‘Menangis jiran 'call' beritahu tingkat atas hangus’. Ustazah Siti Nor Bahyah kongsi kronologi kebakaran rumah adik
JIRAN prihatin menelefon untuk memberitahu rumah sedang terbakar, demikian yang detik dilalui Ustazah Siti Fatahiyah yang juga adik kepada Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood.
Dikenali sebagai insan yang cukup menitik beratkan hubungan kekeluargaan, Ustazah Siti Nor Bahyah berkongsi kronologi kejadian yang menyayat hati itu.
“Baru ada kekuatan untuk menulis hantaran setelah dua hari ini memberi kata semangat buat adinda tercinta Ts Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood dan suami Professor Madya Dr Mohd Nor Mamat.
“Malam ini dapat bersama adikku sayang sekeluarga. Memeluknya erat penuh kasih sayang. Hebat adikku boleh tersenyum di sebalik ujian ini.Masya-ALLAh Tabarakallah,” titipnya.
Menangis tatkala diberitahu berita mengejutkan rumah terbakar, sesiapa sahaja akan menitiskan air mata apabila menerima berita kemalangan yang tidak disangka-sangka.
“ALLAH uji dengan rumah adik ustazah terbakar Isnin malam. Allahu. Ketika itu adik ustazah berada di Kuantan menghantar anak-anaknya ke Universiti Islam Antarabangsa.
“Tiada sesiapa di rumah. Adik ustazah menelefon sambil menangis memberitahu jiran sampaikan berita yang rumahnya terbakar habis di tingkat atas,” kongsinya mengimbas kembali detik cemas Isnin lalu.
Baca juga: 10 tip hadapi kebakaran, asap tebal boleh membunuh
TERUS KE RUMAH ADIK
Menerima berita itu, tanpa berlengah ke kediaman itu. Biarpun tuan rumah tiada, jiran yang prihatin membantu. Malah ada yang membenarkan kediaman yang kosong didiami buat sementara waktu.
“Terus Ustaz Wan Akashah, anak menantu, ibu ustazah dan adik-adik yang lain bergegas ke tempat kejadian.
“Sebak hati ini, jiran-jiran semua baik hati membantu. Syukur kepada ALLAH.
“Alhamdulillah kebetulan ada rumah yang kosong sebelah rumah Adik Ustazah yang terbakar ni. Jadi tuan rumah benarkan tinggal di situ. Alhamdulillah ALLAH mudahkan,” titipnya.
Baca juga: 'Anak, menantu wajib pulang sebelum Maghrib. 'Ustazah Siti Nor Bahyah
Ustazah Nor Bahyah mengajak Ustazah Siti Fatahiyah dan keluarga tinggal bersama namun memikirkan setiap hari ada pihak yang datang membuat siasatan, maka adiknya tidak dapat tinggal jauh.
Tanda prihatin saudara mara dan rakan taulan, beliau menzahirkan kesyukuran ramai yang datang ziarah.
“Mohon sahabat doakan agar adik ustazah seisi keluarga tabah ya dan dikurniakan ganti yang lebih baik dari ALLAH SWT.
REDA DAN CUBA KUAT DENGAN IZIN-NYA
Dalam pada itu, Ustazah Fatahiyah turut berkongsi kejadian yang menimpanya. Menurutnya apa yang terjadi adalah ujian buatnya sekeluarga.
“Saat ALLAH memberikan anugerah demi anugerah berturutan dalam bulan Disember ini (Anugerah Luar Negara 12 Disember 2022, Anugerah Fakulti 15 Disember 2022 dan Anugerah Universiti 16 Disember 2022 ), terdetik di hatiku Ya ALLAH, mungkinkah ada ujian daripada-MU di sebalik semua kejayaan-kejayaan ini?
“Dua tiga hari selepas Anugerah Universiti, persoalan ini tidak henti bermain di fikiran. Kehilangankah, kesakitankah, kesempitankah? Maka diri ini mula berdoa andai benar ada ujian besar daripada-MU, berilah kekuatan untuk kami hadapinya,” titipnya.
Menurutnya ketika kejadian, beliau sekeluarga tiada rumah kerana ke Kuantan, Pahang bagi menghantar anak-anak ke pusat pengajian tinggi.
