Bayi boleh terkena sawan tarik, kembung jika minum air putih? Ibu bapa sila ambil perhatian

A
A
A

AMALAN memberi makan dan air putih kepada bayi enam bulan ke bawah mungkin masih berlaku dalam dalam masyarakat.

Seharusnya sebagai ibu bapa kita perlu peka mengikut saranan doktor bahawa bayi hanya dibenarkan menikmati makanan ataupun air putih selepas mencecah usia enam bulan.

Pelbagai alasan diberikan kononnya air putih boleh menurunkan paras kuning (jaundis), mengurangkan haus bayi dan sebagainya.

Semua alasan tersebut salah dan membahayakan nyawa si kecil. Tabiat tersebut harus dihentikan.

Sebelum ini kita pernah dikejutkan berita kematian bayi kerana mengalami pendarahan selepas diberikan bubur pisang oleh neneknya. Insiden terbabit amat mengecewakan kerana ia sepatutnya boleh dielakkan.

Justeru, ibu bapa harus memainkan peranan penting menghapuskan amalan itu sebelum memudaratkan si kecil.

4 risiko bayi 6 bulan kebawah minum air putih

Bayi berusia bawah enam bulan tidak perlukan air putih sehingga usia mereka mencecah enam bulan dan ke atas.

Tabiat memberikan air putih adalah terlalu awal kerana boleh mengakibatkan kesan negatif pada kesihatan bayi.

Berikut 4 implikasi buruk kepada bayi:

-Risiko kekurangan zat

Air putih atau cecair lain (jus buah/ teh dan sebagainya) boleh mengakibatkan risiko kekurangan zat makanan kepada bayi.

-Risiko penyakit dan jangkitan

Tabiat itu boleh meningkatkan risiko penyakit dan jangkitan yang mana air bertindak menghakis pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu. Air juga boleh menjadi pembawa kuman sekiranya ia tidak bersih.

-Risiko keracunan air

Pemberian air putih kepada bayi bawah enam bulan boleh meningkatkan risiko keracunan air. Air yang terlalu banyak akan mencairkan garam dalam darah dan menyebabkan suhu badan turun. Bayi menjadi kembung dan menyebabkan sawan tarik.

-Risiko kegagalan penyusuan susu ibu

Acap kali kita mendengar sesetengah ibu berputus asa memberikan susu ibu kepada bayi didakwa susu badan ‘kering.’

Walhal, ia disebabkan pemberian air putih. Perlu diketahui konsep asas penghasilan susu ibu ialah penghasilan berdasarkan konsep deman dan supply.

Bayi yang ‘kenyang’ minum air putih kurang berminat untuk menyusu badan, sekali gus mengakibatkan penghasilan susu ibu berkurangan.

4 kepentingan penyusuan eksklusif kepada bayi

Penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada bayi bermaksud tidak memberikan makanan atau minuman selain susu ibu kepada hingga bayi berusia enam bulan.

Ia amat penting untuk menjamin kesejahteraan si kecil. Antaranya ialah:

-Kandungan khasiat dan nutrien dalam susu ibu mencukupi untuk pertumbuhan bayi sejak lahir hingga usia enam bulan. Penyusuan susu ibu selama enam bulan tanpa makanan dan minuman lain tidak menjejaskan kadar pertumbuhan bayi.

-Penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan dapat memastikan penyerapan zat besi yang optimum daripada susu ibu. Pengambilan bahan lain seperti air putih mengurangkan penyerapan nutrien dalam susu ibu seperti zat besi.

-Sistem penghadaman bayi yang berusia kurang daripada enam bulan masih belum matang untuk memproses makanan.

-Enzim-enzim penghadaman bayi yang diperlukan untuk proses pencernaan belum tersedia sepenuhnya. Oleh itu bayi akan mudah mengalami cirit-birit sekiranya makanan pelengkap diberikan lebih awal.

Jom kita memastikan anak dan ahli keluarga lain mengetahui akan bahaya air putih kepada bayi enam bulan ke bawah.

Semoga bermanfaaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca