Video pelamin siap, pengantin perempuan 'lari' tular, ini kisah sebenar mempelai meraih perhatian warga maya
'PELAMIN anganku musnah'. Demikian situasi yang dihadapi seorang lelaki yang meraih perhatian warga maya apabila pengantin perempuan membatalkan majlis perkahwinan mereka pada saat-saat akhir.
Setiap daripada kita inginkan yang terbaik termasuk dalam perihal jodoh. Namun sebagai insan biasa tidak mampu menolak takdir yang tertulis andai insan yang dikasihi hadir hanya untuk seketika.
Sama ada hubungan cinta tidak kesampaian atau pertunangan putus di tengah jalan, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
Seperti yang dialami lelaki dari Sarawak, Nidzam, 28, mendedahkan majlis resepsi perkahwinan bertukar menjadi majlis doa selamat gara-gara ketiadaan pengantin perempuan. Wanita berkenaan dikatakan membuat pembatalan tiga hari sebelum majlis berlangsung.
Baca juga: Dipaksa pinjam RM40,000 demi majlis kahwin gah, wanita sedih lihat suami tungkus lumus bayar hutang
"Pengantin lari, duda kali kedua. Tetap senyum. Takdir memisahkan kita. Tarikh bersanding adalah 18 Disember 2022. Pelamin sudah siap tetapi pengantin lari. Pelamin anganku musnah, kecundang," titipnya.
Pada video yang dipaparkan, lelaki bergelar bapa tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan berusia tiga tahun itu sempat menggunakan khidmat andaman memandangkan ia tidak dapat dibatalkan.
"Tiba di hotel untuk ditata rias, masih boleh tersenyum. Kembali bergelar duda setelah majlis perkahwinan bertukar menjadi majlis doa selamat.
"Jangan tanya pengantin perempuan mungkin salah dua-dua belah pihak. Kita hanya merancang ALLAH berikanlah kekuatan," titip Nidzam pada video keduanya.
Pelamin bertemakan rona putih dan ungu muda sepi. Tetamu dan kenalan yang dijemput tetap hadir ke majlis berkenaan.
Lebih memilukan, meja santapan pengantin lengkap dengan hiasan sepi tanpa kehadiran kedua-dua raja sehari.
RESEPSI perkahwinan bernilai RM20,000 juga menjadi 'makan-makan' akhir tahun apabila tempahan dengan pihak katering tidak dapat dibatalkan.
"Akad nikah dan majlis persandingan sepatutnya berlangsung pada hari yang sama tetapi lokasi berbeza. Katering tidak dapat kami batalkan. Jadi kami buat doa selamat dan sedekah tetamu makan," kata Nidzam yang bekerja di sektor swasta.
Menurutnya, pihak pengantin perempuan membatalkan pernikahan tiga hari sebelum tarikh berlangsung kerana tiada persefahaman.
Kesihatan mental lebih penting
Kepada lelaki mahupun wanita yang mungkin berada dalam sitauasi yang sama, Nidzam berpesan agar sentiasa bertenang. Mempunyai karakter periang, bapa muda ini tidak kisah ditohmah.
"Tetap tenang dan lebarkan senyuman. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya, jaga kesihatan mental kita.
"Jangan rosakkan kesihatan mental, ia lebih penting daripada tanggapan orang luar," katanya.
Melalui episod duka, anak kelahiran Kuching Sarawak itu kini ingin menumpukan kepada keluarga dan puterinya yang kini berusia tiga tahun.
Namun hati lelaki tidak pernah tertutup untuk berkahwin lagi. Optimis tentang masa depan, Nidzam sedia memberi peluang jika bertemu wanita yang serasi.
Dua kali menemui kegagalan rumah tangga dengan wanita Bumi Kenyalang, Nidzam menyimpan hasrat bertemu jodoh dengan gadis Semenanjung. Biarpun pahit melalui saat ini, Nidzam berharap kisahnya menjadi pengajaran buat.
Baca juga: Pengantin perempuan rugi katering tak datang, penting 'checklist' majlis
Menjengah ke ruangan komen, warga maya tidak putus-putus memberikan sokongan dan kata-kata semangat buat Nidzam.
-"Semua ini tidak terjadi tanpa izin-NYA. Insya-ALLAh suatu hari nanti anda akan bertemu wanita yang terbaik"
-"Kuat ya, pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini."
