TRAGEDI menimpa kanak-kanak perempuan, Allahyarham Nur Airis Hafeeya Faizal, 6, yang maut terjatuh dari aras sembilan sebuah hotel di Pulau Pinang menjadi tular di pelbagai platform laman sosial.

Percutian keluarga itu bertukar duka. Tiada siapa menduga hanya selepas seminggu pemergiaan nenek tersayang, Fatimah Man, 81, Nur Airis Hafeeya pula menyusul.

Malah ibunya, Siti Norra Salleh, 44, berkata anak kecil itu pernah meluahkan ingin masuk syurga dua hari sebelum kejadian.

Namun mereka tidak menyangka ia adalah petanda akan kehilangan Nur Airis Hafeeya buat selama-lamanya.

“Arwah ada cakap tak sabar nak mati sebab nak ke syurga, saya tak sangka apa yang diluahkan itu menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut laporan akhbar, berikut adalah kronologi kejadian yang menimpa kanak-kanak terbabit:

17 Oktober 2021 (Ahad)

Keluarga Nur Airis Hafeeya telah mendaftar masuk ke sebuah hotel yang terletak di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Ibu bapa dan tiga lagi adik beradiknya menginap di hotel berkenaan. Mereka sepatutnya menghantar abang sulung Nur Airis Hafeeya ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Balik Pulau pada Isnin.

18 Oktober 2021 (Isnin)

Pagi itu, keluarga berkenaan telah mandi di kolam renang di tingkat bawah hotel berkenaan.

Namun, ketika melihat orang awam keluar dari lif, Nur Airis Hafeeya meluru masuk.

Ahli keluarganya tidak sempat untuk menaiki lif bersamanya kerana pintu lif tertutup dengan cepat.

11.30 pagi
Semua ahli keluarganya panik dan mula mencari Nur Airis Hafeeya di kawasan tersebut.

Kira-kira 10 minit mencari, sekujur tubuh anak kecil itu yang tidak bernyawa ditemui di tingkat dua hotel berkenaan.

12.20 tengah hari
Laporan polis mengenai kejadian itu diterima.

Iklan

Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.

19 Oktober 2021 (Selasa)

Kematian Nur Airis Hafeeya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Nur Airis Hafeeya meninggal dunia susulan kecederaan parah yang dialami selepas terjatuh daripada tempat tinggi.

Tiada unsur jenayah dalam tragedi itu. Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian.

Polis turut memaklumkan jenazah Allahyarham telah dituntut ahli keluarganya.

11.00 pagi
Jenazah Allahyarham Nur Airis Hafeeya dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah.

Iklan

Semoga keluarga adik Nur Airis Hafeeya Faizal kuat dan tabah menempuhi ujian ini.

Al-Fatihah.

Baca juga: Mayat Budak Lelaki Ditemui Terapung Di Dalam Kolam Takungan Air. Berikut Kronologi Kejadian

Baca juga: Kronologi Kes Pembunuhan Kejam Ketua Jururawat, Lelaki Nigeria Dihukum Gantung Sampai Mati

Jangan lupa follow kami di Instagram