KISAH penyanyi Bienda pernah tular gara-gara satu video yang memaparkan beliau sedang berniaga pau di tepi jalan.

Rata-rata warga maya ketika itu terkejut dan kagum dengan sikapnya yang tidak malu berbuat demikian walaupun berstatus selebriti.

Sehingga kini, beliau yang juga seorang pelakon dan pengacara masih aktif mengusahakan bisnes Papa Pau Bienda yang terletak bersebelahan Petronas di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Baca ni ‘Orang yang jaga ibu bapa, orang yang berjaya.’ Kak Ell tidak lupa asal usul, bangga guna nama sendiri untuk jenama produk

Tatkala diutarakan soal malu kerana hanya berniaga pau, ini jawapan tulus yang diberikan oleh empunya diri eksklusif kepada SinarPlus:

“Sudah 12 tahun saya bergelar anak seni dan dilatih dengan cukup baik untuk berhadapan dengan orang ramai. Jadi, tidak timbul soal malu apabila nak berniaga di tepi jalan. Sementelah, nawaitu dan jihad saya adalah membantu dan mahu jadi contoh kepada orang lain.

“Memang tak dinafikan, waktu awal-awal berniaga dulu muka ‘hangus’ sebab berdiri tengah panas sehinggakan suami pun menegah. Pun begitu, saya tetap bersemangat. Pada saya, status sebagai seorang selebriti bukanlah halangan untuk saya berbuat demikian. Janji itu rezeki yang halal.”

Kata Bienda lagi, perniagaan pau tersebut sebenarnya milik suami tersayang, Kamarul Zariman Abd Rahman. Selaku isteri, beliau seronok untuk menolong belahan hatinya itu.

Menurut pemilik nama sebenar Nor Razlinda Razli itu lagi, gara-gara menjual pau, ramai yang menghubunginya termasuklah rakan-rakan artis.

Antaranya seperti Fasha Sandha, Amylea AF, Azhan Rani, Jasmin Hamid, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan mekap artis yang juga kawan baiknya, Epi Temerloh

“Mereka semua ambil berat dan telefon saya untuk tanyakan perkembangan diri,” ujarnya yang turut tersentuh hati apabila Ozlyn Wati yang juga isteri Johan Raja Lawak berbesar hati mempromosikan paunya menerusi laman Instagram.

Baca lagi ‘Ibu berjiwa kental, memang iron lady betul.’ Pilih kerjaya berisiko, ramai kagum dengan Maya ‘tawan’ puncak KLCC

TUDUNG & JUBAH VIRAL

Kepada SinarPlus, Bienda berkata, beliau gembira bisnes Papa Pau Bienda yang diusahakan selama ini membawa kebaikan kepada peniaga lain.

Iklan

“Walaupun bisnes pau ini milik suami, sebagai isteri saya sentiasa menyokongnya dan memang happy sangat sebab pada masa sama, kami dapat membantu peniaga kecil lain yang turut membuka bisnes berdekatan kami. Secara peribadi, saya tahu bagaimana kesusahan yang terpaksa dilalui.

“Alhamdulillah, setahun usia bisnes di sini, ALLAH tak putus-putus tambahkan rezeki. Justeru, kami berkongsi rezeki dengan orang lain dengan membuat infak dengan menghantar ke rumah anak yatim, masjid, dan sebagainya,” kongsi Bienda lagi yang belum mahu ‘tutup buku’ sebagai anak seni, sebaliknya akan menerima tawaran jika bersesuaian.

Ujar Bienda lagi, sejujurnya beliau memang tak nak hidup susah, tetapi berkeinginan untuk belajar menjadi susah.

“Ini kerana kita boleh mengubah diri kita untuk menjadi lebih baik, tak sombong dan tak rasa bagus walaupun bergelar artis,” katanya.

Iklan

Selain pau, sebenarnya Bienda punya perniagaan lain. Impak kuasa viral juga telah membolehkan bisnes tudung yang diusahakan sebelum ini meraih perhatian.

Istimewa pada Ramadan dan Syawal akan datang, ibu kepada dua cahaya mata comel, Lavienda Namiraz dan Laxiendra Namiraz itu bakal mengeluarkan koleksi tudung dan jubah.

“Bisnes tudung saya dah mula buat dari zaman bujang lagi sampailah, dah kahwin dan sudah ada anak. Alhamdulillah, impak viral pau dulu banyak membantu mempopularkan perniagaan tudung dan juga jubah saya,” akhirinya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.