-"Tiada jodoh, ALLAH sedang mempersiapkan yang terbaik untuk awak."
-"Mungkin dia bukan jodoh anda, mohonlah daripada-NYA. Moga yang akan datang adalah yang terbaik"
-"Jangan bersedih, pasti ALLAH akan gantikan dengan seseorang yang lebih baik untuk anda dan anak."
10 INFO PERLU DIKETAHUI JIKA PENGANTIN MEMBATALKAN PERKAHWINAN
Menurut Institut Kemajuan Islam Malaysia, mungkir janji kahwin, bakal pengantin lelaki atau wanita yang sudah bertunang boleh melakukan perkara berikut:
1-Jangan menganggap kekecewaan dan kerugian iru sebagai kemalangan yang perlu ditanggung deritanya oleh pihak mangsa tanpa sebarang pembelaan undang-undang.
2-Berdasarkan kepada ayat al-Quran dalam Surah al-Maidah, ayat 1, ALLAH SWT yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah segala janji-janji kamu…”.Maka undang-undang keluarga Islam memperuntukkan satu seksyen dalam perkara pertunangan berkenaan dengan remedi terhadap pemungkiran janji untuk berkahwin.
3-Seksyen berkenaan memperuntukkan bahawa, “Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah”.
Baca juga: Sebak ganti ibu sarung cincin tunang ke jari adik ipar, wanita menitiskan air mata atas pelamin
4-Perkahwinan bukan perkara main-main yang boleh dipandang ringan. Ia melibatkan nasibdan kehidupan seseorang dalam meneruskan rutin hariannya. Disebabkan ia suatu perkara yang amat penting, maka agama Islam menyediakan satu medium yang tujuannya adalah untuk memberi tempoh kepada kedua-dua belah pihak untuk berkenalan dan melihat sejauh mana wujudnya potensi keserasian kepada pihak-pihak yang terlibat untuk membina alam rumah tangga dan keluarga.
5-Baginda Rasulullah SAW menyarankan agar pertunangan yang dirahsiakan. Ia bertujuan agar maruah dan nama baik kedua-dua belah pihak dapat dijaga dan dipelihara sekiranya tiada persefahaman atau keserasian. Ataupun, perkahwinan tidak dapat dilangsungkan atas sebab-sebab yang munasabah menurut syarak.
6-Sebagai agama yang menekankan soal adab dan akhlak, maka seharusnya tempoh pertunangan dilalui dalam jangka masa yang munasabah. Ia sepatutnya memberi masa yang cukup kepada kedua-dua belah pihak untuk membuat penilaian dan keputusan. Sekalipun pembatalan pertunangan perlu dilakukan oleh sebelah pihak, namun seelok-eloknya biarlah ia dilakukan secara yang berhemah, beradab serta dilakukan awal sebelum pihak satu lagi membuat sebarang persediaan untuk mengadakan majlis perkahwinan.
Baca juga: Trending pengantin gelabah, ketar sarung cincin, ustazah beri ‘teguran’ sayang
7-Namun, sekiranya pembatalan pertunangan atau pemungkiran janji untuk berkahwin dibuat tanpa alasan munasabah, apatah lagi sebelah pihak telah pun membuat persediaan untuk mengadakan majlis pernikahan, maka berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang dinyatakan, pihak yang dimungkiri janji boleh membuat tuntutan ganti rugi melalui Mahkamah Syariah.
8-Ganti rugi akan ditaksirkan oleh pihak mahkamah berdasarkan perbelanjaan dan persediaan yang telah dilakukan oleh pihak berkenaan berhubung dengan majlis perkahwinan tersebut.
9-Pihak yang mungkir janji juga bertanggungjawab untuk memulangkan semula segala hadiah pertunangan yang diterima sekiranya ada.
10-Jika barangan tersebut sudah tiada atau lupus seperti makanan atau barang kosmetik yang telah digunakan, maka ia perlu ditaksirkan dan dibayar menggunakan wang sebagai ganti rugi.
Baca juga: Bekal pengantin baru ‘dibahan’ rakan, nota comel ‘jangan gatal, I love you’ jadi perhatian
Sumber: TikTok nidzam0907, IKIM
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang