TERBAIK anak muda! Siapa sangka, dalam jutaan gambar yang diambil di seluruh dunia, foto pemandangan sawah padi yang dimuat naik hanya sekadar suka-suka berjaya mencuri tumpuan syarikat teknologi terkemuka dunia iaitu Apple dan disiarkan di laman Instagram rasmi syarikat tersebut.

Lebih membanggakan, foto tersebut juga kini berjaya mendapat lebih 231,000 tanda suka dan turut menerima ribuan komen daripada pengikut Instagram syarikat gergasi tersebut.

Memetik laporan portal media tempatan, jurufoto tersebut yang dikenali sebagai Muhammad Faris Danial Mohd Faizal, 19, menceritakan pengalamannya sehingga menjadi bualan dalam kalangan netizen di laman sosial berkenaan.

“Saya betul-betul tidak sangka bahawa gambar itu akan ditampilkan dan seterusnya menjadi tular.

“Sebenarnya ini kali kedua gambar saya ditampilkan dalam akaun rasmi Apple.

“Terdahulu, gambar saya ditampilkan secara kompilasi bersama jurufoto lain.

“Namun, pada 15 September lalu, Apple sekali lagi menghantar satu email kepada saya untuk meminta kebenaran bagi menampilkan gambar tersebut,” ujar remaja kelahiran Pahang itu.

Tambah Faris, gambar tersebut diambil semasa dia dan keluarga sedang bercuti di Sabak Bernam, Selangor pada 17 Julai lalu.

“Gambar itu diambil menggunakan iPhone XR saya kira-kira jam 6.30 petang, pada ketika itu matahari mula terbenam dan saya rasa ia adalah waktu yang cantik untuk mengambil gambar,” kata Faris.

Selain itu, jelas Faris, dia hanya menjadikan aktiviti menangkap gambar sebagai hobi dan bukannya dilakukan secara serius.

Iklan

“Ia hanya sekadar hobi. Saya hanya menggunakan telefon saya sahaja untuk menangkap gambar.

“Kebanyakannya bukan gambar nature sahaja, saya juga ada ambil gambar potret, urban dan lain-lain lagi.

“Selain itu, saya hanya belajar dengan rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama dan saya juga sering merujuk foto-foto yang diambil beberapa jurufoto terkenal sebagai pembelajaran.

Ketika ditanya mengenai adakah dia akan menceburkan diri dalam bidang fotografi secara serius, Faris memberitahu bahawa dia bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang Rekaan Grafik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada awal Oktober depan.

Iklan

Tahniah SinarPlus ucapkan buat Faris! Itulah yang dinamakan rezeki dan tuah badan. Jadi, kalau korang yang mana gemar ambil gambar jangan lupa cuba nasib juga tag syarikat teknologi terkemuka dunia itu. Mana la tahu lepas ni korang juga bernasib baik seperti Faris! Why not?