WALAUPUN kini tidak lagi memegang jawatan menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap aktif meneruskan kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang memerlukan.

Terbaharu, beliau mengedarkan komputer riba kepada pelajar yang kurang berkemampuan di daerah Muar sambil berbasikal sebagaimana yang dikongsikan oleh beliau di laman sosial Twitter miliknya.

Bekas menteri belia dan sukan itu mengedarkan komputer riba kepada pelajar yang kurang berkemampuan di sekitar daerah Muar.

“Kita ride 25km keliling Muar edarkan komputer riba. ‘1Keluarga 1Laptop’.

“Mahasiswa dari keluarga yang berpendapatan isi rumah bawah RM1,500 akan saya sumbangkan komputer riba,” tulisnya di Twitter.

Sumbangan hari ini merupakan kesinambungan bantuan yang dihulurkan pada Julai kepada mahasiswa sekitar Muar mahupun pelajar yang baru diterima masuk ke universiti.

Iklan

Syed Saddiq berkata, walau kini bukan lagi bergelar wakil rakyat kerajaan, namun kebajikan penduduk setempat akan terus dipelihara.

Iklan

“75 komputer riba sudah diedarkan kepada golongan kurang berkemampuan.

“Peruntukan saya sebagai ahli Parlimen sudah ditarik, tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak cari jalan untuk membantu orang Muar.

“Saya akan terus mencari penaja dan kaedah membantu golongan memerlukan,” katanya.

Sehingga kini, posting tersebut telah menerima ratusan ulang kicau dan ribuan tanda suka daripada warga Twitter.

Terbaik dan tahniah YB!