SEBAK dan sayu, demikian perasaan anak sulung ini apabila menggantikan tempat ibunya menyarungkan cincin kepada bakal tunangan satu-satunya adik lelaki.

Sudah menjadi adat cincin merisik ini akan disarungkan oleh bakal ibu mertua ke jari manis sebelah kiri bakal pengantin perempuan.

Manakala cincin pertunangan pula akan disarungkan pada jari manis kiri sama seperti cincin merisik. Cincin tersebut sebagai tanda wanita sudah dipilih sebagai bakal menantunya.

Baca juga: Lamaran pemuda Arab, doktor wanita terima mas kahwin RM300,000

Baru-baru ini tular di laman sosial TikTok seorang wanita sebak dan sayu saat menyarungkan cincin kepada bakal adik iparnya.

Suasana pilu menyelubungi majlis apabila Nuraqila Syamila Ismail, 28, anak sulung dalam keluarga menitiskan air mata apabila terbayangkan Allahyarham ibunya, Khalidah Za’aba pada majlis pertunangan adik, Muhammad Azhad, 25.

“Impian setiap seorang anak mahukan ayah dan ibunya ada disisi untuk hari yang penting dalam hidup mereka. Siapa anak sulung dan anak pertama sila angkat tangan.

“Kemudian kamu perlu melalui situasi seperti ini tanpa Umi dan Ayah di sisi. Seorang kakak mewakili Ayah dan Umi untuk sarungkan cincin kepada tunang satu-satunya adik lelaki,” titip Nuraqila pada video majlis yang berlangsung 24 Oktober lalu.

Baca juga: Trending pengantin gelabah, ketar sarung cincin, ustazah beri ‘teguran’ sayang

Menurut Nuraqila, ibunya telah pergi buat selama-lamanya pada tahun 2014 kerana tekanan darah rendah. Ia kemudian disusuli bapanya tersayang Ismail Abd Mutalib pada April tahun lalu kerana serangan jantung.

Lebih mendukakan, anak sulung kepada tiga adik beradik itu berasa sedih terkenang arwah bapa yang tiada bersama sedangkan lelaki itu mengenali bakal adik iparnya sebelum ini.

Meskipun sudah lapan tahun ibunya kembali ke rahmatullah, Nuraqila masih merasakan aura wanita itu.

“Saya tahu walaupun Ayah dan Umi tiada di depan mata dan tiada bersama, mereka melihat kami. Ayah, Umi, satu-satunya anak lelaki sudah bertunang, Kak Yong sudah wakilkan untuk sarungkan cincin tunang. Doakan semoga semuanya dipermudahkan. Kami sayang dan rindukan kalian berdua,” luahnya menerusi video terbabit.

 

Nuraqila tidak menjangka video yang dikongsikan tular kerana niat asalnya hanya ingin mengabadikan ia sebagai kenang-kenangan.

Baca juga: Kuih buah tanjung, pemanis mulut jarang jumpa. Istimewa ketika majlis bertunang, hantaran kahwin

Menerusi tinjauan SinarPlus, video berkenaan menerima lebih 38,000 tanda suka dan 562,500 tontonan di TikTok.

Menjadi anak yang sulung dan memikul tanggungjawab menggantikan ibu bapa yang sudah meninggal dunia pada usia yang muda memerlukan kekuatan emosi.

Melalui situasi itu, Nuraqila berpesan kepada mereka yang bergelar anak sulung yang telah kematian ibu dan bapa agar cekal dalam menjalani kehidupan.

“Nasihat saya, teruskan kuat dan tabah tetapi jika tidak boleh jangan paksa diri.

“Kadang-kadang diri kita juga perlukan ruang dan masa menerimanya. Jika merasakan sedih dan hendak menangis, menangis sahaja, lepaskan.

“Paling penting jangan pendam kerana jika kita memendam kelak akan memudaratkan diri dan kesihatan, terutamanya kesihatan mental. Tetaplah kuat dan tabah, harus bersemangat,” kata Noraqila kepada SinarPlus.

Tambahnya, majlis perkahwinan pasangan berkenaan bakal dilangsungkan pada tahun hadapan.

Iklan

Baca juga: Pengantin terlafaz mas kahwin RM500 juta, bakal isteri pun geli hati

Rindu yang paling perit ialah rindu kepada orang yang telah tiada terutama sekali ibu bapa sendiri. Biarpun mereka sudah tiada di dunia ini, tanggungjawab sebagai anak tetap perlu dilunaskan.

Pejabat Muftti Wilayah menggariskan beberapa tanggungjawab anak kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia seperti berikut:

1-Tunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan ALLAH SWT seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya.

2-Melangsaikan hutang-hutang ibu bapa yang telah pergi kepada manusia setakat yang mampu.

3-Sentiasa berdoa kepada mereka kerana doa seorang anak yang soleh kepada ibu bapanya yang telah pergi merupakan amalan yang tidak terputus

4-Menziarahi sahabat-sahabat kepada kedua ibu bapa semasa hayat mereka. Agama kita amat menganjurkan setiap umatnya untuk menyambung pertalian silaturrahim dengan sesiapa sahaja dan bukan sahaja sesama ahli keluarga sahaja.

Iklan

5-Bersedekah untuk mereka walaupun selepas meninggal dunia.

6-Menunaikan dan memenuhi wasiat-wasiat ibu bapa yang dengan baik.

Baca juga: Wajibkah anak ganti puasa ibu bapa yang sudah meninggal dunia?

Sumber: Pejabat Muftti Wilayah

Baca juga: [VIDEO] Datang untuk merisik, bapa minta pasangan kekasih terus bernikah

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi