Tidak dapat tidur 5 bulan, Ustaz Hanafi kongsi titik tolak hijrah Faizal Ismail

A
A
A

TIDAK dapat tidur selama lima bulan, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hanafi kongsi titik tolak hijrah Faizal Ismail.

Kisah itu dikongsikan beliau baru-baru ketika mengikuti program Jom Cuci Masjid (JCM) siri ke 39 di Kampung Tok Muda, Kapar Klang. Apa yang menarik, program tersebut turut disertai oleh seorang personaliti radio dan pengacara TV iaitu Faizal Ismail (FBI).

Menerusi sesi perkongsian, Faizal telah mengambil peluang bercerita tentang pengalaman hijrah yang beliau lalui. Moga kisah yang dikongsikan oleh Faizal ini menjadi panduan dan teladan bersama.

“Ceritanya bermula semasa Covid-19 melanda negara, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Waktu itu Allah tarik satu nikmat dari hidup saya, nikmat tidak boleh tidur. Kalau difikirkan, tidak ada masalah apa sangat pun cuma tidak boleh tidur sahaja. Orang lain diuji dengan macam-macam penyakit kanser dan sebagainya. Saya cuma tidak boleh tidur,” kata Faizal.

Menurut Faizal, masalah sukar tidur yang dialaminya bukan hanya sehari dua tetapi sehingga lima bulan. Beliau juga sudah berjumpa ramai doktor dan buat pemeriksaan namun kata doktor tiada apa-apa masalah kesihatan. Mungkin terlalu runsing memikirkan PKP dan Covid-19.

“Cuba bayangkan. Saya sudah cuba tidur pagi, petang, siang dan malam tapi tetap terjaga. Saya jadi pening, serabut, lemah, hidup tidak tentu arah sampai kurus. Macam-macam orang bagi pendapat. Ada yang cakap kena sihir, gangguan jin dan sebagainya,” kata Faizal.

Selepas itu Faizal berjumpa pula dengan ustaz-ustaz. Mereka menasihatkan Faizal jangan terlalu memikirkan ada gangguan syaitan, sihir atau seangkatan dengannya. Fikir apa yang ALLAH hendak bagi pada beliau.

Menurut Ustaz Hanafi pula, beliau rasa tersentuh dengan perkongsian Faizal. Di sebalik setiap ujian, ada rahmat yang ALLAH hendak bagi. Itu kata-kata yang diucapkan oleh ustaz-ustaz yang ditemui oleh Faizal.

“Allahuakbar! Tersentuh saya dengar luahan Faizal. Betul. ALLAH uji manusia dengan bermacam-macam cara. Saya sendiri diuji dengan kanser. Ada orang diuji dengan harta, konflik saudara dan sebagainya,” jelas Ustaz Hanafi

Berbalik semula pada perkongsian Faizal, semasa mendengar ustaz-ustaz berbicara tentang ujian dan rahmat ALLAH, Faizal mengakui dia tidak ada rasa apa-apa. Mungkin sebab beliau tidak memahami maksud yang ustaz-ustaz ini cuba sampaikan.

“Saya berfikir, macam mana ALLAH sayang saya. ALLAH hendak bagi rahmat macam mana. Sedangkan saya pening. Saya lemah. Tidak terurus. Saya tidak faham macam mana ALLAH sayang saya dalam keadaan saya menderita dengan keadaan itu.

“Lima bulan dalam keadaan tidak tentu arah, saya hanya duduk di atas katil. Waktu itu saya hanya tahu mengadu pada ALLAH. Akhirnya saya sedar bahawa yang memiliki segala-galanya adalah ALLAH. Hatta tidur saya sekali pun milik ALLAH. Kalau ALLAH tidak izinkan kita tidur, jangan harap kita dapat tidur walau sekejap sekalipun,” ujar Faizal.

Faizal mengakui betapa besarnya kuasa dan nikmat ALLAH. Selepas mula mendapat kesedaran terhadap apa yang dilaluinya, Faizal mula bermuhasabah tentang kehidupannya sebelum itu. Sibuk dengan bermacam-macam urusan. Tidak sempat hendak solat berjemaah dan membaca al-Quran.

“Saya langsung tidak berkesempatan hendak menyertai program-program mencuci masjid seperti yang saya sertai ini. Jadual sangat padat, tidak sempat hendak fikir soal akhirat,” jelas Faizal.

Selepas pengalaman yang dilaluinya, Faizal mula mencari orang-orang alim serta mengikut mereka, dapatkan nasihat dan ilmu agama dan memilih jalan hidup yang lebih sempurna. Begitulah cerita tentang penghijrahan Faizal seperti yang diulas oleh Ustaz Hanafi.

Jelas Ustaz Hanafi, kita perlu bersyukur dengan apa sahaja rezeki yang ALLAH bagi pada kita. Tidak kira rezeki itu besar atau kecil, kita suka atau tidak suka. Mesti bersyukur. Syukur ini bukan setakat ucap terima kasih di mulut. Bukan setakat lafaz Alhamdulillah sahaja tetapi menggunakan segala nikmat yang ALLAH bagi mengikut apa yang ALLAH perintah dan tinggalkan apa yang ALLAH larang.

“ALLAH suruh kita solat, masuk waktu, mesti solat. ALLAH suruh bukan paksa. Bulan Ramadan ALLAH suruh puasa kita puasa. ALLAH bagi mata suruh kita tengok benda baik-baik. Jaga mata kita hanya untuk pandang yang baik-baik.

“ALLAH bagi kita mulut supaya kita makan makanan yang halal. Jaga percakapan kita dari menyakiti hati orang. ALLAH bagi rezeki wang ringgit yang banyak maka keluarkan zakat, banyakkan infaq dan sedekah,” kata Ustaz Hanafi.

Bermacam nikmat yang ALLAH beri, banyaknya tidak terkira. Dalam al-Quran ada menyebut, kalau kita hendak tulis nikmat yang ALLAH bagi pada kita dengan seluruh lautan yang ada di muka bumi ini pun, tidak mampu kita hendak tuliskannya.

Untuk rekod, Faizal kini bergandingan bersama Mawi dan Anas mengendalikan segmen ‘Zayan Pagi’ disaluran radio Zayan. Segmen tersebut ke udara setiap Isnin hingga Jumaat jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Sumber: Ustaz Hanafi

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca