TERDAHULU SinarPlus ada kongsikan kisah sepasang mempelai yang berjaya menjayakan majlis perkahwinan secara drive thru atau pandu lalu. Ingat tak? Kini kisah mereka semakin tular dan menjadi bualan warganet.

Pasangan pengantin baharu, Norazura Mohd Ali dan Agus Santoso sama sekali tidak menyangka majlis perkahwinan mereka tular sekali gus menjadi perhatian warga media sosial.

Menurut Norazura, 36, yang juga dikenali sebagai Wawa, pada mulanya majlis berkenaan hanya dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan oleh kerajaan sahaja selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.

Memetik laporan media tempatan, katanya, beliau bersama suami, Agus, 28, menyatakan majlis yang diadakan untuk meraikan tetamu yang hadir, tidak disangka menjadi tular setelah pada asalnya cadangan majlis berkenaan hanya dilakukan dengan cara mengagihkan makanan secara bungkus kepada jiran, rakan-rakan serta saudara terdekat.

“Bagaimanapun, saya dan suami tidak bersetuju apabila memikirkan banyak kerja perlu dilakukan untuk mengagihkan makanan selain mengenangkan ramai rakan-rakan dan saudara mara mahu datang sendiri melihat kami berdua di majlis perkahwinan kami.

“Saya dan suami berbincang dengan jurugambar dan juru andam untuk mengadakan majlis secara pandu lalu ini, yang dlihat sesuai dilakukan selain tidak melanggar SOP,” katanya.

Norazura berkata ahli keluarga termasuk ibunya, Khatija Awang, 66, pada mulanya agak keberatan untuk melaksanakan konsep kahwin pandu lalu itu, namun setelah beberapa kali berbincang, akhirnya dipersetujui selain mendapat kebenaran pihak polis.

Katanya, pelbagai perancangan awal dilakukan untuk menyusun atur perjalanan majlis termasuk memberitahu tetamu bahawa majlis yang dilaksanakan terbabit menggunakan konsep pandu lalu.

Iklan

“Selain itu, kami turut meletakkan pusat sehenti untuk pemeriksaan suhu badan serta pendaftaran kehadiran, tempat agihan makanan dan yang terakhir berswafoto dengan pengantin hanya dari dalam kereta,” katanya.

Iklan

Norazura juga tidak menyangka majlis yang berkonsepkan pandu lalu itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Majlis pernikahan pasangan terbabit diadakan pada 27 Jun lepas di Pejabat Agama Daerah Kluang.