SYUKUR TIADA SESIAPA DI RUMAH
“Tanggal 26 Disember 2022 ia terjawab. Kami ke Kuantan hantar anak sorang di UIA Gambang, sorang lagi di UIA Kuantan. Sampai sahaja ke Kuantan dalam pukul 10 malam lebih, kami mendapat panggilan daripada jiran menyatakan rumah kami terbakar.
“Suami dengan suara menggigil katanya, 'Ma rumah kita terbakar'. Hendak terduduk mendengarnya antara percaya dan tidak percaya. Terus kami bergegas balik rumah. Syukur suami dapat memandu dengan tenang walaupun masing-masing memikirkan pelbagai perkara.
"Syukur kepada ALLAH kerana takdir-NYA tiada sesiapapun di rumah waktu kejadian. Kami reda menerima ujian ini dengan kekuatan dan doa daripada semua," katanya.
Dalam pada itu beliau menitipkan ucapan terima kasih daripada pihak pengurusan Universiti Teknologi MARA, keluarga dan jiran tetangga yang menziarahi beliau sekeluarga dan memberikan sokongan.
“Insya-ALLAH kami reda dan cuba kuat dengan izin ALLAH SWT. Ramai lagi yang diberi ujian lebih berat daripada kami. Terima kasih semua. Moga ALLAH SWT memberi ganjaran tertinggi kepada semua,” titipnya.
Baca juga: Rumah musnah dijilat api, Alif Muhaimin syukur ibu selamat
Tip keselamatan selepas rumah terbakar
Mungkin ramai yang beranggapan apabila terjadinya sesuatu kebakaran di rumah dan api dipadamkan ia dianggap ianya telah selesai.
Hakikatnya anda sebagai pemilik rumah perlu melakukan pelbagai perkara termasuk tuntutan insurans yang membabitkan Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Berikut langkah-langkahnya:
1-Pemilik / penghuni / mangsa bagi kebakaran premis perlu melaporkan insiden kebakaran kepada Balai Bomba dan Penyelamat yang berhampiran semasa kebakaran berlaku supaya siasatan kebakaran dapat dijalankan dengan segera.
2-Anda yang terlibat dalam insiden kebakaran yang dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia boleh mendapatkan Laporan Mengenai Punca Kebakaran (LPK 1) setelah mengemukakan Salinan Laporan Kebakaran dan Kecemasan (SLKK) dari Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat di negeri-negeri.
3-LPK 1 akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh siasatan kebakaran dimulakan.
4-Laporan kerosakan yang dikeluarkan oleh pihak Forensik Bomba sahaja yang boleh diguna pakai bagi tujuan tuntutan walaupun ia melibatkan kebakaran kecil. Malah syarikat insurans tidak boleh mendapatkan LKP 1 kerana ia hanya boleh diberikan kepada pemunya / penghuni / mangsa kebakaran sahaja.
5-Saksi yang gagal hadir memberikan pernyataan lisan atau mengemukakan maklumat berhubung dengan kebakaran adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 18A Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341). Sekiranya disabitkan kesalahan individu tersebut boleh dikenakan denda satu ribu ringgit (RM1000.00)
Tip keselamatan kebakaran
Berikt adalah senarai semak ringkas membantu anda mencegah kebakaran :
1-Disyorkan supaya memasang alat pengesan asap di setiap tingkat. Tempat yang sesuai ialah pada siling, di dalam kurungan tangga, bilik tidur dan ruang tamu.
2-Pastikan ada dua laluan kecemasan dari setiap bilik dan semua penghuni tahu serta telah berlatih menggunakannya.
3-Jangan sekali-kali merokok sambil berbaring di atas katil semasa berada dalam keadaan mengantuk, mabuk atau setelah mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk.
4-Gunakan bekas habuk rokok yang besar dan berat. Pastikan puntung rokok dipadamkan sepenuhnya sebelum dibuang.
5-Elakkan membuat penyambungan atau membebankan litar elektrik.
6-Letakkan mancis dan pemetik api di tempat yang tinggi supaya tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
7-Bekas-bekas yang mengandungi cecair mudah bakar hendaklah disimpan di tempat yang jauh dan selamat dari punca api dan kanak-kanak.
8-Jangan biarkan lilin menyala tanpa diawasi walaupun sesaat dan jauhkannya dari kanak-kanak.
9-Anda disyor meletakkkan satu unit alat pemadam api jenis debu kering ataupun jenis gas di rumah.
Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, Siti Fatahiyah Mahamood
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang