AKHIRNYA teka-teki peminat bola sepak tempatan terjawab! Berita mengenai bekas kapten pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim akan kembali menyarung jersi kelab itu bagi saingan Liga Malaysia musim baharu yang bermula 5 Mac ini telah disahkan.

Menerusi video ringkas yang disiarkan di semua platform media sosial kelab JDT, ia memaparkan penampilan Safiq bersama Matthew Davies dan juga Aidil Zafuan Abd Radzak.

Sementara itu pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau juga dikenali dengan gelaran TMJ turut mengucapkan selamat kembali kepada Safiq dalam satu komen beliau pada akaun Instagram rasmi kelab, officialjohor, hari ini.

“Welcome Home SR8. 8 for mission 8,” tulis TMJ ringkas di ruangan komen.

SR8 pastinya merujuk kepada Safiq terkenal menggunakan jersi bertuahnya iaitu ‘nombor 8’ sepanjang bersama JDT dari tahun 2013 hingga 2018.

Selain itu, komen TMJ itu juga dipercayai berkaitan dengan misi JDT bagi merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelapan musim ini.

TMJ juga menjelaskan senarai lengkap pemain JDT akan diumumkan, hari ini.

Bekas kapten Harimau Malaya itu mencipta beberapa kejayaan bersama JDT termasuk muncul juara Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC pada 2015.

Iklan

Selamat kembali, 8 misi Safiq bersama JDT

Terdahulu, Safiq yang menyertai JDT pada 2013 dari Selangor telah berhijrah meninggalkan kelab Harimau Selatan itu dan menyertai kelab luar negara.

Iklan

Kata orang hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Apa pun SinarPlus ucapkan tahniah kepada Safiq. Semoga terus berkilau bersama JDT dan berjaya dalam sunia sukan bola sepak!