Tular budak main basikal jam 3 pagi, ibu sedih andaian warganet
RAKAMAN kanak-kanak bermain basikal sendirian pada awal pagi di tengah jalan tanpa pengawasan orang dewasa kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai respons dan andaian orang ramai.
Mana tidaknya, agak mustahil untuk kanak-kanak sekecil itu keluar bermain tambahan pula keadaan jalan yang gelap pastinya mampu mengundang pelbagai risiko bahaya.
Detik cemas itu dialami oleh tiga orang pemuda yang sedang lalu di kawasan tersebut apabila mereka dikejutkan oleh kelibat seorang kanak-kanak sedang bermain basikal pada jam sekitar 3 pagi.
Mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk berpatah balik ke kawasan kejadian dan mencari jawapan mengenai apa yang mereka lihat untuk kepastian.
Salah seorang daripada mereka sempat merakam video dan cuba berkomunikasi dengan kanak-kanak itu.
“Jika kamu manusia kamu berhenti”, namun kanak-kanak itu tetap mengayuh basikalnya.
Kejadian itu mendapat pelbagai respons pengguna laman sosial, termasuk ada yang mengaitkannya dengan alam mistik.
Namun, memetik laporan akhbar tempatan, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim telah mengesahkan insiden itu berlaku di simpang sebuah kampung di Putatan, Sabah, Rabu lalu.
Menurut beliau, beberapa orang awam telah datang ke Balai Polis Putatan dan memaklumkan ternampak budak lelaki berusia kira-kira empat tahun, mengayuh basikal di simpang jalan kampung berkenaan.
“Anggota yang bertugas ketika itu terus bergegas ke lokasi sebelum menemui kakak-kanak berkenaan di simpang jalan terbabit.“Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Balai Polis Putatan dalam keadaan selamat.
“Pada masa sama, ibu kanak-kanak itu datang ke balai polis untuk mengadu mengenai ketiadaan anaknya di rumah mereka,” katanya.
Video kejadian itu juga kini semakin tular di aplikasi TikTok dan akhirnya ibu kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai Mino akhirnya tampil untuk mencernihkan keadaan supaya orang ramai tidak lagi tertanya-tanya dan membuat pelbagai andaian.
Menerusi perkongsian ibu Mino yang dikenali sebagai Nana di Facebook Group Autise Malaysia, dia menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku sehingga anaknya dijumpai oleh tiga orang pemuda tersebut.
“Saya kongsikan sedikit video anak saya yang semakin tular ceritanya dikongsikan oleh orang ramai. Mino adalah anak yang sangat pintar. Mino berumur 5 tahun dan disahkan autisme hyper ketika dia berumur 3 tahun.“Saya nak cerita sedikit bila saya perasan jam 3 pagi pintu terbuka luas Mino tiada di rumah… hati ibu mana yang tidak risau.
“Saya terus lari keluar rumah bawa kereta cari sekeliling kampung sampai pekan… adik cari dalam kampung rumah ke rumah orang… dalam saya mencari saya tidak berhenti berdoa agar anak saya selamat dijumpai.
“Perasaan saya kuat untuk ke balai polis. Semasa saya tiba di balai polis kebetulan anak saya dalam perjalanan menaiki kereta peronda dan tiga org pemuda bawa basikal anak saya.
“Saya bersyukur sangat kepada adik-adik ni yang jumpa anak saya. Kalau tak, tak dapat nak bayangkan macam mana perasaan saya.
“Pada mulanya mereka bertiga hanya ketawa kerana mereka juga tidak percaya dengan apa yang mereka sedang hadapi. Setelah saya jelaskan hal sebenar mengenai penyakit anak saya kepada pihak polis baru mereka faham.
“Lepas ni sesi kawalan ketat untuk anak syurga saya perlu diambil supaya ia tidak lagi berulang,” tulisnya dengan penuh harapan.
Nana juga turut menggambarkan hanya keluarga yang mempunyai anak autism sepertinya memahami apa yang dia alami.
“Keluarga yang ada anak autism sahaja yang tahu macam mana situasi membesarkan anak syurga ini.
“Ya Allah aku berterima kasih sangat semuanya baik-baik sahaja. Walaupun video anak saya telah tular, saya sedikit terkilan kerana pelbagai tuduhan dilemparkan tapi apa pun tolonglah doakan yang baik-baik ya,” tulisnya lagi.
Sumber : Nana
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang