Struggle urus zuriat istimewa, bapa kongsi cara latih anak autisme seawal usia

AUTISME adalah gangguan perkembangan neuro sepanjang hayat. Autisme memberi kesan kepada perkembangan otak dan mempengaruhi keupayaan anak untuk berkomunikasi, berinteraksi secara sosial dan belajar seperti anak biasa.

Autisme tidak dapat dikenalpasti hanya dengan melihat secara fizikal. Ia boleh dikesan melalui defisit dalam komunikasi sosial dan interaksi serta tingkah laku yang berulang.

Ia muncul pada usia awal kanak-kanak (sebelum tiga tahun) dan boleh dikenalpasti seawal usia 18 bulan mengikut tahap rendah, sederhana mahupun tinggi.

Tidak ada punca sebenar autisme, tetapi ada kaitan dengan faktor genetik, persekitaran dan biologi.

Ibu bapa yang dikurniakan anak yang menghidap Autisme Spectrum Disorder (ASD) sudah pastinya ada kekuatan dalaman yang hebat bagi membesarkan mereka.

Seperti dilalui bapa dikenali Firdauz Abdullah yang mempunyai seorang anak autisme seawal usia dua tahun.

Kongsinya, anaknya itu dikesan autisme ketika berusia dua tahun di mana sebelum itu tiada apa-apa petanda.

“Waktu lahir dulu dia nampak normal sahaja, tiadalah tanda ketara yang memberikan kami petanda apa-apa. Masuk umur dua tahun, barulah tanda-tanda itu muncul.

“Memang dah mula struggle kami ketika itu, sungguh weh! pernah juga membanding anak sendiri dengan anak orang lain.

“Suka menghantuk kepala kat dinding kalau meltdown, suka tentrum kalau tak dapat apa yang dia nak, suka baling barang, punyalah payah nak tidur sampai jam 2 hingga 3 pagi pun masih aktif dan memanglah skil komunikasi yang sangat lemah.

“Kalau panggil namanya, empat hingga lima kali baru menyahut dan sesungguhnya fokus itu tiada dalam diri mereka. Maka ke pakar perubatan kanak-kanaklah kami untuk mengesahkan apa yang dok terbuku di hati ni. “Anak aku ni tak normal ke?” kongsinya.

Baca juga Bawa anak kecil, anak saudara autisme naik flight , Fazura luah kecewa diherdik penumpang wanita

Ujar Firdauz pada mulanya dirinya berat menerima hakikat itu namun terpaksa bangkit dari kekecewaan.

“Walaupun pada mulanya, akulah yang paling berat nak mengakui hakikat yang bakal dihadapi kelak.

“Anak puan dan tuan nampaknya ada ciri-ciri ketara ASD, Autisme Spectrum Disorder. Ya, setelah sejam kita buat pemerhatian ni… rasanya encik pun boleh bandingkan dengan adiknya yang baharu enam bulan tu dari segi fokus, saya akan rujukkan pada pakar perkembangan kanak-kanak pula.

“Uihhhhh remuk hati waktu tu, sedihlah aku sebagai bapak dan mulalah terfikir kenapalah Tuhan menghukum aku sebegini

“Tapi aku direzekikan seorang isteri yang sangat tabah dan kuat semangat, dialah yang berikan sokongan untuk kami anak beranak agar tak melarat dan hanyut dalam kesedihan juga kekecewaan.
Kami bangkit!” ujarnya.

Sementara itu, ini perkara-perkara yang dilakukan apabila melihat anak sudah mula ada ciri-ciri ASD;

1. Bandingkan perkembangan anak berpandukan carta perbatuan kanak-kanak yang ada di dalam Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak KKM.

2. Setiap kali bawa anak untuk pemeriksaan kesihatan, akan bertanya kepada doktor dan nurse yang ada untuk minta pandangan, mereka sangat membantu!

3. Untuk dapatkan pandangan kedua, bawa dahulu ke Pakar Kanak-kanak, kemudian ke Pakar Perkembangan Kanak-kanak dan juga ke pegawai terapi cara kerja untuk dibuat penilaian ke atas anak.

Waktu ni dapatlah buat beberapa ujian pengesahan dari segi perkembangan fizikal, mental dan banyak lagi seperti sensory profiling juga IQ Test. Pentingnya benda ini untuk kita merancang What’s Next untuk anak-anak kita.

4. Gigih ke sana ke mari mengikuti bengkel yang dianjurkan pihak KKM melalui hospital, NGO dan juga pusat terapi swasta. Dari JB ke KL tu perkara biasa, dan di dalam alam mayalah paling banyak dapat ilmu.

Baca juga Dapatkan jurupulih pertuturan untuk bantu perkembangan anak autisme, jangan biarkan mereka begitu sahaja

Iklan

Tapi ilmu yang nak dituntut ini perlulah ada bimbingan dan dapatkanlah pengesahan latar belakang. Takut menuntut ilmu yang sesat, anak kita juga yang mudarat.

5. Mulakan intervensi di rumah! Ini paling penting, sebab masa depa dengan kitalah yang paling berharga.

Jangan risau pandangan orang lain pada anak kita. Kuatkan semangat dan teruskan meransang anak anda di rumah tu dengan pelbagai aktiviti.

6. Selalulah bermain dengan anak. Bermain adalah benda paling berkesan untuk melatih fokus, komunikasi dan sensori mereka! Yaa bawalah mereka keluar ke taman permainan selalu, di sana ada pelbagai benda yang boleh membantu anak-anak kita.

Jangan segan dan takut nak bawa anak keluar, mereka perlu diberi stimulasi atau ransangan dari dunia sebenar tau. Sedih kalau lihat ada ibu bapa yang mengurung anak mereka di rumah dan memisahkan mereka dari realiti kehidupan.

7. Kalau ada rezeki, bawalah anak ke untuk mengikuti terapi pertuturan dan cara kerja. Ini sangat membantu perkembangan anak-anak kita, bahkan kita juga beroleh manfaat yang sama.

Ibu bapa akan lebih memahami cara melaksanakan intervensi di rumah dan tahu kenapa kita lakukannya.

Di sini juga boleh kita nyatakan objektif yang perlu dicapai anak untuk satu tempoh tertentu. Yang pasti ia adalah ansur maju dan tidaklah terlalu tinggi.

Iklan

8. Sertai support group yang ada di media sosial atau kawasan anda berada. Ini sangat penting untuk mental health kita dan anak.

Baca juga Tak usah malu atau sedih jika dikurniakan anak autisme – Irin Putri

Ada anak istimewa ni memang memenatkan, setiap hari pasti diuji. Sekurang-kurangnya kita adalah tempat meluah dan meminta pandangan.

Anda jangan bersedih! Tuhan menduga kita dengan kelahiran yang berbeza tetapi hidup bersama,
Sedar tak kita? Kita berada di bawah langit dan memijak bumi yang sama?

Kerana apa? Sebab Tuhan nak kita dekat denganNya, saling menyintai, menyayangi dan menjaga antara satu sama lain hingga ke akhir waktu dan bertemu kembali di sana nanti sebagai keluarga yang sempurna.

Semoga bermanfaat! Moga boleh menjadi panduan buat ibu bapa yang mempunyai anak autisme.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.