemanusiaan

A
A
A

TIDAK seperti yang digembar-gemburkan, ALLAH SWT memudahkan urusan penulis mewawancara aktivis kemanusiaan terkenal di Malaysia, Hazwani Helmi.

Seperti yang ramai sedia maklum, beliau yang mesra disapa Wani bersama kakaknya, Heliza adalah antara selebriti yang sering melibatkan diri melaksanakan misi di negara bergolak dan teguh memperjuangkan agama suci ini dengan pendekatan tersendiri.

Semangat mereka yang membuak-buak nampaknya telah berjaya menarik anak muda terutama dalam kalangan Muslimah tampil ke hadapan untuk turut sama menjayakan misi murni seperti mereka yang digelar The Helmis.

Terus terang, bersembang dengan Hazwani banyak mencetuskan inspirasi dan aspirasi.

Kepada penulis, wanita berusia 24 tahun itu berkata, penglibatannya dalam misi kemanusiaan di dalam mahu pun di luar negara bermula sejak dirinya berusia 17 tahun lagi.

“Segala semangat itu saya peroleh daripada Kak Ja (Heliza) dan boleh dikatakan beliau sudah menjadi ‘doktrin‘ kepada saya. Masa zaman kanak-kanak, saya tertanya-tanya juga apa yang Kak Ja dapat (dengan menjalankan misi kemanusiaan)?

“Namun, apabila saya menyelami sendiri suasana ketika menjejakkan kaki ke beberapa negara, saya dapat rasakan keseronokan bila dapat membantu orang lain. Saya juga rasa gembira apabila orang yang kita bantu mempunyai emosi sama seperti kita. Namun, apa yang pasti, ingin saya katakan, kebahagiaan memang tidak dapat dibeli dengan wang sahaja,“ katanya membuka bicara.

Bakal graduan dalam bidang psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu meneruskan plot ceritanya. Ujar beliau, selain Kak Ja, seorang pemuda yang meninggal dunia pada usia 20 tahun dikenali sebagai Ahmad Ammar Ahmad Azam juga telah menjentik sukmanya dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan.

“Kematiannya tular di seluruh dunia dan masih disebut-sebut sehingga kini. Waktu itu, saya tertanya-tanya mengapakah arwah Ahmad Ammar  begitu istimewa? Rupa-rupanya pada usia semuda itu, beliau sudah berbakti kepada insan yang memerlukan. Bukan sahaja ibu, ayah, guru dan sahabatnya sahaja, malah kucing jalanan juga dibantunya,“ katanya.

Kemudian, Wani melafazkan bait kata yang membuatkan penulis terpaku seketika.

“Mungkin di antara kita memiliki matlamat dunia yang bagus, namun belum tentu kita mempunyai matlamat akhirat yang membawa kita hingga ke jannah. Berdoalah agar mudah-mudahan ALLAH menerima segala kebaikan kita bersama,“ ujarnya memaku kata.

Pengalaman bernilai

Bercerita lanjut, Wani yang juga seorang pelakon berkata, barangkali ramai yang beranggapan misi kemanusiaannya hanya dilakukan di peringkat antarabangsa sahaja.

“Sebenarnya, misi pertama yang saya ikuti adalah pada tahun 2014 ketika beberapa negeri di Malaysia dilanda banjir. Kemudian, pada tahun 2017, barulah saya berangkat ke Tarim, Yemen.

“Masa itu saya baru selesai mengikuti orientasi dan Kak Ja terus hubungi. Tanpa ragu-ragu, saya terus membuat keputusan untuk menyertai misi tersebut walaupun terpaksa menangguhkan satu semester pengajian di UIAM,“ imbasnya.

Selepas itu, momentum kerja-kerja kebajikan beliau terus rancak. Pada tahun 2018, Wani ke Palu dan Lombok, Indonesia, kemudian ke Afrika dan Gaza, Palestin pada tahun berikutnya.

“Paling baharu pada tahun 2020 (sebelum pandemik Covid-19 melanda), alhamdulillah, dengan izin ALLAH, saya dapat menghadirkan diri di Syria,“ tutur gadis muda itu.

Kongsi Wani, setiap negara yang dijejakinya, sarat dengan pelbagai cerita. Setiap negara, tersemat kisah berbeza.

“Di Syria misalnya, saya boleh katakan negara itu ibarat ‘bandar berhantu‘ kerana dipenuhi dengan bangunan yang roboh dan timbunan konkrit yang bersepah di sana sini.

“Secara logiknya, pasti kita berandaian tiada siapa pun yang sanggup menetap di lokaliti itu. Namun, pandangan itu meleset kerana kami dapati masih ada orang yang tinggal di sana,“ imbaunya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Situasi itu kemudian mendorong Wani bertanya kepada salah seorang penghuni kenapa masih tinggal di penempatan yang tidak layak dipanggil rumah lagi?

