KEAJAIBAN bulan Ramadan membawa rezeki luar biasa kepada mereka yang rajin berusaha. Tanpa mengenal erti lelah, golongan tersebut bakal memperoleh ganjaran berlipat ganda.

Pendirian sedemikian dipasakkan dengan semangat begitu jitu oleh Mohd Norsyafiq Rauob dan suri hatinya, Nor Baizura Sulatin yang yakin dengan potensi resipi kerepek warisan keluarga lebih 30 tahun.

Pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 37 tahun itu ketika dihubungi SinarPlus memberitahu, permintaan terhadap kerepek bawang dan ubi mendapat sambutan cukup memberangsangkan.

Mana tidaknya, bekalan stok kerepek bawang sahaja sudah mencecah 10 tan sepanjang bulan puasa berbanding 2 tan pada hari biasa sehingga mereka tak menang tangan.

Ramadan rezeki luar biasa

Itu belum dikisahkan tentang tempahan kerepek ubi premium pelbagai perisa yang turut mencapai hingga lebih 40 tan. Boleh dikatakan untung dikaut berlipat kali ganda!

“Sesungguhnya kami bersyukur dengan rezeki ALLAH ini. Tak cukup kerahan tenaga dibuatnya demi menyiapkan tempahan sepanjang Ramadan.

 

“Untuk stok bahan mentah, kami dapatkan bekalan daripada peraih tempatan dengan gred terbaik sahaja kerana sangat mementingkan kualiti rasa,” kata pemilik jenama Wacikwaa Food & Trading itu.

Produk keluaran usahawan Bumiputera berkenaan menawarkan lebih 30 jenis kerepek dan biskut raya yang dibuat sendiri bersama orang kampung sekitar Felda Bukit Permai, Layang-Layang, Johor.

Ramadan rezeki luar biasa

Selain kerepek bawang menjadi pilihan laku keras, seleksi ubi asli, ubi racik, ubi kari, ubi keju, ubi kuning, ubi baring dan ubi pedas juga mempunyai permintaan tinggi.

Tak cukup dengan itu, kerepek pisang, opak dal dan kentang, roda masin, emping belinjau, aneka biskut serta makanan sejuk beku juga disediakan di premis yang terletak di Taman Sri Maju berkenaan.

Tatkala ditanya bagaimana tercetusnya idea untuk memperluaskan lagi pasaran kerepek, Nor Baizura berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika pandemik Covid-19 lalu mengubah segala-galanya.

Ramadan rezeki luar biasa

“Waktu itu, kami berusaha cari duit lebih untuk menampung kos hidup dan alhamdulilah, kerepek yang kami jual menerima permintaan tinggi sekali gus membangkitkan semangat kami untuk tambah stok.

Baca juga Sambal paru, ikan masin lobak manis jadikan Bubur Nasi Berlauk JimFood lebih ‘terangkat’. Patutlah laku keras…

“Melihat momentum sambutan yang semakin meningkat, suami mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai konsultan demi bisnes keluarga,” ujarnya.

Ramadan rezeki luar biasa

Formula kejayaan

Lumrah berniaga, sudah tentu ada jatuh bangunnya. Akui Nor Baizura, bukan mudah untuk bertapak dalam industri memandangkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) itu baru beroperasi dalam tempoh lima tahun.

Ramadan rezeki luar biasa

“Sebenarnya, dua tahun kami beroperasi dari rumah sahaja sebelum berani untuk mengambil alih pengurusan kilang kerepek milik keluarga. Banyak duit perlu dilaburkan bagi membaik pulih dan proses penjenamaan semula.

Iklan

“Kilang dulu pernah terbakar dan banyak kos untuk baik pulih bagi memastikan kapasiti mencukupi demi memenuhi bekalan pasaran. Kami nekad menggunakan duit simpanan demi merealisasikan impian,” katanya yang turut mendapat perhatian pihak berwajib.

Ramadan rezeki luar biasa

Antara agensi yang tampil membantu seperti Jabatan Pertanian Johor, SME Corporation Malaysia dan Perbadanan Usahawan Negeri Johor.

Percaya dengan resipi warisan keluarga milik ibu mertua, Munah Baharom mampu berkembang lebih jauh, usahawan IKS itu ligat mempromosikan label tersebut di platform media sosial.

Ramadan rezeki luar biasa

“Apa yang membuatkan kami lebih beriktikad, formula menggunakan ramuan bermutu tinggi dengan kaedah pembikinan cukup teliti meletakkan kerepek kami pada kelas tersendiri.

Baca juga Ramadan, jualan kerepek pemuda ini meningkat 100 kali ganda, berjaya tembus pasaran Singapura dan Taiwan

“Setiap produk keluaran kami juga akan diperiksa dengan rapi oleh ibu mertua sendiri demi memberikan kepuasan maksima kepada pelanggan,” ujarnya yang turut menerima permintaan dari Singapura.

Iklan

Ramadan rezeki luar biasa

Nor Baizura turut menitipkan kata-kata nasihat kepada mereka yang masih berjuang di luar sana supaya membuktikan kemampuan produk sendiri sebelum memohon mana-mana bantuan.

“Kami juga terpaksa bersusah terlebih dahulu untuk menaikkan nama sebelum diberi kepercayaan dengan suntikan dana kerajaan. Berkat kesabaran dan kesungguhan, percayalah hasilnya nanti amat menakjubkan,” ungkapnya.

Ramadan rezeki luar biasa

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!