WARGANET bab-bab ini memang kreatif! Hari ini media sosial sekali lagi dibanjiri dengan posting masalah gangguan air yang kini sedang melanda negeri Selangor yang menyebabkan beberapa daerah kini terjejas bekalan.

Tidak sampai sebulan, ribuan penduduk di Lembah Kelang kembali mengeluh apabila sekali lagi dibebani gangguan bekalan air.

Gangguan tersebut nampaknya semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini dan menyebabkan penduduk turut berang.

Disebabkan itu kini media sosial dibanjiri dengan jenaka dan sindiran orang ramai yang kini menjadikan media sosial seperti Facebook dan Twitter tempat mereka meluahkan isi hati yang terpendam.

Seperti ciapan di laman Twitter daripada Najwa Mutalib (@najwamutalib): “Air dekat Selangor ni dah boleh pergi jumpa ustaz kot asyik kena gangguan je..”

Ternyata posting ‘nakal’ tersebut mencuit hati warganet selepas tulisan itu mendapat puluhan ribu tanda suka dan puluhan ribu juga ulang kicau sehingga tular juga pada aplikasi whatsapp kumpulan.

Tak kurang dengan itu, pelbagai lagi posting yang dibuat orang ramai sehingga ada yang menyatakan jika pergi di Johor jangan lupa singgah di Air Hitam. Kalau ke Melaka pula singgah di Air Keruh, tapi kalau lalu di Selangor jangan singgah, tak ada air!

Pastinya, selagi gangguan bekalan air ini tidak selesai, netizen akan terus bercakap mengenainya kerana “mereka sudah terlalu penat”.

Iklan

Mana tidaknya, keadaan bertambah perit ketika mana orang ramai kini perlu berdepan dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan gangguan bekalan air.

Sekurang-kurangnya empat kali masalah gangguan air tidak berjadual berlaku dalam tempoh seminggu kebelakangan ini terutamanya di kawasan Shah Alam dan Kuala Langat.

Iklan

Awal September lalu, sebuah kilang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas.

Sementra itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melalui Facebook rasminya berkata, tahap pencemaran di Sungai Selangor dijangka pulih petang ini. Ia berdasarkan perkembangan semasa bacaan kadar pencemaran di sungai tersebut.

“Kadar pencemaran kini mencatat bacaan 1 TON (Nombor Bau Nilai Ambang) dan bekalan hanya akan mula disalur selepas bacaan mencecah 0 TON.

“Mengikut trend perkembangan bacaan semasa, pencemaran dijangka akan pulih pada petang ini. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu.

“Laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran. Siasatan sedang dilaksanakan,” kata Amirudin.