PENGASAS syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes hari ini mendapat perhatian ramai selepas dikatakan beliau telah menjual salah satu aset berharga miliknya.

Tony dilaporkan telah menjual rumah agamnya di Ayrshire, Scotland yang bernilai 2.5 juta Pound (RM13.55 juta).

Rumah agam di kawasan seluas 125 ekar itu mempunyai lima buah bilik beserta bilik simpanan wain, gimnasium, sauna dan gelanggang tenis.

Rumah agam bernilai RM13.55 juta dijual, ini penjelasan Tony Fernandes

Tony yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia juga pernah tinggal di Skeldon House di Dalrymple, Ayrshire selama tujuh tahun.

Lama juga bukan? Pasti apa sebab utama yang mendesak beliau membuat keputusan sukar tersebut.

Memetik portal akhbar tempatan, tokoh korporat itu membuat keputusan menjual sebahagian daripada hartanya bagi menyelamatkan empayar perniagaannya.

Seperti kita sedia maklum, pintu masuk antarabangsa masih lagi ditutup dan tidak membenarkan kapal terbang mendarat di negara-negara yang terjejas termasuk Malaysia.

Iklan

Maka, bekas Pengerusi pasukan bola sepak, Queens Park Rangers itu pastinya tidak terlepas terkena tempias pandemik Covid-19 disebabkan perniagaan utamanya adalah merupakan syarikat penerbangan.

Pada Mac lalu, AirAsia mengumumkan penggantungan kesemua penerbangan dalam rangkaian berikutan wabak Covid-19 yang melumpuhkan sektor penerbangan di seluruh dunia.

Sebelum terlibat dalam sektor penerbangan, Tony yang berusia 56 tahun merupakan personaliti yang sangat masyhur dalam industri hiburan sekitar tahun 1990-an.

Iklan

Beliau pernah menerajui syarikat rakaman Warner Music (Malaysia) dan merupakan individu penting di sebalik kejayaan album kerohanian kumpulan nasyid terkenal, Raihan.

Tony juga yang mencetuskan idea untuk mempopularkan semula genre muzik dangdut sehingga menyebabkan penyanyi Amelina berjaya membina pengaruh yang luar biasa sekitar pertengahan 1990-an.