PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia ternyata memberi kesan khususnya kepada perniagaan, justeru sebuah kedai di Pulau Pinang menggunakan kaedah baharu untuk memastikan perniagaannya terus bertahan.

Menurut sumber, Pengasas Kumpulan Maxim Pang Khek Seng berkata, beliau menganjurkan sesi siaran langsung atau ‘live’ menerusi laman media sosial untuk mempromosikan tanglung tradisional yang dijualnya bersempena dengan festival kuih bulan pada 1 Okt ini.

“Setakat ini, sambutan daripada siaran langsung yang dibuat agak baik dan kami mungkin akan melakukannya lebih kerap,” katanya.

Pang yang juga pengarah restoran dim sum, Tai Tong berkata, tanglung sentiasa menjadi tarikan bagi rakyat Malaysia dan warga asing di restoran itu menjelang festival kuih bulan.

Tinjauan di restoran yang terletak di Lebuh Cintra di sini mendapati lebih 2,000 tanglung kertas kaca berwarna-warni digantung di dalam premis itu untuk dijual pada harga antara RM12 hingga RM45 setiap satu.

“Bagaimanapun, disebabkan pandemik ini dan larangan perjalanan antarabangsa, kami kehilangan kira-kira 50 peratus daripada hasil jualan (tanglung),” katanya.

Beliau berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini sedang dalam fasa pemulihan dan kehadiran pelanggan mula meningkat, Pang berharap wabak ini akan segera berakhir agar perniagaan dapat pulih.

Iklan

“Namun, kita cukup beruntung kerana Malaysia adalah satu daripada negara yang berjaya menangani keadaan pandemik ini dengan baik dan kita harus bersyukur dengan situasi itu,” katanya.

BERNAMA

Iklan