RINDU! Siapa yang pernah melalui perpisahan akan faham bagaimana peritnya menanggung perasaan itu.

Begitulah yang terjadi kepada seorang bapa yang bekerja di Singapura ini yang hampir lapan bulan tidak berjumpa dua anak dan isterinya.

Mohd Izwan Sarip yang terkandas di negara itu sejak Mac lalu meminta isterinya yang tinggal di Johor membawa kedua-dua anaknya ke tebing laut yang memisahkan kedua negara, supaya dia dapat melihat dari jauh.

Menerusi posting yang dimuat naik dalam laman Facebook Mohd Izwan, dia membuat panggilan video kepada isterinya, dari Woodlands Waterfront Park di Singapura, Isnin lalu.

Dia pergi ke sebuah jeti di Woodlands dan memanggil keluarganya yang berada di tebing bertentangan di Johor Bahru.

Dalam video tersebut, dia sedang menelefon keluarganya sambil berdiri sedekat mungkin dan melambaikan tangan kirinya.

“Di mana awak?” dia bertanya, yang mana isterinya menjawab, “Saya di sini, memakai kemeja hitam dan putih! Nampak tak?”

Turut didengari suara dua anak Mohd Izwan yang ceria sambil berkata ‘hai papa’.

Selain itu, keluarga Mohd Izwan turut memuat naik video menampakkan sesi pertemuan mereka dari tebing Johor.

Seorang saudaranya turut berkongsi video dan gambar isterinya memegang anak-anak Izwan ketika mereka semua melambai dari jauh.

Iklan

“Sabar ae bro nanti pergi Decathlon beli teropong kita cuba lagi,” tulis Muhamad Faiz FS.

Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan18 Mac lalu, bagi mengekang penularan Covid-19.

Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, pembukaan sempadan sepenuhnya Malaysia-Singapura bergantung kepada situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga Disember ini.

Iklan