“SEMOGA semua adik-beradik saling menjaga dan mencintai antara satu sama lain.”

Itulah luahan harapan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di laman Instagram miliknya hari ini.

Menerusi posting itu, beliau turut berkongsi video pasangan kembar tersebut yang telah dibenarkan pulang ke rumah.

“Anak-anak teruja bertemu adik mereka pasangan kembar buat pertama kalinya.

“Mereka berada di muka pintu menunggu ketibaan kami. Masing-masing mahu mendukung dua bayi kami termasuk pasangan kembar pertama, Adam & Noah.

“Juga dapat merasakan cinta mereka memenuhi seluruh ruang. Semoga ikatan itu kekal selamanya walaupun ketiadaan saya nanti.

“Alhamdulillah, syukur sangat semuanya berjalan dengan baik,” tulisnya.

Semalam, Dr Sheikh Muszaphar turut berkongsi kedua-dua pasangan kembar itu disahkan mengidap penyakit kuning (jaundice).

“Parasnya tinggi 210. Mereka menjalani ‘phototherapy’.

“Penyakit kuning atau perubahan warna kekuningan pada kulit boleh berlaku seawal 48 jam selepas kelahiran dan boleh berpanjangan selama satu atau dua minggu.

“Ia berlaku kerana kerosakan sel darah merah dan ketidakmatangan hati.

“Bayi akan mengalami dehidrasi, lesu dan tidur sepanjang masa.

“Penting untuk menghidrat mereka, meneruskan penyusuan susu ibu jika boleh dan pendedahan cahaya matahari pagi atau phototherapy.

“Ujian darah setiap hari diperlukan untuk melihat sama ada kecenderungannya meningkat atau menurun,” kongsinya.

Baca juga Terdesak dapatkan susu anak, lelaki ini bersyukur polis membantu

Jumaat lalu, Dr Sheikh Muszaphar dan isteri telah menerima kelahiran anak kembar buat kali kedua. Bayi kembar berkenaan masing-masing dilahirkan selang seminit iaitu pada jam 9.47 pagi
(lelaki, 2.26 kg) dan 9.48 pagi (perempuan, 2.17 kg)di Pusat Perubatan Sunway.

Iklan

Dr Sheikh Muszaphar, 48 tahun, dan Dr Halina, 39 tahun, mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.

Iklan

Hasil perkahwinan itu, mereka sudah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabella, 9 tahun, Sophea Natasha, 7 tahun, dan anak kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah, berusia tiga tahun.