[VIDEO] Mula-mula bertahi, kemudian darah pekat. Ibu muda cerita detik cemas menimpa anak usia 14 hari

June 10, 2021
Oleh Azma ML

KELAHIRAN bayi selepas mencecah usia kandungan 40 minggu sememangnya dinanti-nantikan pasangan suami isteri. Sebaik sahaja dilahirkan, permata hati itu ditatang bagai minyak penuh.

Sekiranya berlaku masalah kesihatan pada anak mulalah ibu menjadi tidak keruan.

Iklan

Inilah situasi dialami seorang ibu muda apabila mata anaknya ‘bertahi’ hingga mengeluarkan titisan darah.

Bagi Nurasyera Zakaria, melihat mata bayinya, Qaseh Marissa Sofia berusia 14 hari membengkak dan berdarah membuatkan dirinya diselubungi perasaan panik, sedih dan bimbang.

“Mula-mula saya dan suami perasan mata kanannya seperti ada sedikit tahi mata, tetapi memang tak jangka akan menjadi teruk. Ketika usianya mencecah 14 hari tahi mata semakin ketara hingga tidak boleh dibuka.

“Kami segera bawa ke klinik dan diberikan ubat titis kerana tiada ubat ideal untuk bayi. Namun begitu, keadaan mata makin teruk, apatah lagi ketika cuba lap tiba-tiba keluar darah,” kata ibu muda tersebut baru-baru ini.

Baca juga 10 Fakta Menarik Tentang Bayi, Fakta Nombor Dua Kena Jaga-Jaga

Iklan

Beliau berkongsi episod itu menerusi laman sosial TikTok. Lebih merunsingkan darah mata bayi comel terbabit dapat dilihat jelas di putik kapas yang digunakan.

Nurasyera ketika dihubungi SinarPlus mengakui keadaan mata bayinya didiagnos sebagai jangkitan kuman. Doktor yang merawat di klinik terus merujuk kes bayinya ke hospital bagi mendapatkan rawatan pakar.

Iklan

Masih segar dalam ingatannya pada pukul 2.30 pagi selesai menyusukan Marissa beliau mendapati darah pekat keluar daripada deria penglihatan anaknya.

“Tepat pukul 2.30 pagi Marissa menangis nak susu. Ibu bangun untuk susukan Marissa. Lepas habis menyusu ibu tengok mata anak ibu turun darah banyak sangat. Pekat sangat.

“Ibu menangis lantas kejut Tok Mama yang sedang tidur. ALLAH sahaja tahu perasaan itu. Terus ajak ke hospital,” kongsi Nurasyera.

Setibanya di hospital, pegawai perubatan bertindak mencuci bahagian mata. Nurasyera yang masih dalam tempoh berpantang tidak dapat menahan tangisan tatkala mendengar bayinya meraung.

Baca juga Bayi Boleh Terkena Sawan Tarik, Kembung Jika Minum Air Putih? Ibu Bapa Sila Ambil Perhatian

Beliau turut menjelaskan, selepas mata kanan Marissa dijangkiti kuman, mata kiri pula mengalami keadaan sama. Bengkak dan berdarah.

Fasa seterusnya, mata bayi itu mendapat rawatan pakar berulang kali antarnya proses cuci luka. Jika dihitung kira-kira dalam tempoh sebulan baru pulih.

@nurasyerazakaria

Alhamdulilah dah pergi jumpa pakar mata …esok ada temu janji lg dgn doc..terima kasih ank ibu sbb kuat utk ibu dgn walid..mata marissa doc dh cci

♬ You Are My Everything – Gummy

Marissa kini berusia dua bulan dan membesar dengan sihat. Tujuan ibu berkenaan berkongsi video keadaan anaknya sekadar untuk berkongsi pengalaman.

Setakat ini video tersebut meraih 1.2 juta jumlah tontonan!

@nurasyerazakaria

Dugaan buat ibu ngan walid😭

♬ original sound – Muhd Shafiq – 『AS』乛SHAFIQ 🕊️

“Pesanan saya kalau anak sakit tak kisahlah sakit mata atau apa-apa cepatlah ke hospital untuk dapatkan rawatan sebab newborn tiada ubat.

“Bayi baru lahir hanya ubat-ubat tertentu dan pakar lebih mengetahui untuk mengendalikan.

“Sekurang-kurangnya sebelum bertambah teruk rujuklah kepada pakar. Jangan ambil risiko mencuba petua yang boleh memudaratkan bayi,” kata Nurasyera yang kini menetap di Bandar Baharu, Kedah.

Semoga perkongsian beliau dijadikan panduan kepada ibu bapa lain. Usah bertindak sendiri menggunakan petua tertentu terutamanya melibatkan anak kecil atau bayi baru lahir.

Sumber: Nurasyera Zakaria

Iklan
Iklan