“Lelaki itu dengan spontan berkata, ‘jika aku tinggalkan kawasan ini, siapa lagi yang akan memperjuangkan (tanah air dan agama)?‘. Saya tergamam dan getus hati saya, mereka tetap memikirkan akhirat, ALLAH Yang Maha Esa dan kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW,“ kata Wani yang sama sekali bertekad tidak akan menoktahkan misi kemanusiaannya.

10 hari yang getir

Sama seperti sukarelawan lain, Wani berkata, rintangan yang ditempuhinya bukan biasa-biasa.

“Apa yang boleh saya katakan, setiap perjalanan akan dihujani dengan cabaran. Ia bukan sahaja melibatkan aspek tenaga, masa, malah emosi dan rohani juga.

“Kepada mereka yang pernah bergelar sukarelawan atau aktivis, mesti mengetahui penat lelah mengharungi jadual yang padat. Pada masa sama, kami juga perlu ketepikan hak dan kepentingan diri demi mendahului serta membantu orang lain,“ ujarnya.

Pun demikian, kata anak kelahiran Terengganu itu, bukanlah sehingga tidak makan dan abaikan keselamatan diri, namun sudah menjadi jati diri seorang sukarelawan yang akan mengutamakan dan memikirkan kesusahan orang terlebih dahulu.

“Jadi, penting melatih diri untuk bertenaga, sentiasa positif dan tanamkan sifat sabar. Sebagai seorang aktivis, tidak semua orang terima kita dengan baik,“ katanya.

Akui Wanie, dalam melunaskan tanggungjawab yang mana wang bukan satu pertaruhan, seseorang tidak boleh terlalu berkira, apatah lagi mengeluh.

Bukan mahu mengangkat diri sendiri tetapi pengalaman tidur bersama lipas dan makan bersama kucing antara momen ekstrem yang pernah direntasnya.

“Saya dan bersama-sama rakan aktivis lain juga pernah tak mandi selama 10 hari! Semasa di Palu pula, tandas yang digunakan terputus bekalan air. Bayangkan bagaimana cara kami atasi hal-hal penuh liku itu?“ ujar beliau.

Berkongsi pengalamannya berdepan dengan mangsa peperangan dan bencana, lazimnya kata beliau, seseorang akan bertukar menjadi agresif apabila mereka berasa lapar, ditambah dengan cuaca yang mencengkam.

“Saya teringat dengan satu situasi yang berlaku di Syria. Pada masa itu, cuaca sangat panas dan setibanya di lokasi bantuan, kami terus memberi ucapan assalamualaikum dengan intonasi yang ceria.

“Namun, penduduk di sana mempamerkan raut wajah yang marah. Kami terus terdiam dan segera mengagihkan barangan keperluan kepada mereka,“ katanya yang banyak mengutip hal-hal yang berharga.

Tangani kemurungan

Tinggalkan semua kisah dan cabaran misi kemanusiaan yang telah menjadikannya manusia yang lebih matang, penulis mengajak Hazwani untuk berdiskusi tentang masalah kemurungan dan mental yang menjadi kebimbangan orang ramai lebih-lebih pada era pandemik ini.

Bukan apa, jika diperhalusi statistik rasmi, terdapat sebilangan individu yang sanggup mengambil nyawa sendiri gara-gara tidak berupaya menangani masalah masing-masing.

Mengakui situasi itu di bawah pengetahuannya, Wani berkata, sebaiknya seseorang yang bergelut dengan situasi itu merujuk kepada golongan yang lebih arif seperti ustaz dan ustazah.

“Keadaan yang berlaku kini boleh kita samakan dengan apa yang berlaku di Palestin. Sebenarnya, sejak tahun 1948 lagi mereka sudah kehilangan pekerjaan dan ramai ahli keluarga tersayang dijemput Ilahi. Kita baru merasainya sekarang, namun kita diuji dengan cara yang berbeza.

“Jika di sana, mereka dihantui dengan lontaran bom dan tembakan tetapi kita di sini takut dengan virus kecil yang tidak dapat dilihat daripada mata kasar. Oleh itu, ingatlah, itu cara ALLAH jentik hati kita yang hanya memikirkan dunia sahaja. Jangan buang masa, segeralah cari ALLAH,“ katanya.

Seperkara ujar Wani, jadikan keadaan stres sebagai medium untuk bersyukur dan sentiasa bersangka baik dengan ALLAH.

“Caranya dengan memperelokkan hubungan kita dengan Pencipta, selain rapatkan kembali silaturrahim sesama manusia,“ nasihatnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Wani sempat menitipkan cara dirinya menenangkan diri.

Katanya:  “Kalau saya stres, cepat-cepat ambil wuduk, solat dan berdoa. Ceritalah segalanya kepada ALLAH. Itulah yang dinamakan tangisan dalam kemanisan. Insya-ALLAH, Dia akan beri jalan penyelesaiannya.“

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca