SEMALAM, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan logo sambutan 50 tahun Rukun Negara.

Dipancarkan di layar skrin dengan animasi 3-Dimensi, logo yang julung kali dicipta itu dilancarkan selepas Perdana Menteri menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra di ibu negara.

Memang unik dan mempunyai makna tersendiri. Siapakah orangnya di belakang tabir yang mereka cipta logo berkenaan?

Lihat sahaja corak logo yang digambarkan. Tiap lekuk corak dan warnanya penuh dengan makna tersendiri.

Lima jalur simbolik lima prinsip Rukun Negara yang perlu dipatuhi; bulan dan bintang melambangkan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.

Tengkolok berkerawang bulan dan bintang simbol prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Ia juga melambangkan Prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Angka 50 sempena sambutan ulang tahun Rukun Negara dan biru melambangkan amalan perpaduan dalam Kesopanan dan Kesusilaan.

Pengarah Kreatif Kanan Sinar Karangkraf Sdn Bhd, Norazlan Ismail rupanya individu di sebalik penciptaan logo istimewa dan mempunyai garapan tersendiri ini dalam membangkitkan penghayatan makna Rukun Negara.

Berkongsi dengan SinarPlus, menariknya pemuda berusia 43 tahun ini mendapat inspirasi mencipta logo itu ketika membersihkan tengkolok silat.

"Dari situ saya terfikir selain songkok, kopiah dan topi yang diletakkan di kepala, tengkolok juga adalah pakaian tradisi Melayu yang tinggi nilainya dan diletakkan di tempat ‘terhormat’ iaitu di kepala. Ia juga status dan sebagai lambang atau simbolik yang perlu dihormati.

"Selain itu tengkolok juga ialah pakaian kebesaran yang dipakai oleh raja-raja Melayu. Ia mempunyai bentuk menarik dan unik yang tidak ada di mana-mana," katanya sambil menyifatkan semua kaum dan bangsa dinaungi sultan dan raja.

Iklan

Perasaan

Norazlan rupanya mengambil masa sehari penuh untuk menyiapkan lakaran logo ini dan seterusnya dilakar terus di komputer.

Bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang dan sebelah malam dari jam 10 malam hingga 3 pagi keesokannya, pada hari kedua beliau memperkemaskan dan mereka opsyen logo.

"Jadi total masa saya ambil untuk menyiapkannya ialah dua hari. Mula tu perasaan agak biasa pada mulanya dah biasa buat pelbagai logo sebelum ini.

"Tapi tak lama selepas itu timbul rasa risau dan tercabar kerana saya diberi kepercayaan penuh oleh bos mengeluarkan hasil kerja saya untuk digunapakai secara rasmi. Saya mendapat tahu ada juga persaingan dari pihak lain. Saya cuba sehabis baik untuk tidak mencalarkan kepercayaan yang diberi," katanya.

Iklan

Menurut Norazlan, beliau menghasilkan satu logo utama dan tiga logo yang lain. Logo utama dipecahkan kepada tiga opsyen reka bentuk.

"Pembetulan daripada pihak ‘klien’ alhamdulillah tiada, tetapi saya diminta untuk meletakkan elemen lain sebagai elemen pilihan selain tengkolok.

"Kesukaran itu hanya di peringkat awal iaitu mencari elemen sesuai yang boleh di simplify, namun masih mengekalkan bentuk menarik. Once sudah dapat tune semuanya alhamdulillah mudah," kata otai pereka grafik yang sudah 19 tahun berkhidmat di Kumpulan Media Karangkraf ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, logo yang dipaparkan memberi kesan yang besar kepada masyarakat dengan menyampaikan kefahaman mengenai lima prinsip falsafah yang menjadi tunjang nasional negara.

Jelasnya simbolik tengkolok pada logo tersebut adalah keunikan warisan dan budaya Melayu yang kesetiaan kepada raja dan negara amat penting dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

"Kita merasakan setiap logo yang mahu ditonjolkan perlu mempunyai 'roh' yang akan memberi kesan besar kepada masyarakat. Umum mengetahui tentang Rukun Negara ini namun kefahaman mengenai falsafah ini tidak masuk ke hati.

"Konsep logo yang ingin diketengahkan adalah mengembalikan semangat patriotik kepada negara dengan menekankan kefahaman mengenai prinsip Rukun Negara," katanya kepada Bernama.

Logo itu dihasilkan melalui kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penerangan dan Kumpulan Media Karangkraf.

Satu pertanyaan SinarPlus, adakah kita benar-benar menghayati makna prinsip Rukun Negara yang menjadi asas tonggak perpaduan negara?

Moga sebagai warga yang bertanggungjawab, kita dapat memainkan peranan. -AG #janganputusasamalaysia