DUNIA kini semakin berkembang pesat dengan teknologi. Mana yang difikirkan mustahil bukan lagi di era kini.

Kini, aplikasi ‘Skype’ menjadi jambatan normal baharu bagi menghubungkan banduan di Penjara Kelantan dengan insan tersayang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lepas.

Memetik laporan yang dilaporkan oleh portal akhbar tempatan, Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, pihaknya mula menggunakan aplikasi itu di Penjara Pengkalan Chepa seminggu setelah PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

“Cara ini dilihat lebih berkesan dan terbaik untuk menghubungkan banduan dengan keluarga mereka bagi memastikan kita patuh pada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Setiap banduan diberikan masa selama 45 minit bagi setiap satu sesi Skype bersama keluarga dan perjumpaan secara maya itu bergantung pada tahap kualiti capaian internet yang digunakan kedua-dua pihak.

Skype penghubung banduan penjara dengan insan tersayang sepanjang PKP

Mat berkata, kaedah pertemuan maya antara banduan dan ahli keluarga mereka juga diguna pakai di Pusat Pemulihan Akhlak Machang dan Pusat Re-Integrasi Penghuni Kem Desa Pahlawan yang di bawah seliaan Jabatan Penjara bagi menggantikan perjumpaan yang biasanya dibuat di pusat itu seperti kebiasaannya.

Iklan

Beliau berkata bagaimanapun perjumpaan di alam maya itu tetap mempunyai cabarannya tersendiri terutamanya apabila pihak keluarga banduan tidak memiliki pautan atau peranti yang sesuai untuk digunakan.

“Pihak penjara tetap mempunyai inisiatif sampingan iaitu melalui panggilan telefon Myphone dan ‘wartel’ yang boleh menghubungkan banduan dengan keluarga mereka.

Iklan

Secara keseluruhannya kita sediakan 10 telefon untuk kaedah ini di seluruh negeri dan dua peranti untuk setiap blok terutama bagi keluarga yang mempunyai masalah talian internet,” katanya.

Mat berkata inisiatif ini dapat membantu memulihkan semangat banduan untuk terus menjalani rawatan dan pemulihan di dalam penjara.