SEPERTI apa yang SinarPlus kongsikan sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut disahkan positif jangkitan Covid-19 dan sedang menjalani rawatan bermula 5 Oktober lalu.

Terkini, Dr. Zulkifli berkongsi satu ciapan di laman Twitter miliknya mengenai satu mesej rakaman suara (voice note) daripada seorang kanak-kanak bernama Qaisara Jannah yang juga merupakan salah seorang pemenang Iqra Challenge Nuzul Quran anjuran JAKIM.

Qaisara mengirimkan pesanan suara tersebut untuk bertanyakan khabar Zulkifli yang kini sedang menjalani rawatan di hospital.

“Semua orang dekat Jakim okay tak? Saya sedih Datuk Dr. Zulkifli ada Covid-19. Insya-Allah ‘baby’ akan sentiasa doakan.”

Itu antara nota pesanan suara dikirimkan adik Qaisara Jannah kepada beliau dan pesanan suara itu turut dikongsi Zulkifli menerusi laman Twitter dan Facebooknya hari ini.`

Zulkifli merakamkan terima kasih kepada peminat ciliknya itu kerana bertanyakan khabar tentang dirinya serta warga Jakim yang lain.

Iklan

“Terima kasih anakanda Qaisara Jannah kerana bertanya khabar saya dan warga Jakim.

“Anak kecil ini salah seorang pemenang #IqraChallengeNuzulQuran Jakim. Tak sangka mendapat nota suara (voice note) ingatan anak kecil ini.

“Alhamdulillah, saya sihat-sihat sahaja di sini. Bertambah gembira dan terharu mendengar suara comel Qaisara Jannah. Moga membesar menjadi anak yang solehah ya,” tulisnya.

Iklan

Semoga Dr. Zulkifli dan pesakit-pesakit Covid-19 yang lain beransur pulih supaya dapat menjalani kehidupan harian seperti sedia kala. Semoga dipermudahkan juga segala urusan.