SITUASI banjir di negeri Pahang dilihat semakin buruk apabila bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di Pahang meningkat kepada 13,626 orang daripada 3,607 keluarga setakat jam 5 petang pada Isnin berbanding 9,684 orang pada sebelah pagi.

Berdasarkan laporan Info Bencana JKM, sebanyak 200 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan daerah terjejas, Kuantan, Pekan, Raub, Maran, Bentong, Temerloh, Jerantut, Rompin dan Kuala Lipis.

Bagi daerah Kuantan, sebanyak 31 PPS dibuka menempatkan 3,314 mangsa daripada 892 keluarga.

Lebih buruk lagi, banjir di Pahang juga telah dilaporkan meragut nyawa pertama apabila seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut lemas manakala seorang anaknya hilang dibawa arus semasa meredah banjir di Kampung Gintong, Kuantan, Pahang.

Mangsa dilaporkan lemas sekitar 10.30 malam, dipercayai akibat dihanyutkan arus deras semasa berjalan kaki pulang ke rumah bersama tiga anak lelakinya selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.

Terbaharu, nasib yang sama turut menimpa atlet Orang Kuat Malaysia Negeri Pahang, Roslihisamsudin Suliman atau lebih dikenali sebagai abang Atan apabila telah disahkan menjadi mangsa korban banjir di Pahang hari ini.

Allahyarham yang aktif dalam sukan orang kuat telah terkorban ketika terlibat sama dalam operasi membantu penduduk setempat yang berhadapan dengan musibah banjir di daerah Maran.

Info yang diperolehi mangsa dikatakan tergelincir dan lemas semasa sedang membuat sumbangan kebajikan.

Iklan

Takziah diucapkan ke atas keluarga Allahyarham. Semoga tabah dengan ujian yang dihadapi. Didoakan agar rohnya dicucuri rahmat.

Semoga arwah abang atan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal solleh.

Orang ramai juga dinasihatkan agar berwaspada dengan perkembangan banjir dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang musim banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Iklan

Pantau pergerakan anak-anak! ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka dan tidak membiarkan mereka bermain air ketika musim banjir ini.

Untuk pengetahuan, selain arus air yang deras, air banjir juga menghanyutkan sisa kotoran dan kondisi air yang sejuk boleh menyebabkan berlaku kekejangan.