PADA petang Selasa lalu, wajah penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan kelihatan ceria. Senyuman manis sentiasa terukir pada bibir mungilnya sehingga menampakkan barisan giginya yang cantik.

Penampilan selebriti berusia 28 tahun itu tampak ringkas dan ranggi. Beliau memadankan baju-T, denim dan kasut but paras buku lali serba hitam.

Pun begitu, pemilihan warna gelap sedemikian bukanlah simbolik pada episod hitam yang pernah dialami sebelum ini ataupun merujuk galau hatinya. Gaya tersebut sekadar memenuhi tema pakaian bagi acara yang dihadiri pada hari berkenaan.

Mungkin ada terdetik dalam hati, apakah dimaksudkan dengan episod hitam yang pernah membelenggu Elizabeth?

Menyorot kisah duka yang berlaku empat tahun lalu, anak jati Kuala Lumpur tersebut hampir memikirkan untuk bertindak ‘meragut‘ nyawanya. Dalam erti kata lain percubaan membunuh diri.

Keputusan membuta-tuli itu tercetus dek menanggung keperitan selepas dikatakan berpisah dengan seorang jejaka Melayu.

Rentetan jalinan cinta yang terputus di tengah jalan, ia secara tidak langsung turut menimbulkan masalah sampingan kepada empunya diri yang telah dipendam selama beberapa tahun.

Ini termasuklah melibatkan perihal keluarga, peribadi, karier dan agama. Pada mulanya, Elizabeth atau mesra membahasakan dirinya Lizzy berperang sendirian mencari solusi menyelesaikan masalah yang muncul satu demi satu.

elizabeth tan
ELIZABETH atau mesra disapa Lizzy menyifatkan masalah tekanan jiwa bukan main-main, maka ia perlu dikongsi bersama famili ataupun insan sekeliling termasuk merujuk pakar.

Bagaimanapun, pelantun lagu Knock Knock itu tidak berdaya sehingga menyebabkan beliau mengalami tekanan jiwa dan kemurungan.

Berdasarkan portal myhealthmylife.com, kemurungan adalah sejenis gangguan mental paling lazim di dunia.

Dianggarkan 2.3 juta rakyat Malaysia mengalami kemurungan pada satu tempoh dalam kehidupan. Kira-kira 20 peratus masalah berkenaan dialami dalam kalangan orang dewasa berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Silap percaturan
Bicara lanjut, Lizzy menyifatkan situasi sedemikian berlaku mungkin disebabkan percaturannya yang enggan berkongsi cerita baik bersama keluarga mahupun insan terdekat.

“Walhal, tiada salahnya untuk kita meluahkan emosi dan masalah yang berbekam dalam jiwa dengan mereka. Setidak-tidaknya pandangan keluarga dan sahabat dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung sendirian.

“Ingat ya, kemurungan tidak boleh dipandang ringan dan ia merupakan perkara serius yang perlu ditangani dengan baik,“ luah Lizzy ketika ditemui SinarPlus pada Majlis Pelancaran Filem 10 Tips Tipu Bini di Kuala Lumpur baru-baru ini.

elizabeth tan
SELAIN menyanyi, wanita bertubuh langsing dan memiliki rambut panjang mengurai ini juga berbakat dalam bidang lakonan.

Meneruskan cerita, wanita yang memiliki ketinggian 168 sentimeter itu menjelaskan, beliau mengambil masa beberapa bulan untuk keluar daripada sarang kemurungan.

Pun begitu, wanita Tionghua berkenaan menzahirkan rasa bersyukur apabila pantas tersedar sebelum dihanyutkan dengan keputusan yang dibuat mengikut emosi.

“Barangkali, sukar untuk saya menjadi Elizabeth Tan seperti hari ini tanpa sokongan padu dan kasih sayang daripada ibu (Irene). Beliaulah faktor utama untuk saya bangkit dan berusaha memandang semua aspek dari sudut positif.

“Bayangkan sepanjang tempoh mengalami kemurungan, ibulah yang menyiapkan segala-galanya. Ibu memastikan saya makan mengikut waktu dan tidur secukupnya.

“Selain itu, bagi memastikan keadaan Lizzy sentiasa okey, ibu sanggup bawa makanan dan menemani seharian di set penggambaran,“ ujarnya yang pernah membintangi filem Misteri Dilaila pada dua tahun lalu.

Sementara itu, anak bongsu daripada tiga beradik tersebut turut terharu dengan sokongan kawan-kawan.

Biarpun pada ketika itu beliau tidak mahu berjumpa sesiapa, apa lagi mempamerkan kondisi dirinya sedang lemah di hadapan orang lain, tetapi dirinya mengakui kehadiran sahabat rupa-rupanya membantu meniupkan semangat bahagia.

Positif

elizabeth tan
LIZZY bersyukur masalah depresi yang dialaminya berjaya diatasi sedikit demi sedikit berkat sokongan padu daripada ibu dan kawan-kawan.

Masih berbicara mengenai konteks kemurungan, Lizzy berkata, beliau tidak pernah menyesali apabila perlu berdepan dengan situasi terbabit.

Selebriti yang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris dan pernah menuntut di Texas, Amerika Syarikat selama dua tahun itu berkata, semua yang berlaku membawa hikmah tersendiri.

Sekurang-kurangnya momen pahit itu dijadikan panduan untuk menyusun langkah hari mendatang.

“Konsepnya mudah. Tutup buku lama, buka buku baharu. Walaupun kisah depresi berkenaan berlaku empat tahun lalu, namun saya sedikitpun tidak berasa malu. Dari sudut positif saya berpeluang berkongsi tip cara menangani masalah ini (kemurungan) bersama masyarakat.

“Saranan saya, mereka yang sedang mengalami kemurungan, perkara pertama harus dilakukan adalah berkongsi masalah itu dengan individu terdekat. Jangan pendam sendiri kerana bimbang luka kecil akan membesar menjadi nanah. Jika perlu bertemu pakar, maka laksanakan demi kesihatan mental dan fizikal peribadi,“ tegas pemenang Artis Baru Terbaik (Wanita) pada Anugerah Planet Muzik ke-14 itu.

Bukan itu sahaja, Lizzy juga menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mendidik diri agar tidak terlampau memikirkan sesuatu masalah sehingga mendatangkan stres. Jika berada dalam keadaan tertekan, luangkan masa duduk seketika, tarik nafas dan berfikir secara rasional.

“Tidak dinafikan, pada fasa awal mungkin berasa susah dan perit, tetapi percayalah sekiranya kita komited mengamalkan sikap positif semua masalah dialami dapat diselesaikan dengan sempurna dari semasa ke semasa,“ jelas Lizzy yang tidak menafikan pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh negara termasuk Malaysia juga antara punca tekanan emosi dalam kalangan masyarakat.

Iklan

Bahkan, akhbar Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan perkongsian daripada Pensyarah Kanan dan Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Dr Ruziana Masiran pada Oktober lalu.

Memetik laporan berkenaan, kesan psikologi terhadap manusia disebabkan pandemik Covid-19 dapat dilihat daripada beberapa sudut.

Antaranya kesan psikologi akibat saringan Covid-19 dan infodemik berkaitan virus tersebut.

Pada masa sama, tempoh kuarantin yang panjang dan tekanan ekonomi berterusan juga mendorong gejala kegelisahan, stres dan kemurungan. Lebih menakutkan kemurungan yang tidak ditangani segera membawa kepada perbuatan bunuh diri.

“Buat mereka yang tertekan apabila perlu kekal di rumah ataupun terjejas pendapatan, jangan sesekali membiarkan stres tersebut mengawal pemikiran kita. Cuba melihat situasi ini dalam sudut positif.

“Jika berada di kediaman, mungkin anda boleh mencipta aktiviti yang membantu menenangkan fikiran. Hal sama, bagi kelompok terjejas atau hilang pekerjaaan.

“Selagi kudrat masih ada, kita terus berusaha mencari peluang lain bagi menambah sumber pendapatan baik untuk diri sendiri mahupun keluarga,“ katanya yang tidak terkecuali berhadapan isu pengurangan sumber pendapatan pada era virus korona ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Gombak, Selangor itu mendedahkan, penularan Covid-19 telah menyebabkan beberapa undangan aktiviti nyanyian terpaksa dibatalkan.

Oleh demikian, memikirkan tanggungjawab melunaskan komitmen bulanan, maka beliau yang mempunyai 1.8 juta jumlah pengikut dalam laman sosial Instagram tersebut mengetepikan sikap cerewet terhadap tawaran yang datang.

Iklan
elizabeth tan
PENAMPILAN terkini Lizzy ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Filem TV 10 Tips Tipu Bini di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Siapa yang tidak memerlukan wang dalam tempoh pandemik? Meskipun aktiviti nyanyian tergendala kerana show melibatkan perhimpunan skala besar tidak dibenarkan, namun bersyukur rezeki hadir dalam cabang lakonan untuk filem TV, 10 Tips Tipu Bini.

“Saya menerima tawaran berlakon filem tersebut kerana genre komedi dan jalan ceritanya ringan yang sedikit sebanyak membantu meredakan tekanan penonton di rumah.

“Tambahan pula, lokasi penggambaran di sekitar Pulau Pinang, maka inilah peluang saya menghirup udara luar dari Kuala Lumpur. Tidaklah terperap sahaja di rumah (ketawa),“ jelasnya.

Secara ringkas, filem 10 Tips Tipu Bini yang ditayangkan menerusi saluran Astro First (480) pada 7 Januari lalu merupakan produk sulung penyanyi rock terkenal, Datuk Awie di bawah penerbitan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd miliknya.

 

PROFIL

elizabeth tan

Nama: Elizabeth Tan Su Mei
Nama karier: Elizabeth Tan (Lizzy)
Umur: 28 tahun
Tarikh lahir: 18 November 1993
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Adik-beradik: Anak bongsu daripada tiga beradik
Tinggi: 168 sentimeter
Pendidikan:Sekolah Kebangsaan Taman Melawati,
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati
Pernah melanjutkan pengajian di Texas, Amerika Syarikat
Karier: Penyanyi, pelakon, jurucakap produk dan model
Antara lagu: Knock Knock, Maafkan Aku, Semua Sudah dan Police Entry
Antara drama dan filem: My Darling Inspektor Daniel, Misteri Jenazah: Badi Zalia, Gerak Khas: Jerat Kekasih, Senafas Rindu, Tip Tipu Bini, Kau Roadblock Hatiku dan Misteri DilailaAntara Anugerah: Artis Baru Terbaik (Wanita) Anugerah Planet Muzik ke-14 dan Artis Wanita Terbaik, Anugerah Met 10
Instagram: @elizabethtan (1.8 juta jumlah pengikut)

Foto: Rosli Talib dan @elizabethtan