PELUANG menyaksikan sekawan ikan lumba-lumba 'bermain' di sekeliling bot menjadi pengalaman tidak dilupakan buat pengurus sebuah resort di Pulau Tioman, Rompin, Pahang.

Memetik laporan media tempatan, Mohd Faisal Safuan Saridan, 38, berkata, rakaman klip video ikan lumba-lumba itu yang tular di laman sosial hari ini, dirakamkan sekitar jam 12 tengah hari semalam, semasa beliau bersama isteri dan dua kru resort menaiki bot dari Kampung Tekek untuk pulang ke Kampung Juara di pulau tersebut.

"Saya melihat ada kelibat ikan lumba-lumba dari jauh dan terus membuat keputusan untuk cuba menghampiri kumpulan ikan tersebut walaupun tahu kemungkinan besar ikan itu akan melarikan diri. Tak sangka jumlahnya sangat banyak iaitu sekitar 20 ekor.

"Kumpulan ikan itu juga tidak terganggu dengan kehadiran kami, sebaliknya terus bermain di bawah bot selain turut mengikut pergerakan bot selama lebih lima minit sebelum kawanan ikan itu pergi," katanya.

Mohd Faisal Safuan, anak jati Pulau Tioman, berkata, air laut yang jernih juga menyebabkan rakaman ikan tersebut jelas kelihatan dan paling menarik ikan-ikan itu juga 'bergurau' dengan menyentuh jari mereka apabila diletakkan di permukaan air.

Beliau juga mengakui tidak menyangka tiga klip video yang dimuat naik di laman Facebook Juara Mutiara Resort dan akaun Facebook milik isterinya, Nurul Huda Sani, 34, menjadi tular dan mendapat reaksi positif daripada netizen yang turut teruja mengetahui kewujudan ikan lumba-lumba di Pulau Tioman.

"Saya tahu ikan lumba-lumba ada di perairan sekitar Pulau Tioman, namun sangat sukar untuk dijumpai. Malah, ini merupakan kali keempat saya berpeluang jumpa ikan tersebut walaupun memang membesar di pulau ini.

"Tapi, kejadian semalam yang paling manis dan rezeki kerana selain jumlahnya yang banyak, ikan yang saya jumpa semasa memancing atau membawa bot semuanya dari jarak jauh dan pantas melarikan diri jika menyedari kehadiran bot," katanya.