#SiBibirMerah: Gambar pesakit terlantar, kritikal bukan untuk dikongsi di media sosial

A
A
A

CUBA renung seketika tabiat kita ketika berdampingan dengan media sosial baik Facebook, Instagram mahupun Twitter. Acap kali berhasrat memuat naik kepingan foto peribadi pastinya kita akan memilih gambar mempamerkan kualiti terbaik.

Jika terdapat beberapa kecacatan pada gambar tersebut, maka proses suntingan dan tambahan filter menjadi solusi pilihan. Sudah sempurna barulah senang hati ditayangkan di media sosial bukan?.

Tapi, Bibir Merah perasan kadangkala keprihatinan itu tidak pula dipraktikkan apabila melibatkan orang lain terutamanya ahli keluarga, sahabat ataupun kenalan yang sedang terlantar sakit.

Tanpa rasa bersalah sesetengah individu tegar upload gambar pesakit dalam keadaan 'tidak bersiap', riak muka mengerang kesakitan dan aurat terdedah.

Lebih menyedihkan perkongsian foto terbabit tidak mendapat keizinan empunya diri dan ahli keluarganya.

pesakitJAGA adab ketika menziarahi pesakit baik di hospital mahupun di rumah. Jangan sesekali merakam gambar tanpa keizinan empunya diri.

Ke mana hilangnya sisi empati kita terhadap pesakit yang pada ketika itu diketahui tidak mampu untuk mempertahankan diri. Walhal, jika diperhatikan di kebanyakan hospital pihak pengurusan menampal memo larangan mengambil gambar dan video tanpa kebenaran.

Perkara sedemikian turut dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) berserta situasi normal yang dilakukan oleh kebanyakan individu.

“Doakan keadaan Hj Zul yang kini terlantar sakit di ward."

Kongsi seorang wakil penduduk dalam kumpulan WhatsApp group komuniti bersama gambar pesakit yang dalam keadaan uzur dan terlantar di katil.

phm PESANAN khidmat masyarakat ini dikongsikan menerusi laman sosial PHM untuk peringatan bersama. 

"Sekiranya anda mahu berkongsi gambar sendiri di media sosial sudah pasti akan memilih gambar TERBAIK dan paling menawan antara berpuluh-puluh gambar yang ada.

"Oleh itu, cuba elak berkongsi gambar pesakit yang sedang terlantar di atas katil. Lebih-lebih lagi pesakit kritikal dan tidak sihat," tulis PHM menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.

Tambahnya, kadangkala aurat pesakit turut terdedah dan gambar pula diambil dalam keadaan tidak sempurna.

"Sudah pasti pesakit itu sendiri TIDAK MAHU gambar dirinya dalam keadaaan tidak sihat dipertontonkan kepada orang ramai di media," jelas PHM yang turut menegaskan bahawa gambar pesakit kritikal bukan untuk dikongsi.

pesakitBibir Merah perhatikan perkongsian tersebut mendapat pelbagai respon warga maya. Antaranya menulis:

- "Pernah rasa situasi ini, gambar arwah suami di ICU. Allahuakbar, tak tau nak cakap apa. Minta & merayu dalam group WhatsApp agar gambar tersebut dipadamkan. Terang lagi bersuluh di wad ICU, sebarang rakaman dan gambar melalui telefon adalah dilarang. Tak tahu nak cakap, mostly mentality orang kita."

- "Betul, bab aurat tolonglah prihatin sikit. Kesian pesakit."

- "Peringatan yang baik. Sama-sama jaga adab."

- "Kurang sensiviti asal dia paling laju share. Sedih tengok kadang-kadang aurat terbuka dan terselak sana sini."

- "Betul tu kena jaga maruah pesakit. Tidak kira anda, keluarga orang awam mahupun kerajaan tak boleh suka-suka ambil gambar atau video pesakit."

- "Ada beberapa aktivis NGO juga tidak peka isu ini. Faham nak tunjuk aktiviti mereka, tapi maruah pesakit kena jaga. Mungkin ustaz dan ustazah kena banyakkan ceramah tazkirah mengenai adab sebagai sukarelawan dan orang yang menziarah pesakit. Baru masuk dalam ingatan orang kita."

pesakitIroninya, tak salah untuk menziarahi orang sakit sekurang-kurangnya kehadiran kita membantu menyuntik semangat supaya segera sembuh.

Namun begitu, ingat ya elak merakam gambar pesakit dalam keadaan perit menanggung kesakitan tanpa kebenaran empunya diri dan ahli keluarga.

Cuba bayangkan sekiranya orang lain melakukan perkara sama terhadap kita?

Sumber: Facebook PHM, Canva dan Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca