Tamat hafaz 30 juzuk al-Quran pada usia 10 tahun, ibu ini kongsi amalan anak

ALLAHUAKBAR! Pada usia 10 tahun, kanak-kanak perempuan, Zinnirah Abu Dzar berjaya tamatkan hafaz 30 juzuk al-Quran.

Kehebatan Zinnirah menghafal al-Quran sejak berusia tiga tahun membuahkan hasil apabila meraih tempat kedua pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan (MTHQWP) Tahun 1445 H, dalam kategori hafazan satu hingga 10 juzuk, baru-baru ini.

Malah kanak-kanak yang kini berusia 12 tahun itu adalah peserta paling muda berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran ketika usianya 10 tahun 11 bulan.

Murid Tahun Enam Pusat Tahfiz Darul Haafizhiin, Kuala Lumpur, itu mula menghafaz al-Quran pada usia tiga tahun secara talaqqi bersama ibu dan ayahnya.

Zinniriah yang kali pertama menyertai Majlis Hafazan Peringkat Negeri, menyifatkan kejayaan meraih tempat kedua menguatkan semangatnya untuk terus memastikan hafazan, dan mendalami al-Quran supaya lebih memahami ilmu serta maksud kandungannya.

Ujarnya, rutinnya adalah perlu mengulang bacaan setiap hari bagi mengekalkan hafazannya.

“Saya meluangkan masa dua jam untuk berlatih dan mengulangi bacaan al-Quran setiap hari. Di sekolah pula, latihan bacaan sekurang-kurangnya lima jam sehari,” katanya.

Katanya, dia turut melakukan aktiviti seperti kanak-kanak lain seperti bermain gajet dan menonton televisyen.

Dalam pada itu, dia juga akui ada keluar ke pusat membeli-belah, meluangkan masa bersama kawan dan keluarga.

Baca juga 11 anak dalami bidang agama, 4 huffaz al-Quran, Dr Nurwanis kongsi doa & amalan ibu bapa. Wajar dijadikan contoh!

Zinnirah bersama ibu, bapa dan adik kembarnya ketika MTHQWP baru-baru ini. – Foto Jawi

Impiannya kini adalah untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains MARA Ulul Albab kerana minatnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, justeru, Zinniriah tidak mengehadkan pilihan itu dan terbuka untuk melanjutkan pengajian ke mana-mana sekolah yang menawarkan program hafazan dan akademik yang seimbang.

Menurut bapanya, Abu Dzar Mamat, 43, yang juga seorang Hafiz dan bertugas sebagai mudir di Tahfiz Darul Haafizhiin Al-Furqan, menerapkan pada semua kelima-lima anak perempuannya mencintai al-Quran.

Katanya, Zinniriah anak kedua dalam keluarga dilihat lebih cenderung menghafaz al-Quran seawal usia tiga tahun.

“Isteri juga banyak memberi sokongan dan mendidik Zinniriah kerana saya kurang masa di rumah. Setiap kali ada masa lapang saya akan mengulangkaji dan menyemak bacaan bersama dia dan ibunya.

“Rahsia kejayaan Zinniriah adalah menjadikan rutin menghafaz setengah muka al-Quran setiap hari di rumah,” katanya.

Sementara itu, ibunya Siti Shahida Abdullah, 41, berkata beliau mula menyedari kelebihan pada Zinniriah untuk mengkhatamkan al-Quran sejak anaknya berada pada Tahun Satu.

“Ketika itu, Zinniriah bersekolah sama tempat saya mengajar, iaitu sebuah sekolah harian biasa, namun saya lihat minat dan kecenderungannya kepada al-Quran. Jika kekal di sekolah biasa, kecemerlangannya dalam bidang ini tak dapat digilap.

Iklan

Baca juga Kemasnya al-Quran tulisan tangan! Bakal doktor Al-Hafizah terima 2 anugerah JAKIM jadi inspirasi

“Jadi, saya dan suami membuat keputusan menghantar Zinniriah bersekolah Tahfiz yang membolehkan dia mendapat latihan lebih mendalam untuk mengasah bakat dan minatnya,” katanya.

Keputusan itu menurut Siti Shahida juga dibuat dengan persetujuan Zinniriah yang ketika itu sangat berminat untuk menghafal al-Quran.

“Anak sulung saya, Sumayyah kini Tingkatan Tiga belajar di Tahfiz di asrama penuh juga sedang giat menghafaz al-Quran yang kini sudah mencecah juzuk 20.

Iklan

“Begitu juga anak ketiga, Khadijah, 8, sudah menghafaz lapan juzuk, manakala anak bongsu kembar kami, sekarang berusia dua tahun yakin bakal mengikut jejak langkah kakak-kakak mereka nanti,” katanya yang menanamkan al-Quran dalam jiwa anak sejak kecil lagi.

Alhamdulillah, moga ini dapat memberikan inspirasi kepada kita semua dalam mengharungi kehidupan.

Sumber: Berita Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!