Bergenang air mata baca kisah Adik. Menderita kanser tulang, doktor maklum tiada jalan lain nak sembuh
AIR mata yang mengalir dalam kelopak adik Intan Nurdayana Mohd Jusof bagaikan tidak berhenti mengalir.
Sejak disahkan menghidap kanser tulang tahap tiga dua tahun lalu, si kecil berusia sembilan tahun itu kerap menjerit kesakitan dek tidak dapat menahan rasa sakit.
Rasanya petugas di Unit Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang sudah mengenalinya. Masakan tidak, beliau kerap dikejarkan ke sana.
Ketika dihubungi SinarPlus, ibunya, Dayang Suhana Abdullah memberitahu, anak bongsu daripada enam beradik yang manja dipanggil Adik terpaksa bergantung pada ubat tahan sakit (dos tinggi) untuk mengurangkan rasa nyeri yang menikam.
“Hanya itulah satu-satu ubat untuk Adik. Sekarang ini doktor beritahu sudah tiada jalan lain untuk pulihkannya selepas sel kanser sudah merebak ke kawasan perut.
“Apa yang membuatkan hati saya luluh apabila Adik sendiri cakap, 'adik dah tak larat dah' dan selalu menjerit sakit 'emak, emak, sakit...' sambil menangis," katanya yang menetap di rumah sewa di Sungai Lembing, Kuantan.
Mengimbau semula sejarah hitam yang melanda puteri bongsunya, Dayang Suhana tidak menyangka rasa sengal pada kawasan belakang lutut yang dialami si kecil itu rupa-rupanya simptom awal barah tersebut.
“Ketika berumur enam tahun, Adik seorang yang lincah dan aktif. Jadi, bila dia beritahu kakinya kerap sakit, saya risau dan pernah bawanya ke klinik. Doktor kata, sakit Adik biasa-biasa saja dan hanya dibekalkan ubat tahan sakit,” ceritanya.
Bila memikirkan semula, Dayang Suhana berkata, terbit rasa kesal dalam dirinya apabila pernah mengabaikan rintihan Adik suatu ketika dulu.
"Barangkali sudah tak dapat nak tahan sakit, dia tak nak pergi sekolah. Biasalah dia masih budak-budak, saya fikir itu semua itu hanya satu alasan remeh.
Baca juga Derita kanser limfoma tahap 4, ibu tunggal anak 5 dari Kedah risau kalau-kalau terpaksa ‘pergi dulu’
"Saya pernah nak rotan dia, namun bila tengok sudah lima hingga enam bulan keadaannya masih tak berubah, saya bawa ke klinik swasta pula.
"Bila kena cucuk ubat sekali, memang sakit dia hilang tapi hanya bertahan untuk seminggu saja. Paling teruk, dia tak boleh nak buang air kecil dan besar serta tak mampu nak berjalan,” katanya yang terus merujuk kes Adik ke HTAA.
Rawatan alternatif
Di HTAA, jawapan yang pasti ditemui. Rupa-rupanya si anak menderita kanser tulang dan sel-sel telah menyerang tulang belakangnya sehingga menjejaskan organ perut.
Tidak mahu berdepan dengan risiko lebih buruk, Dayang Suhana terus mendapatkan khidmat pakar di Hospital Kuala Lumpur untuk pandangan kedua, namun keputusan masih tetap sama.
Mahu tak mahu, beliau reda dan akur dengan saranan pakar untuk dua prosedur pembedahan membuang ketumbuhan yang semakin memburuk.
Tak cukup dengan itu, dua lagi operasi pembedahan terpaksa dilakukan bagi membersihkan nanah dan mencuci semula luka yang terkena jangkitan kuman.
Baca juga Patah tulang lebih 50 kali. Adik Khayla perlu dana besar untuk pembedahan
Si comel itu juga sangat tabah apabila sanggup menerima 10 kali rawatan kitaran kemoterapi termasuk 28 kali radioterapi!
Sejujurnya kata Dayang Suhana, beliau bersyukur apabila anaknya tidak lagi merintih kesakitan selepas itu. Pun demikian, ia hanya bertahan selama tiga bulan sahaja.
“Kali ini, sakit pada bahagian belakang Adik semakin kerap datang menyerang sampaikan ubat tahan sakit perlu diberikan sekerap mungkin. Saya sudah tidak tahu nak buat apa dah.
“Bila pakar kata sudah tiada jalan lain, saya cuba untuk dapatkan rawatan alternatif untuk mengurangkan sakit yang ditanggung, tapi semuanya memerlukan kos yang tinggi,” luah suri hati kepada Mohd Faizol Hamzah, 54.
Bergantung hidup dengan pendapatan suami sebagai buruh kampung dan bantuan kerajaan, di samping menyara tiga lagi anak yang masih bersekolah membuatkan tuan punya badan dirundung rasa gelisah.
Itu belum dikira kos perbelanjaan ulang-alik ke hospital dan rawatan tradisional yang mahal.
Kerisauannya juga membuatkan wanita tersebut sanggup tidak menemui doktor walau muncul benjolan pada lehernya yang sangat ketara.
“Nak buat pemeriksaan pun saya belum ada masa lagi sebab Adik memang tak boleh berenggang walaupun sekejap pun. Ya, benjolan sebesar ibu jari pada leher saya memang sakit tapi saya tahan selagi boleh.
“Kepada orang ramai yang sudi bantu kami untuk urusan perubatan, hanya ALLAH sahaja yang mampu membalasnya. Moga semua doa berbalik kepada anda juga,” ungkapnya.
Kepada pembaca SinarPlus yang prihatin, sumbangan anda boleh disalurkan terus ke Bank Simpanan Nasional Berhad 0610029000399971 atas nama Dayang Suhana Binti Abdullah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang