S Pavithra akhirnya bertemu empat mata dengan PM, sampai gugup tak terkata
HASRAT pasangan YouTuber kian popular, M Sugu dan S Pavithra untuk bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya menjadi kenyataan!
"Tidak memasak hari ini, Pavithra?"
Itu antara sapaan mesra Perdana Menteri dalam pertemuan ketika pasangan berkenaan menghadiri Majlis Pelancaran Rukun Negara ke-50 di Putrajaya semalam.
Tatkala ditanya oleh media mengenai pengalaman itu, Pavithra menyatakan bahawa beliau begitu gugup sehingga mengakui dirinya 'hilang' kata-kata.
"Tadi beliau juga tanya saya tak makan ke? Saya rasa terlalu gementar sehingga saya hanya kata ah, ah ya...
"Perkataan saya tersekat sikit," kata suri rumah berusia 28 tahun itu kepada media pada majlis itu, lapor Bernama.
Menetap di Sungai Siput, Perak, Sugu Pavithra sebelum ini pernah menarik perhatian Perdana Menteri yang turut menghadiahkan mereka tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.
Pavithra anggun berpakaian punjabi hijau dan Sugu berbaju serba hitam menerima jemputan khas menghadiri majlis itu dilihat melafazkan Rukun Negara dengan penuh semangat ketika ia dibacakan oleh Perdana Menteri.
Pasangan suami isteri itu berkata, mereka merasakan Rukun Negara adalah dasar yang mengeratkan perpaduan negara.
Suami isteri itu yang terkenal dengan video masakan dan kepetahan bertutur dalam bahasa kebangsaan turut berazam untuk menanam semangat Rukun Negara kepada anak-anak yang masih kecil.
"Anak-anak juga belajar ini di sekolah namun di rumah saya cuba menerapkan prinsip itu supaya lebih kuat dalam diri mereka," kata Pavitra.
Siapa yang tak teruja jumpa pemimpin negara kan? Kalau kita pun mesti gugup dibuatnya. Apa pun, tahniah pada pasangan Sugu dan Pavithra, ikhlas daripada SinarPlus.
Sedikit sebanyak, mereka memainkan peranan dalam mengeratkan perpaduan pelbagai bangsa dan kaum di negara ini menerusi video-video masakan dan tip yang dihasilkan. -AG #janganputusasamalaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang